“Bosannya! Tak tahu nak buat apa. Nak jumpa kawan tak boleh, nak main di luar pun tak boleh. Asyik duduk dalam rumah je”.
“Anak aku dah melalak (menangis) ajak keluar. Dia dah bosan sangat dalam rumah”.
Itu antara perkongsian ramai ibu bapa baik dalam perbualan ‘Whatsapp group’ dan di media sosial Facebook berhubung aktiviti ‘terkini’ anak-anak mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac dan dilanjutkan sehingga 28 April.
Kata kuncinya satu, BOSAN!
Lumrah kanak-kanak memang suka bermain, berseronok, ke sekolah dan meneroka pelbagai perkara bersama kawan-kawan. Namun disebabkan krisis COVID-19 dan arahan PKP ini, aktiviti harian mereka boleh dikatakan banyak berubah dan pergerakan menjadi terhad.
Mungkin ada ibu bapa yang tertanya-tanya sejauh mana keadaan ini boleh memberi kesan terhadap emosi dan psikologi anak-anak mereka?
Menurut Pakar Psikologi di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya (UM), Profesor Datin Dr Mariani Md Nor, sikap kanak-kanak berbeza mengikut peringkat umur.
“Bagi kanak-kanak yang berumur antara tiga hingga lima tahun tidak kira sama ada yang memang tinggal di rumah atau di hantar ke taska, mereka mungkin tidak terlalu terasa perbezaan rutin harian mereka. Malah mereka yang sebelum ini di hantar ke taska atau pusat jagaan harian, mungkin lebih seronok dapat berada di rumah.
“Namun berbeza dengan kanak kanak yang di peringkat pra-sekolah dan sekolah rendah. Tempoh PKP ini lama-kelamaan akan membuatkan mereka berasa bosan dan gelisah akibat terlalu lama ‘terperuk’ di rumah. Tidak dapat ke sekolah dan bermain dengan kawan-kawan.
“Emosi mereka boleh terjejas. Rasa bosan dan tidak puas hati akibat terkongkong boleh menyebabkan jiwa memberontak jika tidak difahami dengan baik oleh ibu bapa,” katanya kepada Bernama.
FAHAMI MINAT
Mariani yang juga Timbalan Presiden Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Majlis ECCE) berkata untuk itu adalah penting bagi ibu bapa merancang dan mengisi masa anak-anak dengan pelbagai aktiviti sepanjang tempoh PKP.
Masa anak-anak akan menjadi lebih bermanfaat dan dapat mengelakkan mereka bosan sekiranya ibu bapa menyediakan jadual di rumah iaitu peruntukan masa untuk bermain, belajar dan melakukan aktiviti sampingan.
Mariani berkata, dalam dunia teknologi hari ini ibu bapa juga perlu menjadi lebih kreatif dalam memastikan anak-anak seronok dan teruja untuk melakukan aktiviti yang dirancang.
“Boleh fokus kepada perkara yang menjadi minat mereka dan dalam masa sama selitkan juga aktiviti sampingan lain atau ilmu dalam subjek yang mereka kurang minat bagi menambah pengetahuan.
“Ibu bapa juga boleh menyediakan ruang khas untuk anak-anak melakukan aktiviti di rumah seperti melukis, mewarna, membuat kerja seni, aktiviti berkhemah secara indoor dan bermain permainan tradisional seperti congkak dan batu seremban serta board games,” katanya.
Beliau menambah, selain kerja sekolah yang dibekalkan dan proses pembelajaran dalam talian (e-learning) yang dijalankan oleh sesetengah guru, ibu bapa juga boleh mengikuti saranan serta panduan daripada laman web berkaitan bagi memenuhi aktiviti ‘cuti sekolah’ anak-anak dengan lebih bermanfaat.
“Anak-anak juga boleh dididik untuk membantu ibu bapa membuat kerja rumah seperti mencuba resipi baharu, mengatur pinggan mangkuk, menghias rumah, menyiram pokok bunga dan berkebun.
“Pada masa yang sama, mereka turut diberi peluang untuk menonton rancangan televisyen kegemaran mereka,” kata Mariani.
KANAK-KANAK ‘COVID’
Mariani pada masa sama turut ditanya bagaimana pula jika kanak-kanak itu sendiri yang disahkan positif COVID-19? Apakah kesannya kepada emosi dan diri mereka?
Selain laporan media tempatan, turut tular di media sosial mengenai beberapa orang kanak-kanak yang menjadi mangsa penyakit ini.
Antara yang paling menyentuh hati ialah kisah seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang menghidap kanser darah dan merupakan mangsa termuda positif COVID-19 di Kelantan.
Muhammad Fateh Aqil Mohd Nazmee sepatutnya menjalani rawatan kimoterapi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) namun terpaksa ditangguhkan selepas ujian darah yang dilakukan mendapati kanak-kanak itu positif COVID-19.
Terdapat juga video beberapa orang kanak-kanak dalam kejadian berasingan yang dijemput petugas kesihatan di rumah masing-masing. Mereka ini menaiki ambulans tanpa ditemani keluarga dan dibawa ke hospital kerana merupakan suspek malah ada yang disahkan positif COVID-19.
