Oleh Awang Alfizan
“Ibu, Citra perlukan ibu. Puak Sanstri pasti akan menangkap Citra. Ibu, tolong Citra!” jeritku lalu terjatuh dari katil. Rupa-rupanya aku masih bermimpi perkara sama sejak pemergian ibu.
Setelah siap mandi, aku menggapai kanta lekap yang berada di sebalik cermin lalu memakainya. Sudah menjadi kewajiban bagiku sebagai golongan Sainatra untuk menyamar menjadi golongan Sanstri dengan menggunakan kanta lekap berwarna biru. Sebuah penyamaran yang terpaksa dilakukan kerana sistem pemerintahan kerajaan yang mendiskriminasikan masyarakat. Memori beberapa tahun yang lalu masih lagi bertubi-tubi menerjah fikiranku. Kami sekeluarga telah dipaksa berkumpul oleh pihak pemerintah di sebuah pusat pemeriksaan bersama-sama orang ramai. Sejenis cecair yang unik disuntikkan ke dalam tubuh kami semua dan cecair itu perlahan-lahan mampu menggubah warna mata manusia menjadi warna ungu atau biru. Pihak tentera pun mengasingkan kami mengikut kelompok yang telah ditentukan oleh warna mata kami.
“Bagi sesiapa yang mempunyai mata berwarna biru digelar sebagai Sanstri, manakala manusia yang memiliki mata berwarna ungu dilabel sebagai Sastrawi. Sanstri ialah masyarakat yang mampu menguasai ilmu sains dan matematik. Sastrawi pula ialah masyarakat yang lebih cenderung dengan ilmu kesusasteraan dan kesenian. Sistem ini disebut sebagai ‘Sistem Legasi’. Golongan Sanstri akan menjadi penduduk mutlak bumi kerana masyarakat yang mendalami ilmu sains dan matematik sangat penting untuk kemajuan evolusi dunia. Bagi golongan Sastrawi pula, mereka akan ditahan dalam sebuah gedung gergasi yang digelar sebagai ‘Dunia Antara Dua Tembok’ kerana masyarakat yang hanya menguasai ilmu kesusasteraan dan kesenian merupakan beban dunia kerana tidak menyumbang apa-apa dalam perkembangan kemodenan dunia.” Ucapan ketua tentera tersebut dengan tegasnya di hadapan jutaan manusia.
Hampir semua masyarakat yang berada di situ terutamanya golongan Sastrawi tidak bersetuju dengan Sistem Legasi yang penuh dengan penindasan itu. Ada segelintir mereka yang cuba memberontak tetapi akhirnya tewas ditembak oleh para tentera. Golongan Sastrawi pun terpaksa pasrah dengan keputusan yang dikeluarkan oleh pihak pemerintah itu. Tatkala para tentera sedang sibuk mengasingkan semua warga mengikut kelompok masing-masing. Ibu terdengar beberapa orang tentera sedang berbicara tentang sesuatu rahsia.
“Sesiapa yang memliki mata berwarna ungu di sebelah kiri dan biru di sebelah kanan akan digelar sebagai golongan Sainatra. Mereka ialah hasil zuriat daripada pasangan Sanstri dan Sastrawi yang sangat diharamkan dalam undang-undang Sistem Legasi. Masyarakat Sainatra mampu menguasai kedua-dua bidang yang dikuasai oleh Sanstri dan Sastrawi. Oleh itu, mereka harus dibunuh dengan segera kerana kelompok ini mampu mewujudkan keseimbangan dunia. Jika rakyat mengetahui kewujudan Sainatra, maka tampuk pemerintahan bumi akan dikuasai oleh Sainatra,” ujar mereka dan tanpa disedari ibu telah mendengar semua perbualan itu.
Wajah ibu pula kelihatan bertambah risau apabila melihat warna mataku persis seperti seorang Sainatra. Aku pun ditarik tangan oleh ibu lalu disembunyikan ke dalam salah sebuah lori yang sedang menuju ke Kota Legasi. Aku yang enggan berpisah dengan ibu lantas memeluknya dengan erat.
“Pergilah kamu ke Kota Legasi. Carilah ayahmu. Dia seorang Sanstri dan merupakan orang kuat di sana. Hati-hati ya sayang,” amanah terakhir ibu sebelum dia ditangkap semula oleh para tentera.
