DATUK Seri Aminuddin Harun (kiri) menerima cenderahati daripada Sutekno selepas majlis penyampaian hadiah Program i-DEEN AADK Kebangsaan 2022 di Seremban, pada malam Selasa lalu.• Foto BERNAMA
SEREMBAN: Program i-DEEN membantu klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam menyerlahkan bakat serta keyakinan diri untuk mereka memulakan kehidupan baharu yang lebih baik.
Ketua Pengarah AADK Sutekno Ahmad Belon berkata, program yang dianjurkan sejak tiga tahun lepas itu adalah antara usaha agensi tersebut menghakis stigma masyarakat terhadap klien mereka yang pulih dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen).
“I-DEEN adalah kaedah menterjemahkan pengetahuan dan kemahiran klien melalui pendekatan psikospiritual yang diberikan kepada semua klien di bawah Program Rawatan dan Pemulihan AADK.
“Klien diberi peluang menyerlahkan bakat yang dimiliki sekali gus meningkatkan kesedaran dan keyakinan bahawa perkara yang baik akan menghasilkan manfaat yang baik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup i-DEEN 2022 yang dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun di Pusat Dakwah Islamiah Paroi di sini semalam.
Seramai 264 klien yang sedang mengikuti program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) dan program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) terlibat dalam program i-DEEN kali ini.
Sutekno berkata, program tersebut mampu membentuk modal insan yang memiliki jati diri dengan menjadikan agama Islam sebagai jalan kehidupan yang lebih baik.
Menurutnya, i-DEEN menerapkan elemen kerohanian serta hiburan berinformasi melalui empat acara yang dipertandingkan iaitu Tilawah al-Quran, Azan, Syarahan Tafsir dan Lagu Ketuhanan.
“Klien yang menyertai pertandingan ini diharapkan dapat menjadi agen perubahan dan membawa aura positif dalam mengharungi cabaran kepulihan dalam mengurus tekanan serta stigma negatif,” katanya.
Beliau berkata, kebanyakan klien AADK yang menyertai program itu berbakat besar terutamanya dalam pertandingan nyanyian menerusi ciptaan lagu sendiri.
Selain itu, Sutekno berkata tenaga pengajar bagi program tersebut melibatkan pegawai AADK sepenuhnya yang bertanggungjawab membimbing klien.
Katanya, setakat ini terdapat kira-kira 4,000 klien AADK ditempatkan di 28 Puspen dan 70,000 menjalani pemulihan dalam komuniti. – Bernama