Oleh Roslan Jomel
“Secara indah dan berkesan, kesusasteraan yang baik membijaksanakan manusia dalam segala tindakannya. Pendek kata, kesusasteraan yang sebenar membijaksanakan hati manusia. Dari hatilah teralirnya kebijaksanaan kepada minda yang kemudian menggerakkan anggota yang lain untuk bertindak menguasai alam ini demi kepentingan manusia.” – Sasterawan Negara Shanon Ahmad, petikan daripada esei “Sastera untuk Membangunkan Mental Bangsa” yang termuat dalam buku Sastera, Pengalaman Ilmu Imaginasi dan Kitarannya, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994.
Awang Alfizan mengemukakan suatu isu serius dan mustahak untuk diisikan ke dalam tema utama naskhahnya, “Citra”. Sepenting mana bidang kesusasteraan kepada masyarakat? Apakah natijahnya jika perkembangan teknologi dan kepesatan kemajuan materialisme tanpa ditiupkan nilai-nilai rohani ke dalam jiwa masyarakat? Andai dipisahkan dua bidang itu, apakah akan terjadi kepada kemanusiaan? Kalau disatukan, adakah ia membawa musibah kepada aliran kemajuan dalam negara?
Dua persoalan besar ini disatukan dalam bentuk fiksyen yang menurut saya sungguh berjaya dan imaginatif sifatnya. Ia suatu naskhah yang mempesonakan, bahkan mempunyai mesej berguna untuk direnungkan bersama-sama. Biarpun bukanlah sebuah karya yang cemerlang (kerana masih terdapat ciri-ciri klise dan polos), keupayaan Awang Alfizan mengarang tema berhubung kelestarian kemanusiaan lebih meyakinkan daripada karya-karya yang dikarang oleh segelintir pengarang berpengalaman.
Citra ialah watak utama dalam naskhah tersebut. Secara tersirat, menegaskan kemajuan sesebuah negara harus memiliki citra yang sempurna, sama ada dalam kemajuan teknologi, ilmu dan kesenian. Tanpa keseimbangan begitu (spiritual dan intelektual), lambat-laun sesebuah negara itu bakal hancur kerana sifat dan tingkah-laku masyarakatnya yang jahil dan terlalu berorientasikan kebendaan. Agama Islam sendiri menegaskan agar setiap manusia harus mencari pengetahuan, apa-apa sahaja ilmu yang membawa manfaat kepada sesama masyarakat. Namun ilmu yang dikembangkan itu sewajarnya tidak mengundang bencana kepada penghuni-penghuni bumi. Dan di sinilah pentingnya setiap manusia disedarkan bahawa aspek kemanusiaan yang baik mampu disuntik melalui bahan-bahan bacaan, sama ada ilmiah dan kesusasteraan. Isu itulah yang menjadi pusat perhatian kepada pengarang untuk ditegaskan ke dalam jantung naskhahnya.
Dengan gaya penulisan berbentuk alegori, Awang Alfizan menyampaikan suara nuraninya berhubung keterasingan subjek sastera dalam arus pembangunan negara. Dalam naskhah yang menarik itu, masyarakat dibahagikan berdasarkan warna mata, iaitu biru dan ungu, sebagaimana yang ditetapkan oleh pihak pemerintah. Masyarakat bermata biru digelar sebagai Sanstri, manakala mereka yang bermata ungu pula dikelaskan sebagai Sastrawi. Apakah bezanya? Kelompok yang digelar Sanstri ialah mereka yang berkebolehan menguasai ilmu sains dan matematik. Sedangkan kelompok Sastrawi pula mereka yang berjiwa kesenian dan mahir dalam bidang kesusasteraan. Pembahagian kelas yang diarahkan oleh pihak pemerintah itu juga menggambarkan situasi pemikiran masyarakat umum tentang kedua-dua subjek itu dalam silibus pembelajaran. Alangkah sempitnya ahli akademik melihat keluasan ilmu dan akal setiap manusia secara holistik. Itu suatu helah yang menghina.
Walaupun isu yang diluahkan oleh pengarang naskhah bukanlah hal baharu, malahan kerap disuarakan oleh sasterawan besar negara, namun hakikatnya di luar sana, sastera masih dianggap sebagai perkara aneh dan tidak berjejak di bumi nyata. Mereka yang cenderung kepada kesenian dan kesusasteraan, secara skeptikalnya, dipandang sebagai tidak praktikal, kurang membantu kepada usaha meninggikan status negara ke arah berdaya saing. Entah siapalah yang berfikiran dangkal dan memandang rendah tentang subjek kesusasteraan dan kesenian itu sebelum ini?
