PENERANGAN… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika mendengar penerangan daripada salah satu peserta gerai yang menyertai Kongres Pertanian Lestari dan Keselamatan Makanan (COSAFS) 2022 di Kuching, semalam.
KUCHING: Kementerian Pemodenan Pertanian dan Kemajuan Wilayah kini dijenamakan semula sebagai Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah berkuat kuasa mulai semalam.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Openg berkata, pertukaran nama itu dilakukan kerana kepentingan sektor pertanian untuk negeri ini.
“Pertanian amat penting untuk kita dan dengan itu, saya memutuskan pertukaran nama kementerian dibawah Datuk Sri Dr. Stephen Rundi Utom, menteri yang bekerja kuat dengan visi tertentu untuk kementerian ini,” katanya pada Kongres Pertanian Lestari dan Keselamatan Makanan (COSAFS) 2022 di sini, semalam.
Abang Johari bagaimanapun berkata, dengan ada teknologi moden seperti Internet of Things (IoT), pertanian bukan lagi soal bekerja membanting tulang menggali tanah menggunakan cangkul.
Sebaliknya, pada masa kini seseorang boleh berada di pejabat, dan hanya mengawal ladang melalui peranti digital.
“Pertanian tidak boleh dilihat sebagai pekerjaan orang miskin dan persepsi umum bahawa pertanian hanya untuk golongan miskin perlu diubah.
“Sarawak memberi penekanan kepada transformasi digital dalam pertanian dengan menyediakan tanah yang akan menjadi agropark sama seperti taman perindustrian dan tanah ini akan dibahagikan supaya pihak swasta boleh masuk untuk memulakan industri makanan mereka,” katanya.
Abang Johari turut menyatakan bahawa Singapura sudah menyatakan mereka memerlukan makanan dan tidak boleh bergantung kepada kedai sedia ada di republik itu.
“Jadi, kami mencadangkan agropark itu akan dilengkapi dengan semua infrastruktur yang diperlukan, termasuk kemudahan digital 5G bagi membolehkan ladang dipantau dan diurus melalui peranti digital dalam masa nyata dari mana-mana dan pada bila-bila masa. Ini kerana mereka juga pengeluar bersama.
“Saya yakin dengan pengeluaran yang dikira baik dan akses pasaran dikenal pasti dengan ketersediaan tanah yang luas dan tenaga boleh diperbaharui sebagai sumber tenaga, Sarawak boleh menjadi pengeksport makanan bersih ke rantau ini menjelang 2030,” katanya.