TINJAU… Datuk Hashim Bojet bersama pasukannya membuat tinjauan ke tapak perladangan buluh.
Kegunaan dan produk arus perdana yang dihasilkan dari buluh adalah kayu penyepit, perabot, peralatan muzik, pencungkil gigi dan mempunyai rebung yang boleh dimakan. Selain itu buluh juga dijadikan galah, bingkai gambar, pencucuk sate, bahan anyaman, bidai dan kraf tangan. Rumpun buluh juga dijadikan landskap di taman-taman rekreasi awam dan kawasan persendirian.
Melalui kajian dan penyelidikan yang meluas, kini penggunaan produk yang dihasilkan daripada buluh lebih luas dan pelbagai.
Menurut Pengurus Projek Buluh Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak(PUSAKA), Dr. Jong Lip Khiong, pelbagai industri berasaskan buluh akan diterokai oleh Sarawak.
” Ada empat industri buluh utama yang akan kami fokuskan iaitu ‘industri kejuruteraan buluh bagi menghasilkan papan panel buluh; Industri berasaskan arang buluh seperti (bio-char, farmaseutikal, kosmetik serta tekstil);Industri makanan; dan Industri kraftangan.
” Tujuan pengwujudan empat industri utama ini adalah bagi memastikan sumber buluh dapat digunakan secara efektif dan optimum selaras dengan tema pusaka ‘nothing goes to waste’,” katanya.
Bagi mencapai matlamat tersebut, kerjasama strategik telah dijalankan bersama pihak industri serta institusi pengajian tinggi bagi menjalankan kajian kesesuaian spesis buluh untuk industri yang akan dibangunkan.
Pelbagai inovasi berasaskan telah dicipta, antaranya ialah basikal yang diperbuat daripada buluh.
Bagi penghasilan basikal buluh, buluh yang akan digunakan perlu dirawat dengan baik agar tidak diserang oleh serangga perosak seperti bubuk. Kaedah rawatan seperti heat treatment, boiling, pressure treatment dan rendaman dengan bahan kimia boleh digunakan sebelum ia diproses menjadi basikal.
Dalam proses pembuatan, batang buluh tersebut perlu dikeringkan mengikut kadar kelembapan yang sesuai sebelum disembur dengan bahan kalis air.
Berdasarkan kajian, jangka hayat basikal buluh adalah 10-20 tahun, jika rangka buluh tersebut dijaga dan dirawat dengan baik.
Menurut Dr. Jong Lip Khiong, spesis buluh yang digunakan untuk menghasilkan basikal buluh adalah spesis ‘Bambusa nana’ ataupun juga dikenali sebagai buluh ‘Thai Silk’.
“Buluh tersebut sesuai untuk pembuatan basikal kerana struktur batangnya yang mantap, teguh serta senang dibentuk,” katanya.
Selain daripada penghasilan basikal, buluh juga digunakan untuk menghasilkan produk farmaseutikal dan kosmetik menurut Pengurus Besar PUSAKA, Datuk Hashim Bojet.
” Kami telah bekerjasama dengan pihak Universiti Teknologi Mara(UiTM) bagi mengenalpasti buluh yang sesuai untuk kegunaan farmaseutikal dan kosmetik.
” Selain itu, kami juga akan mengenalpasti teh yang boleh dihasilkan daripada daun buluh. Kami sedang berkolaborasi bersama pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk memproses rebong daripada buluh bagi menghasilkan tepung. Tepung ini boleh digunakan untuk membuat kek dan produk farmaseutikal serta kosmetik.
“Di China, mereka telah memproses rebung buluh ini melalui kaedah penjerukkan agar boleh tahan lama dan boleh dipasarkan ke seluruh negara. Selain itu mereka juga menggunakan kaedah pengeringan untuk memanjangkan lagi jangka hayat rebung tersebut bagi membolehkannya dipasarkan ke seluruh negara.
” kalau kita melihat nilai eksport daripada rebung ini di peringkat antarabangsa sudah mencecah 2 billion Ringgit Malaysia. Kalau kita memggunakan konsep ini, kita dapat menjadikan buluh ini sebagai salah satu produk nilai tambah untuk industri tempatan dan juga boleh meningkatkan ekonomi penduduk tempatan kita.
“pada masa ini pihak komuniti kita, mereka menggunakan buluh ini untuk membuat lemang dan rebungnya untuk dimasak. Kalau kita memperkenalkanladang buluh, kita sudah tentunya boleh menghasilkan satu kuantiti yang besar bagi tujuan eksport.
” Kami juga sedang dalam perbincangan bersama beberala syarikat besar di China untuk memproses buluh ini sebagai bahan untuk pembungkusan makanan. Ini merupakan pasaran yang sangat luas kerana pasaran dunia masa ini sedang membuka kaedah pembukusan kepada yang lebih mesra alam. Selaras dengan matlamat dunia bagi mengurangkan oenggunaan plastik dan buluh adalah salah satu bahan yang paling sesuai untuk menggantikan plastik.
“Selain itu, buluh juga boleh digunakan sebagai bahan pembuatan tisu muka. Tisu muka yang dikeluarkan daripada buluh berbeza daripada tisu yang diperbuat daripada pulpa kayu. Ini kerana, tisu diperbuat daripada buluh mempunyai nilai perubatannya yang tersendiri sebab itulah ianya sesuai untuk tujuan kecantikan,” katanya.
Penanaman buluh bakal menjadi salah satu penyumbang ekonomi negeri Sarawak menjelang 2027 apabila (PUSAKA) meletak sasaran menghasilkan satu juta anak benih buluh sehingga 2027.
PUSAKA juga menyasarkan untuk menanam sekurang-kurangnya 20,000 hektar buluh untuk tujuan perindustrian bagi menjana pendapatan eksport RM200 juta menjelang 2030.
Selain itu, kerajaan negeri juga menyasarkan untuk menanam buluh untuk tujuan perindustrian bagi mewujudkan 5000 pekerjaan dengan pendapatan isi rumah RM36 juta setahun.
Melihat kepada senario pasaran buluh Global semasa dan kadar pertumbuhan tahunan kompaun yang diramalkan sebanyak 5% untuk 2030 dan seterusnya, prospek industri buluh adalah sangat cerah.
Oleh SHAHRUL QAIZAT