Dalam naskhah “Citra”, pengarang menulis bahawa golongan Sastrawi tidak bersetuju dengan pembahagian yang bersikap bias itu. Sesiapa yang cuba membantah, akan berhadapan dengan tembakan maut oleh pihak tentera. Lebih malang daripada itu, kelompok Sastrawi dikurung dalam gedung raksasa yang dipanggil “Dunia Antara Dua Tembok”. Tindakan demikian memang agak ekstrem, tetapi itulah cara pengarang fiksyen menyatakan pandangan/sindiran mereka.
Citra, selaku peran utama dalam naskhah, memiliki keupayaan dalam kedua-dua bidang. Sains dan matematik serta bidang kesusasteraan. Kebolehan sebegitu digelar Sainatra. Gabungan sains dan sastera, iaitu individu yang bermata warna ungu di sebelah kiri dan kanannya pula berwarna biru. Sewajarnya ramai lagi manusia memiliki keupayaan sebegitu. Namun, kenyataannya, majoriti manusia di luar lebih suka kepada sesuatu yang bersifat materialistik. Kononnya individu bergelar Sainatra lahir daripada pasangan golongan Sanstri dan Sastrawi. Individu sedemikian dianggap berbahaya kerana mengancam pelan kemajuan negara. Menurut undang-undang yang ditetapkan, individu yang dilahirkan memiliki kedua-dua mata berbeza warna, diharamkan oleh Sistem Legasi. Sistem Legasi itulah yang menetapkan pembahagian masyarakat mengikut warna mata – hasil suntikan cecair ke dalam tubuh manusia.
Inilah kisah sikap dan wawasan Citra dalam naskhah bertajuk “Citra”. Sebagai individu Sainatra, kewujudan Citra dalam keadaan serba tertekan. Masyarakat pasti memusuhi kelebihannya. Hal ini kerana dalam negara yang diperintah secara tidak adil, bila-bila masa sahaja nyawa Citra bakal melayang. Kebolehan yang ada pada Citra menjadi ancaman terbesar kepada keseimbangan dunia. Citra perlu dibunuh. Itulah yang mengganggu tidurnya. Citra didatangi mimpi mengerikan, kononnya akan ditangkap oleh puak Sanstri. Ibu Citra mencadangkan agar segera untuk bertemu dengan ayahnya yang merupakan tokoh berpengaruh dalam golongan Sanstri di Kota Legasi. Tuan Dr. Shah nama ayahnya. Ironi, kemudian kita maklum, ayahnya itulah pengasas Sistem Legasi yang telah memecahkan masyarakat menjadi dua golongan. Adakah itu kebetulan? Sedikit-sebanyak, kejutan begitu melemahkan karya kreatif.
Maka berangkatlah Citra ke Kota Legasi atas cadangan ibunya. Ibunya bimbang keselamatan Citra yang memiliki sepasang mata yang berbeza warna – biru dan ungu. Suatu kelahiran yang langka di Kota Legasi, malahan pada kehidupan nyata pada masa kini. Hal ini kerana, mata Citra menyerupai golongan Sainatra. Disebabkan itu jugalah Citra terpaksa melakukan penyamaran dengan meletakkan kanta lekap berwarna biru. Penyamaran itu perlu dilakukan untuk mengelak daripada diberkas oleh pihak berwewenang. Di samping itu juga, Citra mempunyai gagasan yang kelak akan disampaikan pada bahagian akhir naskhah. Gagasan yang bertentangan dengan dasar pemerintahan itu bakal melenyapkannya nanti. Itulah harga yang perlu dibayarnya. Sekurang-kurangnya, Citra sudah menunaikan tanggungjawabnya sebagai manusia. Enggan tunduk kepada kehendak majoriti atau cuak oleh kekejaman pihak pemerintah.
Sebaik sahaja berada di Kota Legasi, Citra terpaku mendongak kemajuan yang dicapai oleh kota yang disifatkan sebagai melangkaui batas pemikiran logik. Kenderaan berterbangan di udara, sementara penduduk kota menggunakan tenaga yang diserap dari luar angkasa sebagai sumber tenaga elektrik untuk keperluan harian. Luar biasa. itukah yang dinamakan alam masa depan? Futuristik? Pencapaian sebegitu kononnya melambangkan keupayaan golongan Sanstri dalam mengelola kepesatan teknologi negara. Lalu apa lagi yang hendak dicapai oleh kaum manusia? Pindah ke planet Marikh? Adakah mereka akan berasa puas dengan apa yang sudah diperoleh? Dan apa yang terjadi kepada psikologi kemanusiaan akibat derasnya kemajuan yang mengelilingi kehidupan mereka? Adakah lagi makna kasih sayang dan saling hormat-menghormati sesama insan? Setiap manusia dihamba oleh peralatan serba canggih.
