SARAWAK kini mempunyai 2,560,600 penduduk berdasarkan rekod jabatan statistik pada 2020 dan ini menyaksikan pertambahan penduduk sekitar lebih 100,000 berbanding 2010 hanya mempunyai sekitar 2,461,140 penduduk.
SARAWAK kini mempunyai 2,560,600 penduduk berdasarkan rekod jabatan statistik pada 2020 dan ini menyaksikan pertambahan penduduk sekitar lebih 100,000 berbanding 2010 hanya mempunyai sekitar 2,461,140 penduduk.
Dari segi populasi etnik juga berlakunya penurunan dan peningkatan. Misalnya pada suku ketiga 2013, etnik Melayu mempunyai 599,600 penduduk manakala etnik Cina mempunyai 596,100.
Hal ini terdapat perbezaan sebanyak 3,500 penduduk. Ketika itu, etnik Melayu mengatasi populasi etnik Cina buat pertama kali dalam sejarah. Namun begitu, statistik etnik Melayu pada 2020 pula ialah sebanyak 607,800 berbanding etnik Cina sebanyak 619,900.
Bermakna perbezaan etnik Cina dan Melayu ialah sebanyak 12,100 orang. Ini meletakkan kedudukan etnik Melayu sebagai etnik ketiga terbesar Sarawak, manakala etnik Cina kedua terbesar, manakala etnik Iban pula merupakan etnik terbesar mewakili 723,400 penduduk.
Etnik lain termasuklah Bidayuh (197,000), Bumiputera lain (141,300), Melanau (122,400) dan India dan lain-lain (14,800) manakala bukan Malaysia tinggal di Sarawak pula ialah sebanyak 123,000 orang.
Situasi etnik
Etnik Melayu Sarawak terdedah dengan persuratan apabila pengaruh Arab dan penyesuaian tulisan Arab ke pengenalan tulisan Jawi. Rata-rata penulisan Melayu bersumberkan daripada syair yang direkodkan dan mempunyai kaitan dengan Brunei dan Sumatera.
Misalnya Syair Awang Semaun dalan bentuk tulisan jawi yang memaparkan asal usul pemerintahan Kerajaan Brunei. Begitu juga Hikayat Datuk Merpati yang merupakan karya klasik Melayu Sarawak yang memaparkan pengembaraan Datuk Merpati dari negeri Jawa selepas dihalau oleh ayahnya yang merupakan Raja Negeri Jawa, berkahwin dengan puteri Sultan Johor dan menetap di Santubong.
Kesemua versi asal ini mampu bertahan lama kerana tradisi mencatat dan menulis itu sudah sekian lama khususnya selepas kedatangan agama Islam. Hubungan Sumatera, Majapahit dan kerajaam sudah lama berlangsung sebelum kedatangan Brooke lagi.
Sebab itu, terdapat beberapa kawasan di Sarawak termasuk Lingga, Sadong, Kalaka, ada dicatatkan dalam Kitab Negarakertagama (1365) dikarang oleh Mpu Prapanca, sebuah teks klasik berkenaan sejarah Majapahit. Kerajaan Po-Ni pada abad ke-10 dan 13 pula berpusat di Santubong merupakan kerajaan muncul selepas kedudukan kerajaan Majapahit semakin melemah.
Menurut Jan Wisseman Christie, seorang ahli arkeologi dari Perancis yang mengkaji Asia Tenggara menyatakan Santubong menjadi tempat pengeluar kapur barus, madu lebah, kayu gaharu (laka) kulit kura-kura, musang manakala bagi Tom Harrison pula Santubong pernah menjadi pusat industri peleburan besi untuk ditukar kepada penduduk setempat dan dieksport.
Penempatan Melayu
Orang Melayu pada awalnya banyak mendiami kawasan perairan pesisir pantai dan sungai kerana di sinilah mereka mempunyai hubungan dengan pihak luar dan dekat jalan pengangkutan air serta menjadi jalan atau pusat perdagangan yang berkembang.
Aspek ini menjadi pusat pertumbuhan peradapan dan ini turut berlaku dalam tamadun dunia yang terletak dan bermula dengan di kawasan perairan seperti tamadun China, India dan Mesopotamia.
Sebagaimana tercatat dalam sejarah, Santubong pernah menjadi kota besar dan pelabuhan terkenal. Begitu juga petempatan di persekitaran Kuching, Sadong, Simanggang, Kalaka, Sibu.
Orang Melayu mempunyai perkampungan di sekitar Santubong, Tanjung Datu, Bako, Saribas dan Lembah Rajang. Bermakna Lembah Sungai Sarawak sebagai tempat orang Melayu bertapak dan seterusnya meluaskan kawasan pertanian dan petempatan mereka.
