ISTILAH yang tepat pada 31 Ogos 1957 terutama selepas pembentukan Malaysia lebih sesuai menggunakan terma Hari Kebangsaan Negara.
BERDASARKAN laporan media tempatan Sarawak baru-baru ini, dikatakan terdapat sebilangan rakyat Sarawak di sini berpendapat bahawa tidak perlu menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos.
Hal ini kerana acara itu dikatakan hanya bertujuan untuk memperingati pengisytiharan ‘Merdeka’ (Kemerdekaan) Tanah Melayu, maka tidak ada kaitan dengan negeri Sarawak.
Kenyataan tersebut diperkukuhkan oleh Penolong Setiausaha Publisiti dan Penerangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Lo Khere Chiang. Menurut Lo, beliau menghormati tarikh yang diwartakan untuk memperingati kemerdekaan Sarawak dan pembentukan Malaysia, dan tidak ada sebab untuk menyambut Hari Kebangsaan.
Memanglah pembentukan Malaysia diumumkan pada secara rasmi pada 16 September 1963, manakala Sarawak mencapai tadbir urus sendiri pada 22 Julai 1963. Jadi beliau tidak melihat signifikan menyambut hari kebangsaan.
Idea sambutan Hari Malaysia
Lo menyatakan pengiktirafan terhadap hari pembentukan Malaysia yang patut diraikan. Sewajarnya parti politik di Sarawak wajar berterima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu merupakan Penasihat PKR yang pertama kali mencadangkan 16 September dijadikan hari cuti umum sejak 2008 lagi kerana merupakan tarikh ulang tahun penubuhan Malaysia dan merupakan hari bersejarah.
Ketika itu, negeri-negeri di bawah kerajaan Pakatan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12), iaitu Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Kelantan terlebih dahulu mengiktiraf dan menyambut Hari Malaysia.
Hal ini mendahului negeri Sarawak yang baru membuak-membuak hendak menyambut Hari Malaysia apabila baru diumumkan beberapa tahun selepas itu apabila setelah diisytiharkan sebagai hari cuti umum negara.
Sebelum ini ramai ahli politik negeri dan nasional memperlekehkan cuti sambutan hari pembentukan Malaysia tersebut lebih-lebih lagi apabila dicadangkan oleh Anwar.
Sudah pasti Hari Malaysia mempunyai signifikan besar kepada Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia apabila tanpa Sarawak dan Sabah, pembentukan Malaysia tidak akan terhasil seperti yang wujud pada hari ini.
Apabila Sarawak dan Sabah bersetuju membentuk Malaysia, maka Perjanjian Malaysia 1963 terbentuk. Pada masa sama, komitmen Kerajaan Persekutuan dalam soal keselamatan, kesihatan, ketenteraan dan perkara yang diletak di bawah persekutuan akan dijamin oleh Persekutuan.
Tanpa kewangan, tentera, polis, jururawat, doktor dan guru misalnya yang di bawah persekutuan agak sukar membangunkan negeri Sabah dan Sarawak.
Pada masa sama, isu sumber minyak dan gas adalah isu baharu yang dibangkitkan ketika pemerintahan Ketua Menteri Pehin Sri Datuk Patinggi Adenan Satem yang selama ini tidak pernah menjadi isu dibawakan sebagai isu arus perdana.
Hal ini sesuai dengan politik etnonasionalisme bawaan Adenan bagi membawa naratif baharu politik Sarawak yang sebelum ini hanya berkisar kepada konsep pembangunan semata-mata tanpa mempertikaikan sumber dan hak-hak yang perlu ditegakkan.
Hal ini disebabkan bahawa politik di Putrajaya sangat kuat, apabila Barisan Nasional (BN) menguasai kerajaan secara dominan. Hanya apabila politik di Putrajaya semakin hilang penguasaan dua pertiga kuasa, kemudian BN tewas, barulah tawar-menawar politik berlaku.
Jika politik di Putrajaya kuat, tidak ada ahli politik atau parti politik yang akan berani bersuara seperti apa-apa yang berlaku pada hari ini terutama apabila kerajaan Perikatan Nasional yang sering memberikan ruang dan melayan tuntutan Sarawak.
Hinggakan Petronas sanggup membayar Cukai Jualan Negeri (SST) bernilai hampir RM3 bilion kepada Sarawak. Situasi ini tidak akan berlaku dalam era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad selama 22 tahun.
