TERIMA KASIH…Khalid Andong (kanan) menerima cenderahati daripada Datuk Mohd.Yusnar Matalie pada majlis perasmian Kejohanan Piala Presiden RSS 2022 di Stadium Tertutup Sibu semalam.
SERAMAI 271 orang pesilat di bawah Rumpun Silat Sarawak (RSS) dari seluruh Sarawak telah mengambil bahagian pada Kejohanan Piala Presiden RSS 2022 yang bermula di Stadium Tertutup Sibu semalam.
Menurut Timbalan Setiausaha Agung RSS Mohd Azfar Ismail, kejohanan ini akan berlangsung selama lima hari iaitu dari 5 hingga 9 September ini.
“Antara tujuan kita menganjurkan kejohanan ini adalah mencungkil bakat-bakat baru supaya dapat menjadi pelapis pada kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa pada masa akan datang.
“Ini kerana, Sarawak pernah melahirkan atlet-atlet silat yang menjuarai pelbagai kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya ketika ditemui media setelah majlis perasmian pembukaan kejohanan itu, semalam.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pegawai Daerah Sibu Khalid Andong yang mewakili Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu.
“Pesilat yang beraksi cemerlang pada kejohanan ini berpeluang untuk beraksi pada Pertandingan Silat Premier Sarawak Cup yang dijadual berlangsung pada 17 Disember nanti,” ujarnya.
Oleh itu, katanya RSS meletakkan panel-panel pemerhati bagi menilai prestasi pesilat yang bersaing dalam pelbagai kategori dipertandingkan.
‘Antara beberapa aspek yang dinilai termasuklah ketahanan fizikal, mental, stamina dan teknik-teknik yang baharu,” tambahnya.
Terdahulu, dalam ucapan aluan Datuk Mohd. Yusnar Matalie berkata, RSS menganjurkan pelbagai kejohanan dan aktiviti untuk para pesilat mereka.
Ini termasuk, katanya akan menghantar pasukan Sarawak ke Indonesia bagi menjalani latihan dengan bekas juara dunia sebagai persiapan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-20 di Kuala Lumpur pada hujung September ini.
“Di samping itu, kita juga akan terlibat dengan pertandingan satu sekolah satu silat peringkat kebangsaan yang akan berlangsung di Melaka pada 30 September hingga 3 Oktober,”.
“Malah, kita juga merancang untuk mengadakan festival di Lawas pada awal November kelak. Festival ini akan melibatkan Brunei, Limbang dan Sabah,” katanya.
Oleh RAIHAN OMERA KAUSAR