Dengan berbekalkan kepintaran Sainatra, aku menyeludup masuk ke Kota Legasi sebagai Sanstri. Tujuanku ke mari hanya satu, iaitu untuk bertemu dengan ayah agar dia dapat membebaskan ibu. Aku mendongak ke atas langit temaram sambil memerhati semua kemajuan kota yang melangkaui batas pemikiran logik. Kenderaan sekarang mampu berterbangan di udara umpama kepulan mega yang menggunakan teknologi daya tolakan magnet yang berlawanan. Semua penduduk kota hanya menggunakan tenaga yang diserap dari luar angkasa sebagai sumber tenaga elektrik untuk keperluan harian. Dunia sudah maju tetapi sayang, warna-warni kesusasteraan kian pudar dalam kehidupan masyarakat.
Setibanya di Universiti Sanstri Legasi (USL), iaitu tempat pengajianku, aku melangkah masuk ke dalam dewan kuliah yang terletak di bangunan pencakar langit ini. Para pelajar yang lain sedang sibuk dengan alat peranti elektronik masing-masing. Mereka sangat taasub dengan ilmu sains dan bercita-cita besar untuk menjadi salah satu pemimpin atasan Sanstri. Aku pun mengambil tempat di bahagian penjuru dewan sebelum kuliah bermula. Sepanjang sesi kuliah berlangsung, aku yang berasa kurang berminat dengan topik pembelajaran pada hari ini mula mencoret serangkap puisi sambil memandang ke arah seorang pelajar yang duduk berhadapan dengan pensyarah. Namanya ialah Riki, seorang pelajar terbaik di USL.
Jarum jam sudah melentok ke pukul 12.00 tengah hari dan waktu berehat sudah pun tiba. Aku lebih gemar untuk meluangkan waktu rehat di perpustakaan. Di sana, aku boleh membaca buku-buku sastera yang selama ini disembunyikan oleh pustakawan. Bagi mereka, semua ilmu itu seharusnya dihargai dan bukan untuk didiskriminasikan. Oleh itu, mereka sentiasa memastikan buku-buku tersebut tidak dirampas oleh pihak atasan dengan menyembunyikannya di dalam bilik stor. Tanpaku sedari, sehelai kertas tercicir dari beg sandangku. Riki yang menyedarinya lantas mengutip kertas itu untuk mengembalikannya kepadaku. Namun, aku sudah jauh melangkah ke perpustakaan. Riki pun membaca puisi yang tertulis pada kertas tersebut. Dia terpersona dengan kata-kata puisi itu dan ini kali pertama dalam hidupnya membaca puisi.
“Siapakah gadis itu? Indah sekali kata-kata puisinya ini. Adakah dia seorang Sastrawi?” soal Riki lalu mengikutiku dari belakang secara senyap.
Suasana perpustakaan dipenuhi dengan para pelajar yang khusyuk membuat kerja masing-masing. Ada yang sedang menyelak buku untuk mengulang kaji pelajaran dan ada juga yang sedang mengubah suai teknologi ciptaan mereka. Aku yang lebih berminat untuk membaca kitab-kitab sastera lantas mendekati seorang pustakawan yang berada di kaunter. Pustakawan itu bernama Puan Siti dan dia ialah seorang Sastrawi. Penyamarannya selama ini telah mengaburkan pandangan pihak Sanstri untuk mengenali identitinya. Setelah mendapatkan kunci daripadanya, aku pun menuju ke ruang stor. Buku karya Shahnon Ahmad menarik perhatianku untuk membacanya. Saat minda leka membaca buku yang penuh dengan imaginasi tiba-tiba, terdengar bunyi sebuah buku yang terjatuh dari rak yang berdekatan. Aku menoleh di sekeliling untuk mencari jika ada sesiapa mengetahui kegiatanku dan rupa-rupanya Riki yang sedang bersembunyi di sebalik timbunan buku. Dia yang berasa cuak kerana tertangkap olehku hanya mampu tersenyum lebar sambil melambaikan tangannya ke arahku.
“Awak buat apa di sini?” tanyaku kepadanya dengan curiga.
