PASUKAN bola tampar Sarawak beraksi.
SUKAN olahraga Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-20 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil menutup tirainya kelmarin dengan skuad olahraga Bumi Kenyalang berjaya mengutip lima pingat emas, empat pingat perak dan enam pingat gangsa.
Sementara itu, hari terakhir sukan olahraga pula menyaksikan Sarawak memperoleh satu pingat emas menerusi Everlyne Tan Xieyie dalam acara Lompat Bergalah Wanita dengan lompatan terbaik 2.90 meter, manakala Jonah Chang Rigan pula memenangi pingat perak dalam acara Lempar Cakera Lelaki dengan catatan 43.82.
Dalam pada itu, skuad tenpin boling telah menceriakan kontigen Sarawak apabila atletnya Lavina Kho Jia Jie dan Nur Hazirah Ramli berjaya meraih pingat emas dan perak dalam acara tenpin boling perseorangan wanita yang telah diadakan di Sunway Mega Lanes, Subang.
Kontigen Sarawak turut ceria apabila empat peninju Sarawak berjaya melangkah ke separuh akhir dalam acara tinju yang diadakan di Kompleks Futsal Malaysia Presint 18, Putrajaya antaranya Jackson Chambai Ikeh kategori 51kg, Daeloniel Mcdelon Bong bagi kategori 57kg, Mohd Rafieq Mushidi kategori 63.5kg dan Hellary Hendry pada 86kg.
Sementara itu, lima lagi peninju Sarawak berjaya melangkah ke suku akhir menerusi Wilson Berayin Sumbang bagi acara 60kg, Mohd Helmi Chieng Firdaus Chieng 67kg, Darren Chang Yong Kui 71kg, Rais Arsyad Sulam 80kg dan Mohd Syawal Isham bagi acara 54kg.
Dalam sukan bola keranjang yang diadakan di Stadium Bola Keranjang MABA, Kuala Lumpur, kedua-dua pasukan bola kerajang lelaki dan wanita Sarawak gagal menyaingi pasukan Negeri Sembilan dan Johor yang kini masih lagi bersaing dalam peringkat kumpulan.
Di Arena BMX Nasional, Nilai telah diadakan perlumbaan BMX yang menampilkan dua atlet Sarawak iaitu Mohamad Faris Mohd Nashari dan Yohannes Larenza anak Meahian yang hanya menduduki tempat keempat dan keenam.
Bagi sukan bola tampar yang berlangsung di Dewan Bola Tampar MBSA Seksyen 4, Shah Alam, pasukan Sarawak telah memperoleh kemenangan dengan mengatasi pasukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.