SERAMAI 14 peserta menyertai program Kominiti@FINAS(KOFI) yang diadakan selama tiga hari di Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PeDI), Gedong bermula pada 26 Ogos lalu dan berakhir semalam.
Tujuan penganjuran program tersebut adalah bagi memberi pendedahan tentang perkara asas bagi penerbitan kandungan di YouTube untuk masyarakat di Gedong.
Menurut pengendali program, Ain Shuhada, setiap peserta menunjukkan minat, perasaan ingin tahu yang tinggi dan sangat bersemangat.
“Peserta yang hadir sangat bersemangat, sehinggakan ada peserta tidak mahu balik sehingga habis membuat persediaan untuk menghasilkan kandungan,” katanya.
Kebanyakan peserta berumur dalam lingkungan 18 sehingga 23 tahun dan hanya seorang sahaja peserta yang berumur 41 tahun, majoriti daripada peserta sudah mempunyai asas dalam pembikinan video seperti kemahiran menyunting video dan mengambil video menurut pengendali program, Iqbal Harun.
Menurut Iqbal, peserta hanya perlu didedahkan dengan cara dan teknik pengambilan video yang berkualiti seperti pemilihan sudut, pengcahayaan dan pengendalian audio yang baik, manakala peserta tidak perlu di ajar untuk menyunting kerana mereka sudah mempunyai kemahiran tersebut.
“Oleh sebab itu, saya rasa mereka telah membuat kajian tersendiri sebelum menghadiri bengkel ini kerana mereka mampu menghasilkan sesuatu yang lebih baik daripada jangkaan saya,” katanya.
Pengalaman dan ilmu yang dikongsi oleh pengendali program iaitu Iqbal Harun dan Ain Shuhada sangat bermakna bagi peserta yang ingin mengetahui kaedah yang betul dalam pembikinan kandungan YouTube.
Menurut salah seorang peserta program, Muhammad Daniel Idris, pelbagai benda baharu telah beliau pelajari.
“Sebelum ini, saya tidak tahu akan etika sebelum ingin membuat video. Sebagai contoh, kita perlu meminta izin kepada pemilik kedai sekiranya ingin membuat video berkenaan makanan dikedai tersebut. Etika didalam pembikinan video ini sangatlah penting agar tidak timbulnya persepsi dan prasangka buruk terhadap kami.
“Bengkel ini sangat membantu saya dalam mempelajari kaedah-kaedah bagi menjadi seorang ‘Youtuber’. Saya berharap agar program sebegini akan lebih kerap dianjurkan bagi memberi pendedahan kepada lebih ramai masyarakat yang berminat untuk menceburi bidang ini kerana program sebegini memberi pengatahuan serta pengalaman yang sangat berguna bagi pembikinan kandungam di YouTube,” katanya.
YOUTUBE JADI PLATFORM KERJAYA
Program KOFI ini sedikit sebanyak membantu dalam memperkasa industri perfileman di Sarawak menurut Ain Shuhada dan Iqbal Harun.
“Sebelum ini, kami(Iqbal dan Ain) juga bermula dari penghasilan video di YouTube dan media sosial dan sekarang kami telah mula berjinak dalam penghasilan telefilem dan rancangan memasak. Penghasilan video YouTube mampu menjadi platform untuk para pemain industri bagi memulakan kerjaya didalam industri perfileman.
“Setelah mereka aktif di YouTube dan media sosial mungkin minat mereka akan berkembang dan satu hari mungkin boleh mula berkecimpung di dalam industri perfileman. Jadi benda inilah kita perlu pupuk dari kecil-kecil sehingga mampu masuk ke industri perfileman,” katanya.
Menurut Iqbal pula, semua benda perlu bermula dengan perkara asas seperti YouTube.
“Apabila sesorang itu mula menghasilkan kandungannya sendiri di YouTube dan melihat kandungan orang lain yang lebih baik sedangkan menggunakan gajet yang sama, sudah tentu ini akan menimbulkan rasa ingin tahu seseorang itu bagi meningkatkan mutu kandungannya agar setanding dengan ‘Youtuber-Youtuber’ yang lain. Dari sini, mereka akan meningkatkan sedikit demi sedikit kualiti kandungan yang mereka hasilkan dan situasi sebegini akan membantu kita melahirkan anak seni yang berkualiti,” ujarnya.
Setelah menyaksikan produk akhir daripada peserta program, Iqbal berkongsi rasa bangganya terhadap peserta program yang berjaya menghasilkan produk yang sangat berkualiti malah diluar jangkaanya.
“Saya masih lagi tidak percaya dengan apa yang saya saksikan, saya ingatkan mereka akan menghasilkan satu video yang sangat asas sahaja namun mereka memberikam sesuatu yang sangat luar jangkaan saya.
“Generasi ini kearah yang lebih baik dan mereka sudah sedia membikin kandungan di sendiri cuma tiada bimbingan dan pendedahan dengan teknik yang betul. Kami sangat gembira kerana diberi peluang untuk berkongsi dengan mereka(peserta) tentang cara yang betul dalam penghasilan kandungan di YouTube.
“Saya berharap selepas habis program ini mereka masih boleh praktikan setiap ilmu yang kami kongsi.
“Selain itu, saya berharap agar mereka sentiasa membuat kandungan yang positif walaupun kandungan positif ini sukar untuk mendapatkan perhatian penonton. Sekiranya kita membuat kandungan yang negatif memang senang untuk kita mendapat perhatian, tapi untuk jangka masa yang panjang ia tidak baik untuk reputasi mereka dan kerjaya mereka sebagai penggiat industri,” katanya.
Tambah Ain Shuhada, beliau berharap agar peserta-peserta program tersebut untuk memperoleh ilmu yang bermanfaat bagi memulakan kerjaya mereka sebagai seorang ‘Youtuber’.