Belum sempat dia menjawab pertanyaanku, entah dari mana sebuah buku terjatuh ke atas pundakku. Mujur buku itu tidak setebal kamus, jika tidak sudah tentu tulang pundakku patah ibarat ranting pohon yang rapuh.
“Aduh, awak tak apa-apa ke?” soal Riki yang kelihatan risau dengan keadaanku.
“Saya tak apa-apa,” jawabku sambil menahan kesakitan.
Suasana menjadi semakin panik tatkala aku menyedari kanta lekapku terjatuh lalu menghilang dalam timbunan buku. Riki yang terlihat warna ungu pada mataku lantas terpaku seperti boneka kayu. Dia seakan-akan tidak percaya bahawa Sainatra itu benar-benar wujud dan sedang berdiri di hadapannya. Aku yang cemas lalu berlari meninggalkannya berseorangan. Aku bergegas masuk ke tandas untuk memakai kanta lekap yang aku bawa lebih sebagai langkah berjaga-jaga. Mujur tiada orang lain yang menyedari mataku kecuali Riki. Setelah selesai menenangkan diri, aku pun keluar dari tandas kerana sebentar lagi masa rehat akan tamat. Di hadapan tandas, kelihatan Riki sedang menantiku. Aku yang berasa takut cuba memberanikan diri untuk mendekatinya. Tidak seperti jangkaanku, tiba-tiba Riki meletakkan tangannya di bahuku. Saiz tubuhnya yang kekar dan tinggi membuatkannya terpaksa memandangku dengan menundukkan kepalanya. Warna kemerahan mula timbul pada pipi gebuku kerana aku berasa canggung dengan situasi ini.
“Awak sangat istimewa. Awak jangan takut. Saya takkan bagitahu sesiapa tentang identiti awak,” katanya untuk menenangkanku.
“Terima kasih sebab awak tak bocorkan rahsia saya ini. Sebelum tu, nama saya Citra,” ujarku lalu menghulurkan tangan sebagai tanda perkenalan.
Belum sempat Riki menyambut tanganku, siren pun berbunyi yang menandakan waktu rehat sudah tamat dan para pelajar diminta untuk kembali ke dewan kuliah sekarang. Kami berdua pun menamatkan perbualan kemudian bergegas masuk.
Keesokkan paginya, semua pelajar termasuk aku dan Riki menghadiri forum perdana bersama Tuan Dr. Shah, pengasas Sistem Legasi. Kami pun bersama-sama menuju ke dewan forum dan duduk bersebelahan. Dari atas pentas, terpancar sebuah portal yang berhubung dari bangunan parlimen Sanstri dengan dewan forum. Kelihatan Tuan Dr. Shah pun keluar melalui portal tersebut dengan megahnya. Semua penonton terpegun dengan ciptaan terbaharu beliau yang mampu membuatkan manusia pergi ke mana-mana sahaja melalui portal tersebut.
“Wahai bakal-bakal peneraju kekuasaan Sanstri yang hebat belaka, hari ini saya akan meminta salah seorang daripada kalian tampil ke hadapan untuk mencadangkan sebuah idea. Idea yang mampu menjadikan Sanstri sebagai bangsa terhebat yang pernah hidup di atas muka bumi ini,” ucapan Tuan Dr. Shah dengan nada yang lantang.
“Saya pilih kamu, gadis yang berada di belakang itu. Sila naik ke atas pentas ini,” kata beliau sambil menunjukkan jarinya ke arahku.
Semua penonton bertepuk tangan dan bersorak kepadaku. Aku yang masih terkejut dengan situasi ini hanya mampu terduduk kaku buat seketika. Riki yang cuba menenangkanku terus menggenggam tanganku dengan erat. Dari celah keramaian penonton, aku berjalan menuju ke atas pentas tanpa gentar sekalipun. Semua mata penonton tertumpu ke arahku. Aku pun lantas menyuarakan pendapatku.
“Selamat pagi, nama saya Citra. Saya kurang bersetuju dengan pendapat Tuan yang menyatakan bahawa golongan Sanstri ialah golongan yang paling hebat kerana berdasarkan pegangan sebelum wujudnya sistem legasi menyatakan bahawa manusia yang paling bijak ialah manusia yang boleh menguasai pelbagai ilmu dan bukan hanya menguasai ilmu sains semata-mata malah mampu menguasai ilmu kesusasteraan dan kesenian. Manusia ini dikenali sebagai golongan Sainatra. Sainatra ialah kelompok manusia yang mampu menciptakan keseimbangan dunia kembali,” ujarku.