Tetapi dalam jiwa Citra, pembangunan fizikal dan kehebatan infrastruktur itu tidak mempesonakannya. Tiada sentuhan kesenian dan kemanusiaan. Ada kejanggalan dan kelompangan yang mengganggu pandangan spiritualnya sebagai manusia berjiwa sensitif. Apalah ertinya kesemua evolusi yang nantinya hanya menukar keperibadian setiap manusia bagaikan robot itu? Kosong dari dalam dan kaku dari luar. Tiada imaginasi dan tiada kepekaan dalam menilai hal-hal indah yang berada di depan mata. Itu bukan kemajuan bagi peradaban manusia. Tetapi suatu bayangan kemusnahan untuk penghuni bumi. Bayangkan andai golongan kapitalis dibiarkan terus berleluasa menguasai urusan negara, lambat-laun, kawasan hijau dan kehijauan air sungai, akan musnah dan keruh oleh sisa kerosakan. Sayangnya, tidak semua yang berfikiran seperti Citra. Dan Citra menyedari situasi yang ditanggungnya. Kewujudannya dalam penyamaran menambahkan lagi kejayaan di pihak yang menjadi duri dalam daging kepada gagasan besarnya untuk menyatukan kedua-dua golongan sebagai masyarakat yang berhak dan sah di bawah undang-undang.
Identiti Citra akhirnya terbongkar di dalam perpustakaan. Di situlah Citra menyendiri dengan dunia sastera yang dicintainya. Di situlah Citra belajar tentang keajaiban bahasa dan kerumitan akal manusia melalui tulisan para sasterawan hebat. Apabila identitinya, sebagai individu yang dikelompokkan sebagai masyarakat Sainatra terdedah di hadapan Riki, yang kemudian menjadi kekasih dan pengkhianat kepada misi murni Citra, naskhah itu menemui alur penghujungnya. Riki menyanjung kebolehan Citra. Disebabkan itulah, Riki berusaha untuk menyembunyikan identiti sebenar Citra semasa forum perdana diadakan. Dalam acara itu jugalah Citra berhadapan dengan ayahnya untuk mengemukakan cadangan agar menyatukan golongan Sanstri dan Sastrawi. Suatu eksperimen dilakukan dengan mengambil DNA Sainatra dan dimasukkan ke dalam tubuh golongan Sanstri. Maka, terciptalah golongan yang berkebolehan dalam pelbagai bidang. Bukankah itu lebih praktikal dan manusiawi?
Idea dan usul Citra mendapat sorakan. Mereka yang hadir terpegun dengan cadangan bernas daripada Citra. Termasuk pengasas Sistem Legasi, Tuan Dr. Shah. Bahkan Tuan Dr. Shah menjemput Citra datang ke pejabatnya untuk membincangkan ideanya dengan lebih mendalam. Tanpa disedari Citra, Riki berasa cemburu dengan kepintaran yang dimiliki kekasihnya itu. Citra perlu dimusnahkan. Riki berasa tercabar kerana Tuan Dr. Shah lebih tertarik kepada Citra. Bukan dirinya. Dengan penuh helah, Riki mengajak Citra untuk menyelinap masuk ke dalam bangunan pemerintah pada waktu malam. Kononnya untuk menyelidik informasi tentang ayah kandung Citra. Sudah tentu sahaja Citra mudah terpengaruh oleh ajakan Riki. Memang pada asalnya, Citra mencari ayah kandung untuk melindunginya daripada sebarang ancaman daripada pihak pemerintah. Sungguh polos dan jernih fikiran Citra. Tanpa menaruh perasaan curiga dan skeptikal. Dia yang dimabuk oleh cinta kepada Riki, bagaikan orang buta yang menyerahkan nasibnya dipimpin oleh manusia durjana.