Seorang daripada kanak-kanak itu dipercayai mengikut ahli keluarganya ke majlis ilmu yang turut disertai peserta jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Seri Petaling.
Rakaman kanak-kanak itu dijemput petugas kesihatan yang lengkap berpakaian Peralatan Perlindungan Diri (PPE) menjadi tular di Twitter dan mengundang pelbagai reaksi netizen yang bersimpati dengannya.
“Sedih tengok”.
“This breaks my heart… imagining he’s my own little brother”.
“Kau imagine apa perasaan mak bapak dia bila anak sekolah rendah positif covid, ambulans dtg ambik, dia sorang je di kt hosp parents takleh teman”.
“Kesiannya. Amiklah pengajaran ye ibu bapa. Never bring any of your family ke any events or gathering walaupun penting ya amat. We never know apa2 yg jadi. Masih ada saki baki tabligh yg belum menjalani pemeriksaan covid 19”. Itu antara komen netizen di Twitter.
SOKONGAN MORAL
Mengulas perkara itu, Mariani berkata, emosi seorang kanak-kanak pastinya akan terganggu apabila perlu berpisah dengan ibu bapa atau ahli keluarga yang selama ini menjadi pelindung mereka.
“Rasa bimbang, takut dan macam-macam lagi sudah semestinya. Dalam keadaan diri yang masih kecil, tidak pasti sakit apa dan perlu melaluinya seorang diri tanpa ditemani ibu ayah dan ahli keluarga… Ia pastinya sesuatu yang amat menyakitkan bagi emosi seorang kanak-kanak.
“Sebelum ini semua ibu bapa yang buat, ke tandas dan nak tidur pun berteman. Ia sudah tentu sesuatu yang membimbangkan bagi mereka untuk melalui situasi ini sendirian. Pelbagai perasaan celaru dan rasa tertekan boleh timbul.
“Namun begitu, dengan sokongan dari aspek moral, kerohanian dan juga sosial daripada para petugas kesihatan yang merawat anak-anak yang terlibat ini, insya-Allah ia sedikit sebanyak akan membantu menenangkan keadaan bagi memastikan emosi mereka berada dalam keadaan stabil di samping mengelak berlakunya trauma,” katanya.
Beliau juga pada masa yang sama turut menambah, bagi kanak-kanak yang dibekalkan telefon bimbit oleh ibu bapa mereka digalakkan berhubung setiap hari bagi bertanyakan perkembangan kesihatan anak. Ini juga memastikan mereka tidak rasa terpinggir dan terus mendapat sokongan daripada aspek emosi serta mental daripada keluarga.
PERANAN GURU, IBU BAPA
Sementara itu, berkongsi pandangan, guru Sekolah Kebangsaan Parit Lapis, Batu Pahat, Johor, Muhamad Fizri Jamal berkata beliau mengambil inisiatif mengadakan sesi pembelajaran bersama murid-murid melalui aplikasi Whatsapp sepanjang peraturan PKP.
Selain ianya mudah dan pantas, kaedah itu katanya turut dibantu dengan pihak pentadbiran sekolah dan pejabat pendidikan daerah yang menyediakan sumber bahan pembelajaran kepada guru-guru.
“Inisiatif pembelajaran melalui Whatsapp ini termasuklah rakaman audio dan video. Selain memudahkan murid-murid (kebanyakan telefon mempunyai aplikasi Whatsapp ) kaedah ini juga membolehkan mereka belajar atau mengulangkaji pelajaran mengikut waktu masing-masing serta boleh diulang semula sekiranya tidak faham.
“Ia juga lebih fleksibel kerana ibu bapa boleh menyusun masa untuk anak-anak menggunakan telefon kerana mungkin terdapat keluarga yang bergantung pada hanya satu telefon bimbit untuk digunakan oleh beberapa orang anak,” katanya.
Muhamad Fizri yang berpengalaman selama 10 tahun sebagai guru Bahasa Inggeris pada masa yang sama berpendapat peranan ibu bapa amat penting dalam memastikan anak-anak memanfaatkan masa mereka sepanjang sesi persekolahan ditutup.
Walaupun terdapat majoriti ibu bapa memberi kerjasama termasuk sering bertanya dan memantau aktiviti pembelajaran anak-anak mereka namun terdapat juga segelintir yang kurang mengambil berat dan membuat keputusan meninggalkan ‘group Whatsapp’ yang diwujudkan oleh guru.
“Sebagai guru kami mahu memastikan anak-anak murid masih tidak tercicir dalam pembelajaran mereka walaupun sudah lama tidak ke sekolah.
“Kita mahu mereka tetap berfikir tentang sekolah, belajar dan pelajaran. Walaupun guru mungkin tak dapat mengajar sepenuhnya seperti di dalam kelas, tapi sekurang-kurangnya dengan inisiatif sebegini murid-murid masih dipantau termasuk memastikan mereka membuat kerja sekolah yang diberi oleh guru atau tidak.
“Cara ini juga secara tidak langsung boleh membuatkan mereka tak sempat berasa bosan, mengelak berasa lesu dan tidak bermaya lebih-lebih lagi apabila hanya menghadap gajet kerana sentiasa ada tugasan yang diberikan oleh guru,” katanya.– BERNAMA