BAKAL MEMILIKI JANA KUASA HIDROGEN PERTAMANYA… Jumlah pelaburan bagi Keppel Sakra Cogen Plant yang akan dibina di sektor Sakra di Pulau Jurong, dijangka sekitar S$750 juta. Sebagai jana kuasa CCGT, ia akan dapat menghasilkan wap untuk digunakan dalam proses perindustrian bagi pelanggan tenaga dan kimia di Pulau Jurong. CCGT canggih ini akan menjadi paling efisien dalam kalangan jana kuasa di Singapura dan akan dapat menjimatkan sehingga 220,000 tan CO2 setahun berbanding purata kecekapan operasi Singapura bagi kuasa
setara yang dijana.
SINGAPURA: Singapura bakal memiliki jana kuasa hidrogen pertamanya, Keppel Sakra Cogen Plant, yang dijangka siap sepenuhnya pada separuh pertama 2026.
Ini apabila Keppel Infrastructure Holdings Ltd menerusi unit milik penuhnya Keppel Energy, telah mencapai keputusan pelaburan akhir (FID) untuk membangunkan jana kuasa turbin gas kitaran gabungan (CCGT) canggih berkuasa 600MW.
Keppel Infrastructure ialah unit milik penuh Keppel Corporation, syarikat multinasional Singapura yang menyediakan penyelesaian bagi pembandaran mampan.
Keppel Infrastructure dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di laman webnya berkata, jumlah pelaburan bagi Keppel Sakra Cogen Plant yang akan dibina di sektor Sakra di Pulau Jurong, dijangka sekitar S$750 juta.
Syarikat itu berkata sebagai jana kuasa CCGT, ia akan dapat menghasilkan wap untuk digunakan dalam proses perindustrian bagi pelanggan tenaga dan kimia di Pulau Jurong.
“CCGT canggih ini akan menjadi paling efisien dalam kalangan jana kuasa di Singapura dan akan dapat menjimatkan sehingga 220,000 tan CO2 setahun berbanding purata kecekapan operasi Singapura bagi kuasa setara yang dijana,” katanya.
Sementara itu, ketua eksekutif Energy Market Authority (EMA) Ngiam Shih Chun berkata, permintaan kuasa elektrik Singapura dijangka berkembang seiring dengan peningkatan pembekalan elektrik dan pertumbuhan ekonomi.
Oleh itu, Ngiam berkata, EMA mengalu-alukan pelaburan oleh sektor swasta untuk membawakan teknologi terbaik dalam penjanaan kuasa.
“Jana kuasa hidrogen oleh Keppel ini akan meningkatkan kecekapan dan mengurangkan pelepasan karbon. Ini akan menyokong peralihan Singapura kepada tenaga lebih mampan pada masa depan di samping memastikan jaminan bekalan elektrik kepada pengguna,” katanya. – Bernama