TEKUN… Mohammad Fitri Khasidin mengajar komuniti tentang seni jahitan.
PADA pembentangan Belanjawan 2021 lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaaan inisiatif MySTEP sebagai langkah untuk membantu meningkatkan peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat sekali gus mempercepatkan pemulihan ekonomi domestik.
Program Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP) adalah program kerajaan yang menyediakan latihan dan penempatan jangka pendek di sektor awam dan juga Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta rakan strategiknya.
Anak jati Kuching berasal dari Kampung Haji Baki, Mohammad Fitri Khasidin, 30 tahun merupakan satu daripada peserta yang berjaya ditempatkan di sektor berkaitan kerajaan melalui MySTEP.
“Saya pernah menjadi Pensyarah Jahitan DH29 Program Sepanjang Hayat (PSH) Kolej Komuniti Mas Gading, Bau selama setahun melalui program kerajaan iaitu MyStep.
“Saya mengajar komuniti setempat tentang jahitan seni kreatif seperti menjahit beg, table runner (alas meja), baju kurung dan produk-produk jahitan lain.
“Corak table runner yang selalu saya buat adalah bermotifkan puak kumbu dan corak berkaitan Sarawak seperti batik Borneo kerana sebagai sebagai orang Sarawak kita perlu mengetengahkan motif sebegini kepada orang luar,” katanya semasa ditemu bual Utusan Sarawak.
Katanya, dengan demikian orang luar atau komuniti dapat lebih mengenali budaya dan corak yang sering digunakan orang Sarawak sekali gus menjaga warisan seni jahitan tradisional.
Menurut Mohammad Fitri lagi, beliau berpeluang mengajar kursus pendek berkaitan jahitan untuk komuniti khususnya masyarakat di Daerah Bau, Kuching, dan Samarahan.
“Selama saya berkhidmat sebagai pensyarah di Kolej Komuniti Mas Gading selama setahun, bukan sahaja penduduk Kampung Haji Baki sahaja yang dibantu tetapi kolej kami turut membantu seluruh komuniti yang memerlukan.
“Contohnya, membantu komuniti ibu tunggal, golongan B40 untuk menjana pendapatan melalui jahitan lebih-lebih lagi ketika musim pandemik Covid-19 ini,” katanya.
Pada masa sama, Mohammad Fitrie memberitahu, sambutan orang luar mengenai usaha mereka untuk mengajar seni jahitan juga sangat positif.
“Kebanyakan komuniti yang diajar bukan sahaja ibu tunggal tetapi juga sekolah-sekolah berkeperluan khas seperti dari Semanjung, ada yang menghantar pelajar mereka ke kolej kami untuk belajar jahitan secara dalam talian.
“Setakat ini, belum pernah ada lagi yang membuat aduan atau mengeluh tentang saya. Mungkin komuniti suka cara saya mengajar.
“Saya berasa bangga kerana dapat membantu melahirkan komuniti yang mahir dari segi latihan teknikal seperti jahitan,” katanya.
FOKUS POLA JAHITAN
Mohammad Fitrie berkata, pola jahitan merupakan aspek penting yang sering beliau tekankan ketika mengajar komuniti.
“Saya menekankan pola jahitan sebelum memotong kain kerana ia dapat menjimatkan masa menggunting baju tempahan.
“Bayangkan kalau terdapat seorang pelanggan menghantar 10 pasang baju yang sama, jadi kita tidak akan membuang masa untuk mengukur dan melukis semula ukaran pola jahitan tadi bagi setiap kain sebanyak 10 pasang,” katanya.
Pada masa sama, Mohammad Fitrie menjelaskan bahawa pola jahitan juga boleh dijadikan sebagai rujukan kepada masalah.
“Contohnya, apabila kita membuat pola jahitan, ia akan digunakan sebagai panduan semasa menjahit. Andai kata, pelanggan mengadu pakaiannya ketat, secara tidak langsung kita dapat menyemak semula di mana kesilapan ukuran yang dibuat.
