SEBUT saja pulut panggang, ia suatu juadah sarapan pagi yang begitu sinonim dengan masyarakat Melayu di Sarawak, termasuklah di Sibu.
Jika berkunjung ke Sibu, salah satu gerai pulut panggang yang harus disinggahi ialah gerai Pulut Panggang Sibo Kak Yam Noor, di Kampung Hilir, kini begitu viral dengan kesedapannya.
Pelanggan kebiasaannya singgah seawal 7.00 pagi di gerai Pulut Panggang Sibo Kak Yam Noor untuk mendapatkan pulut panggang yang masih panas.
Menurut anak Kak Yam Noor, Naimah Noor, 40, beliau mula berniaga dengan ibunya Mariam Baie, 70, dan abahnya Noor Bakar, 72, sejak usia sembilan tahun lagi.
“Pengalaman menikmati pulut panggang kami yang lemak disaluti santan asli sejak 35 tahun hingga ke hari ini akan membuat pelanggan untuk datang buat kali yang kedua,” ujarnya sambil mengukir senyuman walaupun begitu sibuk dengan proses pembungkusan pulut panggang dengan daun pisang, ketika ditemui di gerai mereka baru-baru ini.
Sementara itu, Naimah berkata, dalam sehari mereka menjual sebanyak 1,200 biji pulut panggang dengan menggunakan 50 kilo beras pulut.
“Sejak dulu lagi sehinggalah sekarang, sambutan daripada orang ramai Alhamdulillah. Pada Ramadan pula, jualan seharian melebihi 1,200 biji pulut panggang iaitu sekitar 1,500 biji pulut panggang dalam sehari.
“Namun permintaan pada Aidilfitri adalah yang tertinggi dalam setahun yang mana kami sentiasa menerima tempahan. Maka, kami perlukan 100 kilogram beras pulut dalam sehari, bermakna jualan harian kami mencecah sekitaran 2,400 ke 2,500 biji pulut panggang,” tambahnya.
Beliau berkata, Pulut Panggang Sibo Kak Yam Noor dibaluti dengan daun pisang dibuat daripada beras pulut, santan asli dan garam secukup rasa.
“Kamu mungkin tidak percaya, pada 1980-an satu biji pulut panggang kosong harganya hanyalah 20 sen, dibanding sekarang RM1 satu biji pulut panggang kosong dan RM1.50 panggang yang berintikan sesar (udang kering) digaul dengan kelapa parut,” tambahnya.
Apabila ditanya pengalaman pada waktu PKP Covid-19, Naimah berkata, “Itulah pengalaman yang begitu sukar yang mana jualan kami telah terjejas teruk disebabkan gerai tidak dapat beroperasi sepanjang tempoh PKP.
“Namun kami tetap tabah dan sabar. Ketika itu hanya dibolehkan berniaga untuk makanan ‘tapau’. Sekarang a kami begitu bersyukur dan lega sebab dapat beroperasi semula. Alhamdulillah, sambutan tetap baik daripada para penggemar Pulut Panggang Sibo Kak Yam Noor.
“Dengan ini, kami dari Pulut Panggang Sibo Kak Yam Noor mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang tetap masih setia bersama Pulut Panggang Sibo Kak Yam Noor selama ini. Sokongan kalian semua telah memberi dorongan dan motivasi kepada kami untuk terus menghidangkan pulut panggang yang terbaik dengan santan asli,” ujarnya.
Beliau menambah, selain daripada warga Sarawak dan Semenanjung Malaysia, para pelanggan yang turut berkunjung ke gerai Pulut Panggang Sibo Kak Yam Noor termasuklah mereka yang datang dari luar negara seperti Jordan, Dubai dan Singapura yang dibawa oleh rakan-rakan mereka di sini untuk singgah di gerai Pulut Panggang Sibo Kak Yam Noor.
Berkenaan peniaga lain yang turut menjual pulut panggang, Naimah berkata, “Itu adalah saingan sihat. Kehadiran mereka yang turut sama mencari rezeki dengan menjual pulut panggang, ia pasti akan dapat mempopularkan lagi pulut panggang terutamanya dalam kalangan pengunjung dari luar Sibu.”
Oleh RAIHAN OMERA KAUSAR