SUASANA MALAM… Suasana malam di Downtown Taman Selera Kampung Baru Seberang meriah dengan pengunjung, lebih-lebih lagi sewaktu musim perayaan.
DOWNTOWN Taman Selera Kampung Baru Seberang Sarikei kini kian menjadi tumpuan masyarakat tempatan dan pengunjung luar membeli makanan dan minuman kegemaran masing-masing.
Dibuka bermula 4.00 petang hingga 10.00 malam bermula Khamis hingga Sabtu, pelbagai pilihan makanan dan minuman ditawarkan kepada pengunjung.
Bukan sahaja sebagai tempat menjual makanan dan minuman, terdapat juga penjaja menjual kelengkapan harian pakaian, kasut dan pelbagai barangan menarik.
Selain itu, terdapat juga penjaja menjual hasil produk keluaran tempatan. Tinjauan pemberita Utusan Sarawak ke lokasi jualan yang kian menjadi tarikan ini mendapati suasana meriah dapat dirasai dengan kehadiran pengunjung.
Penjaja-penjaja juga tidak menang tangan melayan pengunjung yang datang mencari makanan dan minuman di gerai mereka.
Antara makanan yang dijual adalah ayam panggang, mi goreng, sate ayam, sate kambing, pais hati parek (hati ikan pari), pais hati yu, pipus parek dan pelbagai juadah kuih-muih menyelerakan.
Menariknya, sepanjang tinjauan penulis di lokasi, ramai dalam kalangan penjaja adalah golongan belia. Terdapat juga penjaja menawarkan perkhidmatan gunting rambut di sini. Lebih menarik, ramai pengunjung berkunjung ke sini semasa musim perayaan.
Pelbagai aktiviti menarik dijalankan ketika tibanya musim perayaan. Pada 21 April lalu, tiga jabatan kerajaan berkerjasama memasak dan mengagihkan bubur lambuk di sini yang digunakan sebagai bazar Ramadan. Tidak ketinggalan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarikei mengadakan ceramah keselamatan kebakaran untuk penjaja.
Oleh EARL ANEK