“Malah, jika berlaku pengubahsuaian ukuran, kita dapat terus atur saiz ukuran terbaharu pada pola jahitan yang telah dilukis seperti ingin menambah kertas, mengecilkan ukuran atau membuang lebihan kain. Jadi ia akan menjadi lebih mudah,” jelasnya.
Justeru katanya, susun atur pola jahitan di atas fabrik juga mampu menjimatkan lebihan kain daripada terbuang kerana rancangan yang sistematik.
“Perkara paling penting adalah jangan rasa terbeban dalam pembuatan pola supaya dapat mengelakkan kesilapan dalam membuat ukuran,” katanya lagi.
CABARAN DAN PENCAPAIAN
Berkongsi mengenai cabaran, beliau memberitahu, menyampaikan ilmu secara dalam talian kepada komuniti adalah yang paling sukar sekali.
“Kita tahu, sekitar dua tahun kita berperang dengan Covid-19 dan ia mengekang pergerakan semua. Sebagai tenaga pengajar, Kolej Komuniti Mas Gading mengambil iniatif mengajar secara dalam talian iaitu melalui Google Meet.
“Sudah tentu, mengajar secara digital amat berbeza sekali dengan pengajaran secara bersemuka yang mana kami sebagai tenaga pengajar sukar menilai hasil jahitan yang dihasilkan oleh pelajar dan mengajar cara potongan kain.
“Contohnya, saya tidak dapat menyentuh hasil jahitan mereka secara langsung sama ada jahitan dan potongan fabrik kemas atau pun tunggang-langgang.
Oleh itu, Mohammad Fitrie menyatakan beliau telah membuat nota ringkas agar pelajar dapat mudah memahami subjek pengajaran seni jahitan.
“Penyampaian yang mudah, pelajar juga akan mudah memahami,” katanya.
Bercerita tentang pencapaian beliau pula, Mohammad Fitrie mengatakan bahawa dirinya melanjutkan pelajaran dalam bidang diploma fesyen dan pakaian di Politeknik Ibrahim Sultan Johor pada tahun 2016.
“Kemudian, saya mendapat tawaran untuk menjalani latihan industri di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara selama tempoh enam bulan sebelum ditawarkan bekerja sebagai Pensyarah Jahitan di Kolej Komuniti Mas Gading,
“Di jabatan tersebut, saya pernah terlibat secara langsung dalam Majlis Santapan Diraja sempena Istiadat Pertabalan KDYMM SPB Agong XVI di Istana Negara pada 31 Julai 2019.
“Itu adalah pengalaman manis saya yang mana saya diberi kesempatan untuk menghasilkan tengkolok penari bagi digunakan semasa membuat persembahan sempena Istiadat Pertabalan KDYMM SPB Agong XVI di Istana Negara,” katanya.
Dalam pada itu, Mohammad Fitrie memberitahu selepas dirinya tamat kontrak MyStep, beliau kini giat mengambil tempahan jahitan daripada pelanggan sekitar Kuching.
Katanya, beliau mengambil tempahan jahitan baju kurung dan pengantin dengan mengenakan harga yang berpatutan.
“Saya juga ada mengambil tempahan untuk menjahit pakaian tradisional untuk penari kebudayaan.
“Malah, baru-baru ini saya mendapat tempahan membuat pakaian pengantin lelaki dan perempuan dengan gaya kontemporari iaitu fesyen campuran tradisional dan moden. Itu adalah percubaan pertama.
“Pakaian pengantin tersebut merupakan 2 in 1 (dua dalam satu) yang mana ia sesuai digunakan untuk akad nikah dan majlis bersanding yang bertemakan klasik dan moden,” ujarnya.
Mohammad Firdaus berharap agar beliau dapat mengembangkan kemahirannya dalam seni jahitan dan hasil tangannya kelak dapat dikenali ramai.
“Tidak penting di mana anda bermula yang penting di mana anda akan berakhir,” tegasnya.
Oleh SYAHIDA HASSAN