Namun rupanya, Riki mengheret Citra ke arah yang salah. Helah itu dilakukan untuk melenyapkan kewujudan Citra yang telah menghalangnya untuk lebih menonjol. Dalam ruangan yang dikelilingi hologram dialirkan arus elektrik, terdapat sebuah lubang gelap dan dalam. Riki yang berada di belakang, menolak Citra ke dalam lubang itu. Adakah itu laluan pintu masuk ke Dunia Antara Dua Tembok? Dan di dalam lubang gelap dan sunyi itulah, akhirnya Citra menemui pusara ibunya. Citra berbisik, adakah Dunia Antara Dua Tembok ialah sebuah pusara? Dalam Islam, alam barzakh didefinisikan sebagai suatu tempat di antara dunia dan akhirat. Alam barzakh juga bermaksud dinding pembatas antara dua benda. Juga alam barzakh bermaksud alam yang dilalui manusia setelah meninggal dunia.
Cerita pun melabuhkan tirainya. Ia bukan penamat yang berbentuk gembira. Malah menusuk jiwa. Keadaan yang samar-samar menyelubungi pandangan Citra. Dia terlantar di atas katil dan dirawat oleh doktor psikologi. Mental dan jiwa Citra benar-benar terpukul. Bukan jasadnya yang tercedera, tetapi akal. Hal itu bukan boleh dipandang enteng. Persoalannya kini, di manakah Citra berada? Di alam nyata atau alam halusinasi? Mengapakah Citra menderita sedemikian rupa? Adakah kerana ayahnya, Tuan Dr. Shah, menghalang kecenderungan anaknya itu yang ingin belajar dalam bidang kesusasteraan? Adakah Citra terlantar akibat tekanan emosi yang berpunca daripada keegoan ayahnya dalam menentukan pilihan hidup? Imaginasi yang mengapungkan fikiran perasaan Citra telah membentuk sebuah alam yang sukar dijejak oleh pemahaman kasar masyarakat umum. Mujur, ayah Citra menyedari kesilapan yang dilakukannya. Sebagai seorang ayah, Tuan Dr. Shah seharusnya mempertimbangkan kemahuan dalaman anaknya sendiri dan bukan bersikap mendominasi. Setiap generasi memiliki ekspresi mereka masing-masing. Memaksa mereka untuk menerima apa yang dimahukan oleh orang tua, hanya menjadikan keadaan bertambah tegang.
Sebagai pengarang, Awang Alfizan telah membangkitkan suatu isu yang mustahak untuk difikirkan bersama-sama. Syabas. Idea dan tema yang dipilih juga disampaikan dengan bahasa yang kemas. Bahkan lebih menakjubkan, pengarang juga pintar menyusun jalan cerita sehingga pembaca terasa tersentuh dengan penderitaan batin yang ditanggung oleh Citra.
Siapa sangka, ruangan imaginasi yang memenuhi fikiran Citra ialah suatu bentuk bantahan daripada dalaman tentang kepincangan silibus pembelajaran yang dilaksanakan sekarang. Orang dewasa, terutamanya pembuat dasar pemerintahan, perlu berfikir kembali kesilapan yang dilakukan mereka dalam melaksanakan bentuk pendidikan pada hari ini. Bidang sastera bukan untuk pelajar lemah dan suka berkhayal. Bidang sains dan matematik juga tidak sepatutnya membuatkan pelajar hilang nilai-nilai spiritualnya sebagai seorang manusia.
Sama ada sastera dan sains serta matematik, kedua-dua cabang ilmu itu sama-sama penting dalam membentuk keperibadian yang berdaya saing. Gabungan dua disiplin ilmu itu lebih mencerdaskan manusia secara akal dan rohani. Sastera meningkatkan kepekaan kemanusiaan seseorang dalam berhubungan dengan pelbagai masyarakat luar. Manakala bidang sains dan matematik, atau apa-apa sahaja kemahiran lain, menjadikan kehidupan manusia lebih baik dan lancar dalam menempuhi perubahan zaman dan situasi semasa. Sebarang usaha untuk membahagikan dua bidang itu, hanyalah langkah mundur dan tidak wajar diterapkan dalam perkembangan peradaban manusia.
Pada ketika ini, kita telah menyaksikan setiap hari, bagaimana kerosakan dan kerakusan manusia menjahanamkan ekosistem kerana ingin mengejar keuntungan material semata-mata. Apakah sebabnya? Sebuah dunia yang dahulunya indah, hijau dan mendamaikan, kini semakin menghampiri kehancuran akibat tingkah-laku manusia yang di dalam dada dan kepalanya berisi kebendaan. Walhasilnya, Citra adalah contoh manusia yang menderita itu.