REMPUH KELUAR… Kelihatan orang ramai berusaha untuk keluar dari pusat beli-belah IKEA kerana tidak mahu dikurung untuk disaring.
BEIJING: Dua kes Covid-19 mencetuskan huru-hara di Shanghai apabila orang ramai berpusu-pusu keluar dari sebuah bangunan dan sebuah gedung beli-belah IKEA kerana enggan berkurung di bawah peraturan yang ketat.
Negara itu menjalankan strategi sifar Covid -19 membabitkan sekatan dan kuarantin serta-merta dan ia turut mencetuskan kebimbangan serta kemarahan penduduk bandar.
Dalam video yang dikongsi secara meluas di media sosial dan disahkan oleh AFP menunjukkan, sekumpulan anggota berpakaian perlindungan peribadi (PPE) cuba menutup pintu utama sebuah bangunan di Shanghai Jumaat lalu, selepas seorang pekerja di sana dikenal pasti sebagai kontak rapat kes Covid -19.
Orang ramai kemudiannya dilihat melepasi anggota yang sedikit itu dan melarikan diri keluar daripada bangunan itu, malah ada yang merakam adegan itu di telefon bimbit mereka.
Beberapa orang dilihat menyeret sesuatu seperti penghadang logam sejauh beberapa meter ketika mereka melarikan diri dari pusat beli-belah itu.
Adegan itu turut terjadi di sebuah gudang IKEA di daerah Xuhui Shanghai, Sabtu lalu, apabila pihak berkuasa kesihatan cuba mengunci pelanggan di lokasi kerana keputusan ujian yang ‘tidak normal’.
Klip video yang dikongsi dalam talian menunjukkan sekumpulan besar orang cuba untuk lari, malah kedengaran jeritan ketika kakitangan cuba menutup pintu tetapi ia ditolak oleh mereka.
Di bawah peraturan kesihatan China, mereka yang mempunyai hubungan rapat boleh dikenakan kuarantin dan pemantauan.
Shanghai mempunyai kepadatan 25 juta orang, juga bandar terbesar di China, bergelut dengan peraturan Covid -19 yang keras sejak awal tahun ini termasuklah penutupan selama dua bulan untuk membendung wabak itu.
Langkah itu menjejaskan aktiviti perniagaan dan beberapa penduduk yang dilaporkan berdepan masalah akses makanan dan rawatan perubatan bukan Covid -19.
Ia juga turut mencetuskan bantahan oleh penduduk yang kecewa terhadap pihak berkuasa.
Kemarahan itu turut merebak di pulau selatan Hainan juga, apabila lebih 80,000 pelancong terkandas di bandar peranginan Sanya, awal bulan ini kerana wabak Covid -19.
Pelancong di situ melakukan protes, dengan siaran media sosial hujung minggu lalu menunjukkan orang ramai di jalanan menjerit meminta pemimpin tempatan bertemu dengan mereka.
China adalah satu-satunya ekonomi utama yang masih berpegang teguh pada strategi sifar- Covid -19, sekali gus ia membantutkan pelancongan tempatan semasa waktu puncak musim perjalanan.
Sebahagian besar sempadan negara juga ditutup sejak awal 2020 dan ia menghentikan pelancongan antarabangsa. – AFP