Tuan Dr. Shah terkesima mendengar perkataan Sainatra yang terlafaz dari mulutku. Para hadirin mula tertanya-tanya tentang perkara yang aku maksudkan. Mereka seperti tidak mempercayai kewujudan kelompok Sainatra di dunia ini.
“Di manakah golongan Sainatra sekarang berada? Mengapa kami tidak pernah melihat mereka dalam kerajaan ini?” soal seorang pelajar. Riki sudah tidak senang duduk di bawah sana kerana takut jika identitiku terbongkar akibat kata-kataku.
“Manusia Sainatra memang jarang untuk kita lihat di Kota Legasi ini kerana kelompok ini sungguh langka dan istimewa. Oleh itu, saya mencadangkan kepada pihak pemerintah menjalankan sebuah eksperimen dengan mengambil sampel DNA Sainatra dan dimasukkan ke dalam tubuh Sanstri supaya kaum kita mempunyai kepintaran yang berlipat kali ganda berbanding dengan kaum yang lain. Sesiapa yang bersetuju dengan cadangan saya, sila berdiri dan bersorak bersetuju,” laungku sambil mengangkat gengaman tanganku.
Semua orang yang menghadiri forum itu lantas berdiri lalu bersorak sebagai tanda bersetuju termasuk Tuan Dr. Shah sekali yang kelihatan tertarik dengan ideaku. Riki memandangku dari kejauhan dengan nafas lega.
“Bila-bila masa nanti, saya nak awak pergi ke pejabat saya untuk membincangkan projek kita ini. Jangan lewat! Masa seorang Sanstri itu sangat berharga,” pelawa beliau kepadaku. Aku hanya menggangguk bersetuju.
Para pelajar baru sahaja habis sesi kuliah mereka. Tidak hairanlah apabila ramai pelajar berlegar-legar memenuhi kawasan lapang USL. Dalam kesesakan itu, aku mencari sosok Riki yang tidak kelihatan sejak waktu kuliah tadi. Beberapa detik kemudian, ada seseorang yang memakai baju kemeja hitam sedang melambaikan tangannya ke arahku. Sudah tidak asing lagi bahawa orang tersebut ialah Riki. Dia berlari mendekatiku yang sedang duduk di atas bangku taman. Lengan baju kemejanya dilipat rapi hingga ke siku membuatkannya kelihatan sangat tampan pada hari itu
“Saya bercadang nak ajak awak menyelinap masuk ke bangunan pemerintah pada malam ini. Saya rasa kita boleh mencari informasi tentang ayah kandung awak di sana. Dengan cara ini, mudahlah awak nak minta pertolongannya untuk membebaskan ibu awak,” katanya sambil memberi tatapan mata yang penuh kepercayaan.
Aku membalas cadangannya dengan seukir senyuman sebagai tanda bersetuju. Aku tidak menyangka bahawa Riki bersungguh-sungguh ingin menolongku.
Bunyi cengkerik memecah keheningan malam Kota Legasi yang sendu. Kelihatan juga purnama mengambang tepat di atas bangunan pemerintah. Aku dan Riki pun menyelinap masuk ke dalam sana. Kami berpecah dalam misi pencarian maklumat yang berkaitan dengan ayah kandungku. Aku mencari di bahagian aras atas, manakala Riki memeriksa di bahagian aras bawah. Langkahku terhenti apabila melihat sebuah ruangan yang mencurigakan. Dindingnya dikelilingi dengan hologram yang mengalirnya arus elektrik. Dalam ruangan itu terdapat sebuah lubang yang sangat dalam. Aku beranganggapan bahawa lubang itu merupakan laluan pintu masuk ke ‘Dunia Antara Dua Tembok’. Di sebalik gelitanya suasana ruangan itu, Riki sedang berada di belakangku sambil memegang sebuah senjata elektrik. Secara tiba-tiba, dia terus menolakku ke dalam lubang tersebut sambil tertawa sinis.
“Maafkan aku Citra. Sepatutnya aku yang dipilih oleh Tuan Dr. Shah dan bukannya engkau! Aku lagi hebat berbanding dengan kau. Kembalilah kau ke tempat yang sepatutnya golongan kau berada. Selamat tinggal Citra,” ujar Riki yang selama ini telah menipuku.
