PELUANG…Para pemilik restoran dari Sarawak dan Semenanjung Malaysia yang berpeluang menikmati hidangan tradisi Melanau pada penjumpaan mereka.
KEBANYAKAN makanan tradisional etnik Melanau di kawasan tengah Sarawak, terutama di bahagian Mukah adalah berasaskan rumbia atau sagu dan kelapa.
Antara makanan seumpamanya yang telah dan mulai mendapat tempat dalam kalangan penggemar makanan tempatan mahupun dari luar adalah Tebaloi, Bebola Sagu, Linut dan Leluai.
Leluai diperbuat daripada bahan-bahan yang agak ringkas namun mempunyai rasa yang unik dan tersendiri.
Ia merupakan bubur cita rasa Melanau, dengan mempunyai rasa lemak manis dan sesuai dimakan ketika pada bila-bila masa, tidak kira panas atau ditambah ais.
Ramuan utamanya ialah isi kelapa, air kelapa, gula apong, daun pandan dan biji sagu yang dibuat khusus untuk Leluai.
Cara pembuatannya bergantung kepada cita rasa pembuatnya, terutama sebanyak mana bahan-bahan diperlukan, termasuk saiz hirisan isi kelapa, sama ada dipotong secara memanjang atau berbentuk persegi empat.
Di sesetengah kawasan di Mukah, Leluai dijadikan sebagai menu pilihan untuk berbuka puasa pada bulan Ramadan atau digilirkan dengan Bubur Lambuk dan Bubur Pedas yang sememangnya sinonim dengan bulan tersebut.
Baru-baru ini Leluai telah diperkenalkan kepada tetamu dari luar, terutama para pemilik restoran dari Semenanjung Malaysia dan Sarawak. Pada majlis Sambutan Ulangtahun Ke-40 Persatuan Peniaga Kedai Kopi Dan Restoran (PPKKR) Bahagian Mukah itu, mereka berpeluang menikmati keenakan Leluai dan rata-rata memujinya kerana keenakannya.
Selain Leluai, Tebaloi Udang yang berbungkus dengan daun dan diperbuat daripada kelapa dengan s udang sebagai inti turut dihidangkan.
Hidangan tradisi Melanau yang turut diperkenalkan pada majlis ini ialah Linut dan Umai.
Inisiatif mengetengah makanan-makanan tempatan oleh pihak penganjur pada majlis ini dianggap sesuatu yang harus dipuji kerana ia adalah antara wadah yang terbaik untuk mempromosikan makanan-makanan tempatan.
Justeru, diharapkan banyak lagi produk makanan keluaran tempatan diketengahkan pada majlis yang dihadiri oleh tetamu dari luar seperti itu kerana ia adalah kaedah promosi secara `mulut ke mulut’ yang diperakui sebagai kaedah pemasaran yang sangat efektif.
Oleh HENRY B SIYU