KUCHING: Jualan Murah Keluarga Malaysia(JMKM) masih lagi diteruskan di beberapa lokasi bahagian Kuching, antaranya di Mydin Vista Tunku Petra Jaya, semalam.
Jualan tersebut menawarkan harga yang lebih murah berbanding harga pasaran. Antara barangan yang mendapat potongan harga termasuklah beras,gula, minyak masak, sayur-sayuran dan banyak lagi.
JMKM akan berlangsung sehingga 12 September ini sahaja. Setiap barangan yang diberikan potongan harga adalah dibawah kawalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Terdahulu, KPDNHEP mengumumkan pelaksanaan Jualan Murah Keluarga Malaysia JMKM di tiga negeri, iaitu Sarawak, Terengganu dan Johor yang merangkumi 170 DUN mulai 19 Ogos 2022.
Pelaksanaan JMKM ini diterajui oleh lima kementerian, KPDNHEP, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MAFI), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Kementerian Wilayah Persekutuan
(KWP).
Pelaksanaan ini dilihat sebagai satu usaha kerajaan untuk membantu ahli Keluarga Malaysia meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat.
Menurut salah seorang pengunjung, Nor Shammimin Abdullah, 24 yang membeli-belah di Mydin Vista Tunku Petra Jaya, pelaksanaan tersebut sedikit sebanyak membantunya dalam mengurangkan kos perbelanjaan bulanan.
“Walaupun harganya tidaklah jauh berbeza dari harga pasaran, namun sedikit seabnyak ia masih mengurangkan perbelanjaan saya sekeluarga.”
“Saya berasa sangat beruntung kerana JMKM ini diadakan di sini kerana lokasi Mydin ini sangatlah strategik untuk para pengunjung sekitar kawasan ini. Kita boleh lihat pasar raya ini dikelilingi kampung dan perumahan penduduk dan ia memudahkan para pembeli untuk datang ke sini untuk membeli-belah,” katanya.
Oleh itu, KPDNHEP menggesa semua ahli Keluarga Malaysia mengambil manfaat dari harga murah yang ditawarkan dengan melawat JMKM di lokasi berdekatan serta para peniaga untuk terus berperanan dalam mengawal inflasi dengan tidak mencatut dan menaikkan harga barangan sesuka hati tanpa alasan yang munasabah.