Di sinilah konsep tanah air muncul kerana petempatan (tanah) dan air menjadi sumber ekonomi, sosial dan politik mereka kemudian berkembang kepada kota, negeri dan negara.
Konsep tanah tumpah pula merujuk kepada sejarah kewujudan mereka dan penting dalam sosiobudaya masyarakat Melayu. Perkembangan ini membawa kepada pembangunan semakin luas, kemudian memiliki tanah yang luas.
Namun keadaan ini tidak bertahan lama, catatan sejarah termasuk pernah diketengahkan oleh intelektual Melayu melalui akhbar seperti Fajar Sarawak (1932) dan Utusan Sarawak (1949) mencatatkan sejak awal abad ke-20, banyak tanah Melayu dijual kepada bangsa lain untuk mendapatkan keuntungan segera dan faktor kesempitan hidup. Ini berlaku di kawasan Satok yang banyak penjualan tanah kebun.
Modenisasi
Hakikatnya banyak tanah juga dibangunkan oleh komersialisasi dan ini mengubah landskap politik orang Melayu. Banyak kawasan tanah Melayu yang dibangunkan di sekitar Kuching mengubah Kuching bukan sahaja daripada sosioekonomi Kuching, akan tetapi mengubah landskap politik Melayu dan Sarawak dalam konteks politik kontemporari.
Kawasan ini kebanyakannya semakin dikuasai Pakatan Harapan khususnya DAP. Sudah pasti landskap politik di kawasan pembangunan utama di Kuching termasuk kawasan Satok dan Batu Kawah menerima tempias politik pada pilihan raya puluhan tahun akan datang.
Di kawasan luar Kuching, tanah adat Melayu Sarawak tidak disukat dengan lebih sistematis. Mereka memiliki tanah beratus tahun lamanya dan tanah mereka tergolong dalam tanah adat apabila dokumentasi berkaitan tanah tersebut tidak dilangsungkan secara baik.
Pemilikan terhakis
Apabila perubahan masyarakat dan modenisasi berlaku lama- kelamaan pemilikan tanah Melayu semakin terhakis. Ada yang terpaksa berpindah dan kediaman tidak sesuai lagi akibat pembangunan pesat di Kuching.
Pembangunan mengubah landskap kehidupan orang Melayu. Kebanyakan mereka tinggal di kawasan strategik pembangunan sejak berapa lama akhirnya dikalahkan oleh proses urbanisasi.
Buktinya Jalan Haji Taha, Jalan Rubber, Jalan P. Ramlee, Jalan Pisang, Jalan Mendu, Padungan kini sudah berubah wajah yang dahulu merupakan kawasan pemilikan Melayu kini sudah banyak bangunan komersial mengambil tempat dan kedudukan.
Begitu juga di Sibu, Bintulu, Sarikei, Miri yang mempunyai penempatan orang Melayu. Lama-kelamaan semakin sukar melihat kawasan pemilikan Melayu.
Bukan isu remeh
Isu pemilikan tanah Melayu bukanlah isu kecil dan remeh, sebaliknya ia merupakan isu pembangunan yang perlu ditangani dengan bijaksana oleh pemimpin politik Sarawak. Hal ini kerana merekalah punca kuasa segala keputusan dalam menentukan hala tuju pembangunan masyarakat di Sarawak.
Dalam konteks etnik, setiap etnik mempunyai hak mereka masing-masing dan ini dapat dilihat dalam konteks pengiktirafan isu Tanah Adat Bumiputera (Dayak) NCR dan Pemakai Menoa dan Pulau Galau (PMPG).
Surat hak milik tanah NCR dapat dikeluarkan bagi kawasan dikenali sebagai Native Territorial Domain (NTC). Apabila isu NCR dan PMPG masyarakat Dayak diselesaikan, maka masyarakat Dayak menjadi kurang risau akan hak pemilikan tanah mereka.
Sejajar dengan itu, maka isu pemilikan tanah Melayu juga perlu dilihat secara teliti dan menyeluruh agar masyarakat Melayu tidak kehilangan tanah untuk bertapak tanpa disedari. Program pembesaran kampung, galakan orang Melayu terlibat dalam pertanian atau perladangan kelompok, pemberian tanah tol perlu diperluaskan tanpa perlu menunggu musim menjelang pilihan raya berlangsung.
Begitu juga kewajaran pembentukan Majlis Adat Melayu sama ada diasingkan atau disekali dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu yang perlu ditubuhkan bagi memastikan terdapat kesinambungan di antara satu sama lain bagi pelbagai aspek yang berkaitan dapat dilaksanakan dengan lebih efisien.
Kesemua ini perlu digerakkan oleh masyarakat, aktivitis, ahli politik Melayu sendiri bagi memastikan tidak ketinggalan dalam arus perubahan yang memerlukan kecekapan mekanisme dalam sesebuah institusi.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)