TERBAIK … Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama Timbalannya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Dr. Sim Kui Hian serta tetamu kehormat lain merakamkan gambar bersama warga sekolah sebaik tiba di tapak pembinaan sekolah tersebut di SK Ulu Segan, Bintulu, semalam.
BINTULU: Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Segan yang baharu akan menjadi sekolah model untuk sekolah-sekolah lain di seluruh Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sekolah rendah bernilai RM26 juta itu memiliki blok bangunan yang cantik sehingga wajar dijadikan sebagai contoh untuk membangunkan sekolah lain.
“Tiada sekolah kategori ini di Malaysia yang mempunyai keindahan seperti kita dapat lihat pada hari ini.
“Jadi, sekolah ini akan menjadi model untuk kita membangunkan sekolah-sekolah di tempat lain,” katanya pada sidang media semasa lawatan kerja beliau ke sekolah terbabit di Kemena Land District di sini, semalam.
Menurut Abang Johari, beliau akan menghantar gambar sekolah berkenaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Saya akan menghantar gambar kepada Menteri Pendidikan untuk menunjukkan bahawa inilah standard sekolah Sarawak yang harus dibangunkan oleh KPM.
“Kalau inilah keadaannya, anak-anak kita akan mempunyai masa depan yang cerah,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau juga berpendapat bahawa sekolah perlu memiliki perpustakaan yang mempunyai buku terkini agar anak-anak dapat mempelajari lebih banyak perkara di sekolah.
“Begitu juga dengan para guru, yang mana mereka boleh menambah ilmu pengetahuan melalui internet.
“Saya berharap kawasan ini dihubungkan dengan jaringan internet yang mana saya telah dimaklumkan oleh Menteri Utiliti bahawa fiber optik ada dan hanya menunggu untuk dihubungkan ke sekolah ini,” ujarnya.
Oleh CAROLYNE UTIH