KETIKA pembentukan Malaysia, kerusi Parlimen yang mewakili Sabah, Sarawak dan Singapura mewakili 35 peratus daripada keseluruhan kerusi Parlimen negara. Ada 159 kerusi Parlimen iaitu 104 di Semenanjung manakala baki 55 kerusi di Borneo iaitu 24 di Sarawak dan Sabah 16. Singapura pula mempunyai 15 kerusi Parlimen.
Apabila Singapura keluar dari Malaysia, kuota tersebut dari semasa ke semasa tidak diisikan oleh Sabah dan Sarawak, akan tetapi diisikan oleh kuota di Semenanjung Malaysia. Isu ketika itu, ialah jumlah penduduk di Semenanjung lebih ramai berbanding Sabah dan Sarawak. Semenanjung Malaysia pula mempunyai lebih banyak negeri.
Apabila kewajaran naratif ini digunakan, maka lama kelamaan kedudukan kerusi Sabah dan Sarawak tidak memiliki kedudukan 35 peratus. Situasi ini dapat dikaitkan dengan dominasi kuasa politik, di bawah konsep persekutuan, terdapat penguasaan politik berpusat di Kuala Lumpur.
Lebih banyak kerusi di Semenanjung Malaysia bermakna lebih banyak kuasa dan kedudukan mereka semakin kuat. Pentadbiran di bawah Barisan Nasional (BN) sangat kuat dan mendominasi kerajaan. Akhirnya suara Sabah dan Sarawak dalam isu 35 peratus kerusi Parlimen ditenggelamkan oleh isu-isu nasional.
Terlalu kuat
Puncak kekuasaan BN dapat dilihat pada pilihan raya umum 2004 apabila UMNO memenangi 109 kerusi, MCA memperoleh 31 kerusi, MIC 9 kerusi. Pembangkang pula hanya mampu memenangi 20 kerusi dengan satu kemenangan calon Bebas. Kemenangan ini adalah kemenangan bersejarah buat BN selepas era kejatuhan prestasi BN selepas isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tun Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan untuk berundur beberapa tahun selepas prestasi teruk BN dalam pilihan raya umum 1999. Mahathir tahu jika beliau masih menjadi Perdana Menteri, maka kemarahan rakyat terhadap beliau yang memecat Anwar yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, akan terus diterjemahkan dalam peti undi.
Jadi langkah berundur dan digantikan dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah langkah taktikal bagi memulihkan keyakinan terhadap UMNO dan BN. Pak Lah pula dikenali sebagai ‘Mr Clean’ pada awal pemerintahannya dan berjaya menggunakan imej tersebut untuk dijadikan sandaran dan harapan rakyat bagi memastikan kesinambungan pemerintahan dapat dilangsungkan dengan lebih baik lagi.
Kemenangan besar ini dilihat menyebabkan suara Sarawak kurang kedengaran walaupun BN Sarawak ketika menang tidak kurang 27 kerusi parlimen. Namun disebabkan BN ialah sebahagian daripada entiti BN Pusat, maka suasana Sarawak lebih selesa menumpang kecemerlangan prestasi BN pusat.
Apabila situasi politik sangat kuat sedemikian dan keselesaan kestabilan politik pusat menyebabkan tidak ada suara-suara khususnya Sabah dan Sarawak. Malah, di Sabah ketika itu kedudukan UMNO sangat kuat yang dipimpin oleh Musa Aman dan Shafie Apdal. Kedua-dua inilah menentukan jatuh bangun politik di Sabah.
Namun apabila politik nasional bergelora di akhir pemerintahan Pak Lah termasuk isu budak tingkat 4, pemberontakan Dr Mahathir terhadap pemerintahan Pak Lah, isu jambatan bengkok dan sebagainya, maka UMNO dan BN mulai lemah akibat penentangan pihak dalaman UMNO sendiri diketuai Dr Mahathir sendiri. Perpecahan dalaman ini memberi peluang besar kepada pembangkang untuk mendapatkan tempat dan kedudukan.
BN mulai hilang taring kuasa
Kekalahan teruk Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-12 pada 2008 menyebabkan BN pertama kali kehilangan majoriti 2/3 dan hanya mampu membentuk Kerajaan Pusat secara majoriti mudah, iaitu memiliki lebih daripada separuh jumlah kerusi akan tetapi kurang 2/3 daripada jumlah kerusi.
Negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor tewas dan gagal menawan negeri Kelantan. Kekalahan yang dijangka ini menyebabkan tokoh politik nasional seperti Samy Vellu, Zainuddin Maidin, Koh Tsu Koon, Shahrizat Abdul Jalil dan sebagainya hingga menyebabkan Pak Lah digesa bersara.
Kekalahan inilah merupakan terburuk dalam sejarah BN ketika itu, selepas prestasi buruk BN pada 1969 dan 1999. Ketika itu, Sabah, Sarawak dan Johor mencatat kemenangan besar dan sejak itu perhatian kepada Sabah dan Sarawak mulai diberikan perhatian oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.
Buat pertama kali terdapat peningkatan jumlah anggota Kabinet dari Sabah dan Sarawak. Yang penting Najib mulai mendengar suara Sarawak apabila bersetuju melaksanakan projek lebuh raya Pan-Borneo, dianggarkan bernilai RM22 bilion yang menghubungkan jalan dari Sematan ke utara Sarawak.
Yang kedua ialah Najib mulai mengadakan penurunan kuasa secara pentadbiran daripada kuasa pusat kepada negeri Sarawak. Proses ini berlaku secara beransur-ansur dan ini menandakan kepentingan Sarawak yang dianggap Kuala Lumpur sebagai deposit tetap politik mereka mulai dipulihara dengan lebih baik.
Apabila BN tewas pertama kali dalam sejarah politik negara, usaha penurunan kuasa dan menjadikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai teman mesra politik kurang diberikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH). Malah dalam beberapa aspek terdapat pertikaian pendapat dan tindakan, menyebabkan GPS membuat keputusan menjauhi PH sehinggalah ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan kerajaan PH tumbang.
GPS akhirnya memilih Perikatan Nasional (PN) sebagai rakan mesra politik bagi memastikan kestabilan politik nasional dapat dilangsungkan dan pada masa sama memastikan kepentingan Sarawak dapat dipulihkan agar lebih banyak pembangunan strategik Sarawak dapat dicapai.
Kuasa tawar menawar
Hasil daripada penyertaan dalam kerajaan PN, pimpinan politik Sarawak menggunakan peluang ini untuk tawar menawar politik dalam soal pendapatan negeri Sarawak. Hal ini dapat dilihat apabila Cukai Jualan Negeri (SST) hasil jualan petroleum dikenakan dan diperkenalkan pada 2019. Sarawak memperoleh manfaat besar apabila sehingga kini berjaya mengutip RM8 bilion, sekali gus menjadikan pendapatan tambahan Sarawak untuk membuat pelbagai program pembangunan negeri Sarawak.
Kesemua ini menunjukkan kuasa yang ada pada Kerajaan Persekutuan, terdapat juga kuasa serta hak di bawah kerajaan Sarawak dan dikongsi bersama dalam bentuk kerjasama yang lebih strategik.
Perolehan kerusi Parlimen
Kepentingan 35 peratus kerusi Parlimem ini untuk memastikan kedudukan itu boleh mempengaruhi keputusan Parlimen. Tanpa 35 peratus kerusi Parlimen, wujud kebimbangan Ahli Parlimen di Semenanjung boleh meminda mana-mana perlembagaan tanpa memerlukan sokongan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak sedangkan penduduk Sabah dan Sarawak kini sudah berjumlah sekitar enam juta daripada 31 juta penduduk negara.
Apa pun, perolehan kerusi Parlimen jika berlaku dan bakal dilangsungkan, maka ia juga berasal daripada tawar menawar politik sejak zaman Najib. Hal ini kerana cadangan untuk mengembalikan kedudukan kerusi Parlimen itu pernah disahkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pada 2012 dan ini bermakna terdapat kesinambungan komitmen Barisan Nasional terhadap bekas rakan komponen BN dahulu kini dijenamakan sebagai GPS di Sarawak.
Suara agar kajian semula untuk dilaksanakan ini boleh menjadi pedang politik, iaitu ia boleh menentukan kemenangan yang lebih besar kepada GPS.
Pada masa sama juga, ia juga boleh menjejaskan prestasi GPS sekiranya pembahagian kerusi baharu yang bakal diagihkan itu tidak memihak kepada kawasan yang dikuasai kubu kuat GPS di Sarawak.
Hal ini kerana sudah ada ahli politik menyuarakan mahu jumlah agihan jumlah pengundi perlulah seimbang jika tidak berlakulah amalan gerrymandering and malapportionment yang dilihat mampu menghambat proses amalan demokrasi negara.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)