SANTUNI… Dato Sri Fatimah Abdullah turun padang meluangkan masa melawat pasangan warga emas dan cucu mereka di Jalan Tong Sang, Sibu semalam.
SIBU: Laporan eksklusif muka depan akhbar Utusan Sarawak kelmarin mengenai kedaifan hidup pasangan warga emas bersama seorang cucu, mendapat respons segera Kerajaan Sarawak.
Berikutan laporan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah bergegas ke kediaman warga emas terbabit di Jalan Tong Sang di sini, semalam.
Ketika menyantuni pasangan warga emas itu, Fatimah menemui Ting Kiew Ping, 78, yang tinggal di rumah usang menanti runtuh. Ting terpaksa berhenti kerja kerana mengalami sakit kaki dan hanya mengharapkan isterinya membanting tulang bekerja demi sesuap nasi untuk menyara kehidupan mereka bersama seorang cucu.
Hasil pertemuan itu dan setelah melihat sendiri keadaan rumah yang juga tiada bekalan elektrik, Fatimah mengemukan beberapa cadangan termasuk mencadangkan Ting dan isterinya Chieng Suk Hung, 70, ditempatkan di Rumah Sri Kenangan jika mereka bersetuju dan cucu mereka akan dihantar ke sekolah.
Bercakap kepada pemberita setelah berkunjung ke rumah warga emas itu di Jalan Tong Sang itu, Fatimah berkata, perkara pertama yang perlu dilakukan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ialah mengesan ibu kanak-kanak lelaki terbabit.
“Ini bagi memastikan dokumentasinya. Usaha ini penting untuk memastikan budak lelaki itu dilindungi dan dihantar ke sekolah.
“Mereka telah terputus hubungan dengan ibu. Namun, apa-apa pun kita perlu cari ibu, apa sahaja cara yang boleh, melalui media sosial, mudah-mudahan dia akan mendekati kita dan kita boleh berbincang bersama.
“Kami mahu menyelamatkan budak ini dan kami mahu melindunginya. Kami boleh mencadangkan tempat yang lebih kondusif dan selamat untuk budak ini. Dia boleh pergi ke sekolah, jadi ia tidak menjejaskan masa depannya,” katanya.
Beliau berkata, memandangkan ibu budak itu masih ada, adalah penting untuk mencarinya dahulu dan menghormati haknya sebagai ibu.
“Sehingga semua jalan habis, kami tiada pilihan selain campur tangan. Kita juga tidak dapat memastikan sama ada budak lelaki itu mempunyai sijil kelahiran atau sebaliknya,” katanya.
Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat berkata, Ting pula adalah penerima bantuan JKM bulanan RM500.
“Pasangan ini memerlukan tempat tinggal lebih selesa dan selamat kerana tempat mereka tinggal kini adalah usang, selain tiada bekalan elektrik,” katanya sambil memberitahu pasangan warga emas itu berasal dari Sarikei.
Fatimah juga berterima kasih kepada pihak media dan orang ramai kerana menyalurkan maklumat mengenai penderitaan pasangan warga emas berkenaan.
“Saya menggesa orang ramai supaya memaklumkan kepada JKM sekiranya mendapati lebih banyak kes seperti ini. Kerajaan sentiasa berusaha untuk membantu golongan ini,” katanya.
Oleh AKUN GIMAN