Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • PUISI
  • WBS

PUISI

Utusan Sarawak 3 years ago

Cerita Sebuah Cita

Di bendang tak bertepi ini

Aku yang bernama insan

Ingin melarik sejalur garis kesedaran

Di jiwa anak watan yang masih dungu

Dungu tentang keilmuan

Dungu tentang keistimewaan.

Bersama tekad yang hampir tersekat

Aku yang bernama insan

Masih cuba menyusun kata-kata

Menganyam impian

Memahat azam di jiwa anak watan

Jadilah kamu cendekiawan

Jadilah kamu ilmuwan

Walau masih samar, laluan kian sukar.

Tak akan ku undur, berundur, beransur

Dari medan ini

Biar harus cedera dirodok cacian

Biar akan parah dipanah seranah

Biar harus menjadi batu dimakan sumpah.

Aku tahu,

Ruyung tak keluar sagunya andai tak dipecah

Aku tahu

Belakang parang tak akan tajam jika tak diasah

Biarlah berkurun aku di sini

Menggali perigi mengguna sudu

Memecah batu dengan kayu

Menyemai benih di atas batu

Dalam mengharungi denai bergerigi ini

Aku bernama insan

Akan terus bertahan

Selagi hayat dikandung badan.     

Wan Mahala Wan Ini @ Wan Ls

Sk Sebako, Daro.

Harapan Buat Betanak

Betanak, aku hiba

ketika cerita mereka menyambutku tiba

mengurung diri menghindari cahaya

menolak pendidikan kerana buta

menunggu takdir mengatur segala-galanya.

Betanak, ajari mereka

membicarakan ilmu dengan ingin

menggenggam berani agar pasti

melawan celaan menjadi cita-cita

membuktikan bahawa kemampuan itu nyata.

Buat tuan empunya amanah

izinkan aku membawa mereka

bukan untuk pergi tetapi meneroka

dunia yang luas dengan peluang

agar nanti ketika mereka pulang

Betanak yang suram berubah terang.

Intan Zubaidah

Kampung Betanak, Daro.

13 Mac 2022

Gerbera

Hadirnya berwarna

Menyempurna anggota

Suatu keluarga

Menambah sinar kirana

Sebagai halnya Gerbera

Begitulah metafor dirinya

Patih, mukhlis, nirmala

Mekar sedari sangkala fajar

Menjadi penambah hiasan butala

Ditatap, tenang

Dikasih, senang

Persis dirinya

Tatkala kaki menginjak medan tugasan

Tidak menangguh kala

Sungguh mengerjakan mata penghidupan

Luas citra

Lantang bicara

Indah akhlak manis tata susila

Bait bahasa teratur lontarannya

Pada benak kepala fikiranku

Beban kita pikul merentas waktu

Ternyata anganku terbang tinggi lalu

Ku dongak ke langit

Semantung

Awan berarak perlahan

Tamsil hatiku

Tiada diduga hadir cuma sementara

Dirinya berangkat jua

Memburu kehendak menjejaki hasrat

Tiadalah kudrat menghalang

Tiadalah daya melarang

Persahabatan ini tinggi nilainya

Tidak diukur kebendaan buana

Sentiasa dikenang walau dimamah usia

Tidak mahu ku katakan ini perpisahan

Kerna berpisah ertinya menyirna dirinya

Akan ku anggap ini hanya berjauhan

Kerna dekatnya di hati jauhnya hanya di mata

Aainaa

Raihlah inginanmu

Kejarlah anganmu

Gapailah impianmu

Min Rahim

Kuching, Sarawak.

Continue Reading

Previous: Jiwa Juara dalam Watak Hero “Ke Garisan”
Next: Citra

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.