KUCHING: Jentera Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah bersiap sedia untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Pengerusinya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini kali pertama gabungan itu bertanding menggunakan logo GPS untuk pilihan raya peringkat nasional.
“Ini adalah kali pertama kita guna (logo) GPS. Kami telah berbincang dan kita akan berhadapan pilihan raya umum sebagai satu pasukan GPS. Sudah tentu kita dapat memberi bayangan apa yang akan kita terus perjuangkan.
“Apa yang penting GPS berpandangan bahawa kestabilan politik negara adalah penting dan ini dapat memberi khidmat yang lebih efektif kepada rakyat seluruh negara dan GPS akan terus berkhidmat rakyat,”katanya
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT) GPS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam tadi.
Abang Johari yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, Ketua Pergerakan Wanita dan Pemuda daripada empat parti komponen GPS kini menjadi Ahli MKT gabungan itu.
Ini berikutan pindaan perlembagaan GPS dan sudah mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
Sebelum ini hanya pemimpin tertinggi parti menyertai majlis itu seperti Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung.
GPS adalah gabungan empat parti tempatan Sarawak iaitu PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Abang Johari berkata, pelantikan ketua sayap Wanita dan Pemuda dalam MKT GPS adalah satu pengiktirafan peranan penting diberikan oleh kedua-dua pergerakan itu.
“Kalau komponen parti telah meminda perlembagaan mereka dan telah diluluskan ROS, mungkin kita juga masuk golongan 18 dan 28 sebagai ahli Majlis Tertinggi GPS, “ katanya.
Mengulas lanjut mengenai PRU-15, beliau berkata GPS mahu suara yang kuat dari Sarawak untuk memudahkan perjuangan menuntut kembali hak mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Ada dua tiga perkara yang masih lagi dalam perancangan dan perbincangan. Ini bagi kita mempertahankan keistimewaan yang ada pada Sabah dan Sarawak melalui MA63 dan juga Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC),” katanya.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi GPS, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta Ketua Penerangan GPS, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.
Antara pemimpin GPS yang hadir termasuk Presiden Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP), Dato Sri Dr. Sim Kui Hian dan Timbalannya, Datuk Seri Richard Riot, selain Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing dan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Joseph Salang Gandum.
Oleh AZREEN KERIA / SHAHRUL QAIZAT