PEMADAMAN… Sebuah helikopter menjatuh- kan air ketika anggota Briged Pengukuhan Kebakaran Hutan (BRIF) bergerak menuju ke lokasi kebakaran hutan di Taman Semula Jadi Moncayo, berhampiran perkampungan Borja di wilayah utara Aragon, Sepanyol. • Foto AFP
MADRID: Sepanyol dan Portugal bertempur melawan kebakaran hutan besar, manakala tiga orang cedera parah selepas kereta api mereka merempuh api kebakaran dan terbakar di Sepanyol.
Kira-kira 300 anggota bomba bekerja semalaman melawan kebakaran besar di tenggara Sepanyol yang membakar hampir 10,000 hektar di kawasan yang terkenal sukar untuk diakses, kata pegawai pada Selasa lalu.
Kebakaran bermula apabila kilat menyambar kawasan Vall de Ebo di Valencia pada Sabtu lalu dan sejak itu merebak dengan pantas didorong oleh angin kencang, memaksa lebih 1,500 orang dipindahkan, kata Pihak Berkuasa Wilayah.
“Pada masa ini, kita bercakap mengenai lebih 9,500 hektar terbakar dengan perimeter 65 kilometer,” kata Presiden Wilayah Ximo Puig, sambil menyifatkan kebakaran itu “sangat besar”.
“Ia adalah situasi yang sangat rumit… Kebakaran itu mewujudkan kesukaran besar yang sememangnya mustahil untuk ditangani dengan kelajuan yang kami mahukan.”
Menteri Dalam Negeri Gabriela Bravo memberitahu televisyen Antena 3, sekitar 300 anggota bomba sedang memadamkan api, disokong oleh 24 pesawat dan helikopter.
Anggota bomba di tempat lain di wilayah itu juga sedang memerangi dua kebakaran hutan lain di utara bandar Valencia dengan ratusan anggota bomba dan sekitar 10 pesawat pemadam kebakaran terlibat dalam operasi itu, kata pegawai.
Tiga orang cedera parah selepas kereta api yang mereka naiki terbakar.
“Tiga orang mengalami kecederaan melecur teruk,” kata Pihak Berkuasa Kesihatan Serantau, sambil menambah seorang terpaksa dipindahkan dengan helikopter ke hospital, manakala lebih lapan yang lain cedera ringan.
Lebih jauh ke utara, anggota bomba di wilayah Aragon sedang memerangi satu lagi kebakaran besar yang berlaku sejak Sabtu lalu dan membakar lebih 6,000 hektar tanah, memaksa sekitar 1,500 penduduk meninggalkan rumah mereka.
Sementara itu, kebakaran besar di tengah Portugal yang marak selama seminggu di taman semula jadi yang ditetapkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan akhirnya dapat dikawal pada malam Jumaat lalu, kembali membara pada Selasa lalu, kata Pihak Berkuasa Perlindungan Awam.
Lebih 1,200 anggota bomba dikerahkan untuk memadamkan kebakaran yang memusnahkan sekitar 15,000 hektar dan menyala dengan ganas ekoran angin kencang, kata pihak berkuasa.
Lebih teruk daripada 2021
Setakat tahun ini, Sepanyol mengalami 391 kebakaran hutan, didorong oleh suhu terik dan keadaan kemarau yang memusnahkan sejumlah 271,020 hektar tanah, menurut angka terbaharu Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Eropah (EFFIS).
Angka menunjukkan kebakaran tahun ini di Sepanyol sangat dahsyat, memusnahkan lebih tiga kali ganda kawasan disebabkan kebakaran hutan pada keseluruhan 2021 yang berjumlah 84,827 hektar.
Sementara itu, Portugal mengalami 195 kebakaran hutan setakat tahun ini yang memusnahkan 84,717 hektar tanah seperti angka yang dikeluarkan oleh EFFIS.
Para saintis berkata, perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia menjadikan kejadian cuaca ekstrem, termasuk gelombang panas dan kemarau, lebih kerap dan teruk sekali gus meningkatkan risiko kebakaran yang mengeluarkan gas rumah hijau pemanasan iklim.
Kebakaran telah marak di seluruh Eropah, terutamanya di Perancis, Greece dan Portugal menjadikan 2022 sebagai tahun rekod kebakaran hutan di benua itu.
Kebakaran di Taman Semula Jadi Serra da Estrela di Portugal bermula pada 6 Ogos lalu di luar bandar tengah Covilha dan pihak berkuasa mengerahkan 373 jentera bomba dan 12 pesawat serta helikopter untuk menyokong percubaan bomba untuk memadamkan kebakaran itu.
Kebakaran setakat ini menyebabkan tiga cedera parah dan 19 yang lain kurang serius, manakala 45 orang dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga sejak Isnin lalu ketika Portugal memerangi kebakaran hutan terburuk sejak 2017 apabila sekitar 100 nyawa terkorban.
Ketua Agensi Perlindungan Awam Portugal, Andre Fernandes memberi amaran tentang kebarangkalian kebakaran akan merebak dan berkata, percubaan untuk mengawal kebakaran itu mungkin dihalang oleh angin. -AFP