DATUK John Sikie menyempurnakan Majlis Mangkong Tiang Rumah Panjang Baharu Rumah Gundi, Nanga
Biban Kiba kelmarin.
TATAU: Penduduk rumah perlu menitikberatkan isu keselamatan agar dapat mencegah sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk John Sikie Tayai berkata, penting bagi penduduk rumah panjang untuk mengambil pengajaran daripada kejadian kebakaran yang berlaku di rumah panjang sebelum ini.
“Ciri keselamatan perlu dititikberatkan di setiap pintu bilik sesebuah rumah panjang. Kita perlu mengambil iktibar daripada beberapa rumah panjang yang telah ditimpa musibah kebakaran.
“Dahulu kebakaran yang berlaku adalah dari dapur. Tetapi, kejadian kebakaran yang terjadi pada hari ini berpunca daripada ubat nyamuk, lilin dan juga telefon yang dicas atas tilam serta akibat litar pintas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap Majlis Mangkong Tiang Rumah Panjang Baharu Rumah Gundi, Nanga Biban Kiba di sini, Sabtu lalu.
Sementara itu, Pegawai Daerah Tatau Jabang Juntan menyeru semua penduduk rumah panjang untuk terus bekerjasama dalam usaha mencapai sesuatu perkara.
“Melalui kerjasama dan kerajinan, maka sesuatu kerja yang dibuat akan berjaya memmbuahkan hasil.
“Berkenaan bidang kuasa tuai rumah sama ada mempunyai sijil ataupun tidak ada, mereka perlu bekerjasama dengan penghulu kawasan.
“Mereka perlu berbincang dan bekerjasama dengan penghulu dalam membuat satu-satu keputusan,” jelasnya.
Pada majlis itu, Datuk John Sikie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus turut mengumumkan geran MRP sebanyak RM50,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan RM10,000 kepada Biro Wanita Rumah Gundi.