TERTARIK … Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melihat contoh kediaman ‘Neu Pendington’ pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Usaha Sama antara Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan UDA Holdings Berhad semalam. Turut hadir, Pengerusi UDA Holdings Bhd Datuk Norliza Abdul Rahim (kiri) dan Pengerusi SEDC Tan Sri Abdul Aziz Husain (kanan). • Foto BERNAMA
KUCHING: UDA Holdings Berhad (UDA), syarikat pemaju hartanah, pengurusan aset, fasiliti dan perhotelan telah memperkenalkan projek ‘Neu Pendington’ iaitu projek pembangunan bersepadu pertama di Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia merupakan projek pertama yang agak strategik di Bandar raya Kuching terutamanya di kawasan Pending.
“Saya percaya bahawa ini akan merubahkan landskap dan dinamik pembangunan menjadi satu kawasan yang agak moden.
“Laluan Pending (Nue Pendington) ini juga merupakan antara hentian tren Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) yang akan dihubungkan dengan Kota Samarahan.
“Melalui laluan ini juga pelajar dari UiTM atau UNIMAS boleh tinggal di kawasan Pendington dan menaiki pengangkutan awam melalui ART,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Pembangunan Usaha Sama Antara Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan UDA (Nue Pendington) di sini, semalam.
Dalam hal yang berkaitan, Premier Sarawak berkata Neu Pendington telah diisytiharkan sebagai kawasan pembangunan”, bermaksud mereka yang bukan Rakyat Sarawak dibenarkan membeli hartanahnya.
“Jadi ia boleh menjadi Sarawak-Malaysia Rumah Keduaku (untuk warga asing).
“Oleh itu, saya serahkan kepada Uda (Uda Holding Berhad) untuk melancarkan pemasarannya sendiri supaya orang ramai boleh melabur dan memiliki harta di sini dengan akses mudah,” katanya.
Projek itu dijangka siap sepenuhnya pada 2029 di mana fasa pertama akan siap pada 2026 dan fasa kedua pada 2027.
Tambah Abang Johari, ini akan memberi kemudahan untuk perniagaan manakala melengkapkan projek pembangunan lain dalam Kuching.
Selain Kuching, katanya bandar lain dan bandar-bandar di Sarawak, seperti pekan Pusa dan Bintulu, juga akan mengalami perkembangan selanjutnya dan penjanaan semula bandar.
Nama ‘Neu Pendington’ adalah gabungan ‘Neu’ yang membawa maksud pembaharuan dan ‘Pendington’ diinspirasikan daripada nama asal kawasan pembangunan tersebut iaitu Pending,”
Pada 2020, Memorandum Perjanjian Pembangunan Bersama SEDC dan UDA telah ditandatangani bagi menjalin kerjasama dari aspek hartanah.
Oleh AZREEN KERIA