MERIAH… Lebih 5,000 pengunjung membanjiri Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim di Sibu, malam kelmarin.
SIBU: Lebih 5,000 pengunjung memeriahkan konsert mega dan pertunjukan bunga api di Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim jam 7.30 malam kelmarin.
Program yang mendapatkan sambutan hangat itu dihoskan oleh Yayasan Azman Hashim dan Amcorp Properties diteruskan tanpa mengira keadaan cuaca.
Artis Dayang Nurfaizah, Hafiz Suip, Ricky El, Rickie Andrewson, kumpulan AT Adau dan The Crew akan menghiburkan orang ramai dalam konsert yang berlangsung selama tiga jam itu.
Bandar baharu Sibu Jaya juga bergemelapan dengan cahaya pertunjukan bunga api bermula jam 11.30 malam.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Amcorp Berhad, Tan Sri Azman Hashim berkata, penganjuran Fiesta Air Sibu Jaya dan Konsert Mega Sibu Jaya mampu menarik kedatangan pelancong ke bandar baharu tersebut, sekali gus dapat membantu meningkatkan ekonomi.
“Menerusi penganjuran acara ini, orang ramai dan pelancong datang, kedai-kedai serta hotel penuh, ini adalah manfaatnya daripada acara-acara yang kita anjurkan.
“Insyallah pada tahun hadapan, kita akan menganjurkannya dengan lebih meriah, kita berharap pengunjung datang lebih ramai lagi,” jelasnya ketika ditemui pemberita, malam tadi.
Beliau turut melahirkan perasaan gembira apabila Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim menyediakan kemudahan bersukan kepada penduduk di bandar baharu tersebut.
“Sejak dirasmikan pada 1 Julai lalu, tempat ini (Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim) setiap hari digunakan, ini adalah baik.
“Kita Kumpulan Amcorp Berhad) berada kita di Sibu Jaya sudah lebih 20 tahun, jadi kita rancang lagi 20 tahun tujuannya untuk mengembangkan lagi Sibu Jaya ini,” ujarnya.
Oleh AKUN GIMAN