Aku baru sahaja tersedar dari pingsan akibat terjatuh ke dalam ruangan yang kelam ini. Aku cuba mengingat kembali orang yang telah menolakku. Setelah memejamkan mata aku baru menyedari bahawa gerangan itu ialah Riki kerana aku seperti terdengar suaranya yang sedang tertawa melihatku terjatuh tadi. Mengapakah Riki telah mengkhianatiku? Aku tidak menyangka bahawa orang yang aku cintai ialah musuh dalam selimut yang sebenarnya. Atmaku luluh ditusuk dusta yang menyakitkan. Aura di dalam ‘Dunia Antara Dua Tembok’ sangat merinding bulu romaku. Tiada cahaya mahupun suara yang mampu dirasakan sehinggalah terpancar sebuah sinaran yang menuju ke arah sebuah pusara yang terdapat dua batu nisan di atasnya. Aku mendekati pusara itu dan membaca nama yang terukir pada batu nisan itu. ‘CANDRAWATI’. Itu nama ibuku. Adakah ‘Dunia Antara Dua Tembok’ yang dimaksudkan itu ialah sebuah pusara? Apakah ini semua?
Ubun-ubun kepalaku mula berdenyut kesakitan yang perit sehingga aku menghentakkan kepalaku ke tanah untuk menghilangkan rasa sakitnya. Satu persatu bayangan orang yang aku kenal berkeliaran dalam pandanganku. Akhirnya, penglihatanku mula kabur dan kedengaran seseorang memanggil namaku.
“Citra, bangun Citra. Kamu tak apa-apa?” soal seorang wanita yang berkot putih kepadaku.
Saatku sedar, aku sudah berada di dalam sebuah kamar dan sedang disoal selidik oleh wanita itu yang merupakan seorang doktor psikologi.
“Saya tanya sekali lagi, siapakah Riki? Adakah dia wujud ataupun hanyalah teman khayalanmu?” tanyanya lagi dengan nada yang serius. Wanita itu pun seakan-akan pasrah dengan keadaanku yang asyik mendiamkan diri apabila disoal.
Otakku sudah berkecamuk seperti rojak. Aku tidak lagi bisa membezakan antara realiti atau fantasi. Sebutir mutiara mata mula mengalir ke pipiku kerana aku cuba untuk menahan kesakitan yang kian menyerang akalku. Bibirku tertutup rapat ibarat terkunci tidak terlafaz. Aku terduduk di lantai sambil menutup telingaku yang seakan-akan ada suara-suara mistik yang sedang berbisik kepadaku. Doktor tersebut keluar dari kamar sambil melepaskan pandangan simpati terhadapku. Beliau melangkah menuju ke arah seorang lelaki yang sedang berdiri di luar pintu kamar. Kelihatan kerisauan pada wajah lelaki itu.
“Maaf Encik Shah, keadaan mental anak encik semakin teruk. Imaginasi Citra kian menguasai pemikirannya sehingga dia hidup dalam dunia fantasinya sendiri. Mungkin perkara ini berlaku akibat pemergian arwah ibunya yang telah membuatkannya tidak dapat menerima kenyataan,” penjelasan doktor lalu menenangkan Encik Shah.
“Semua ini salah saya doktor. Kalau saya tidak memaksa dia untuk mengambil bidang yang dia tidak suka, semua ini tidak akan berlaku. Citra minat untuk belajar sastera tetapi saya sentiasa menghalang cita-citanya itu sehinggakan dia tertekan. Sejak pemergian isteri saya akibat kemalangan, Citra tiada tempat untuk meluahkan masalah dan penderitaannya. Saya yang terlalu egois. Saya yang patut sakit dan bukannya Citra,” luah Encik Shah dengan perasaan yang kesal.
Encik Shah hanya mampu memandang ke arahku yang sedang terduduk kaku di lantai. Aku membalas pandangan tersebut sambil melontarkan senyuman sinis kepadanya. Kelihatan dua bebola mataku yang berwarna ungu dan biru bersinar memandangnya. Aku ketawa kecil sambil menyebut sebuah perkataan, ‘SAINATRA’.