PESERTA DIALUKAN… Adam Yii Siew Sang bersama jawatankuasa penganjur Pertandingan ‘Upcycle Ocean Trash Miri’ yang akan diadakan pada 17 September depan.
MIRI: Pertandingan ‘Upcycle Ocean Trash Miri’ merupakan satu pertandingan mencipta replika bangunan bertemakan mercu tanda bangunan baharu Majlis Bandaraya Miri (MBM) daripada sampah-sampah dari lautan akan diadakan pada 17 September 2022.
Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang berkata, penyertaan pertandingan ini terbuka kepada pelajar dari sekolah rendah dan menengah dari Bandaraya Miri dan kawasan sekitarnya.
Katanya, semua peserta dikehendaki menyediakan replika model bertemakan ‘The Oil Barrel Building of Miri City Hall’ (mercu tanda), yang akan dipasangkan pada 16 September 2022 bermula 8.00 pagi hingga 4.00 petang.
“Replika akan mula dipamerkan, dipertandingkan dan dihakimi pada 17 September 2022 sementara majlis penyampaian hadiah dibuat pada 18 September 2022,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut dalam satu sidang media di sini semalam menambah, pertandingan ini menawarkan hadiah wang tunai dengan jumlah keseluruhan RM3,300.00, piala dan sijil.
“Juara akan membawa pulang wang tunai RM500.00, piala dan sijil (mengikut Tahap Anugerah), tempat Kedua membawa pulang wang tunai RM300.00, piala dan sijil (mengikut Tahap Anugerah) dan ketiga RM200.00, piala dan sijil (Mengikut Tahap Anugerah) dan lima peserta akan menerima saguhati RM100.00, piala dan sijil (Mengikut Tahap Anugerah).
“Selain itu, pihak Future Ocean Borneo PLT akan memilih satu replika yang menggunakan bahan terbuang dengan optimum, menepati tema, kemas dan menganugerahkan peserta dengan Anugerah SDG Future Ocean Borneo yang akan bawa pulang wang tunai RM300.00 dan sijil khas,” katanya lagi.
Pertandingan ini diadakan bersempena dengan ‘World Clean Up Day 2022’ dan Hari Malaysia Ke-59 yang jatuh pada 16 September 2022, tambahnya lagi.