Kemerdekaan dan Negara Bangsa
Biarlah saya bagi analogi biarpun sudah banyak kali saya jelaskan dalam banyak forum, seminar dan penulisan. Kemerdekaan negara Amerika Syarikat (AS) ialah pada 4 julai 1776, lebih 240 tahun dahulu.
Ketika kemerdekaan tersebut hanya 12 koloni (negeri) membentuk negara bangsa dan bebas daripada empayar Inggeris.
Sejak kemerdekaan diraikan pada 4 Julai 1776, terdapat penyertaan negeri-negeri lain bersama AS.
Hal ini dapat dilihat dari 13 negeri bertambah kepada 50 negeri. Arizona menyertai AS pada 1912, Alaska dan Hawaii pula pada 1959.
Sungguhpun penyertaan 37 negeri baharu ke dalam AS, namun Hari Kemerdekaan AS tetap diraikan pada 4 Julai setiap tahun.
Tidak ada pula negeri di AS contohnya negeri Texas yang lewat menyertai AS tidak mahu menyambut hari merdeka Amerika Syarikat kerana isu minyak dan gas. Texas pengeluar terbesar minyak AS dan lebih lima juta tong sehari berbanding Sarawak hanya mampu 850,000 tong minyak sehari.
Tidak ada pula ahli politik Texas berasa tidak perlu menyambut hari Kemerdekaan hanya kerana Texas lambat menyertai Amerika. Malah tidak timbul desakan agar 4 Julai dibatalkan dan digantikan dengan perayaan hari Texas.
Memang tidak ada rakyat negeri Texas yang menganggap 4 Julai tidak ada kepentingan kepada kemerdekaan Texas. Tidak ada cadangan Bulan Kemerdekaan Amerika dijalankan pada kemerdekaan negeri Texas.
Hal ini kerana rakyat AS faham konsep negara bangsa. Mereka dapat membezakan secara bijaksana mengenai sambutan hari jadi bapa, anak dan cucu. Tanpa kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, ia tidak akan membawa perkembangan lanjut sejarah kepada kelahiran dan pembentukan Malaysia.
Hari jadi ayah adalah hari jadi ayah, tarikh hari jadi sama mungkin tahun pula berbeza. Jadilah rakyat Amerika yang faham konsep negara besar, elak politik tertalu bersifat parokial agar generasi muda tidak terkeliru.
Pendidikan sejarah
Pendidikan sejarah perlu difahami dalam konteks sejarah sosial yang berlaku dan bukan sekadar menghafal tarikh dan tokoh semata-mata.
Apabila Hari Sarawak diwartakan sebagai cuti umum negeri oleh Ketua Menteri ketika itu, Allahyarham Adenan Satem pada 2016, maka ia perlu dilihat pembangunan erti memaknai sejarah peringkat negeri tanpa melangkaui sejarah nasional yang lebih besar daripada konsep kenegerian.
Hari Kemerdekaan Sarawak ditukar kepada Hari Sarawak kerana fakta sejarah sebenar ialah Sarawak hanya permulaan berkerajaan sendiri ketika itu dan belum lagi merdeka sepenuhnya. Hakikatnya masih ada Gabenor Inggeris dan segala arahan tertakluk kepada Ratu Elizabeth.
Ketepatan makna kebangsaan
Istilah yang tepat pada 31 Ogos 1957 terutama selepas pembentukan Malaysia
lebih sesuai menggunakan terma Hari Kebangsaan Negara. Hal ini kerana Persekutuan Tanah Melayu yang mempunyai lebih banyak negeri dan sesuai untuk dijadikan teras yang kemudiannya membawa kepada pembentukan Malaysia.
Sambutan hari bersejarah tersebut sudah dikenali sebagai sambutan Hari Kebangsaan sejak 1970-an kerana menyedari faktor ketiadaan negeri Sabah dan Sarawak serta faktor hakikat sejarah pembentukan Malaysia.
Hari kebangsaan penting kerana ia merupakan punca kepada pembentukan sebuah negara bangsa yang moden dan mencetuskan semangat cinta akan tanah air khususnya pada era selepas kemerdekaan negara.
Kedaulatan sebuah negara memerlukan negara merdeka terlebih dahulu. Tidak salah kita meraikan hari kelahiran ahli keluarga kita khususnya ibu dan bapa kita sebagai teras dan kebangsaan kita sedangkan kita sendiri mempunyai hari kelahiran sendiri secara analogi sambutan hari kemerdekaan. Yang penting kita dapat melihat daripada kaca mata menyeluruh bukannya berdasarkan sentimen, parokial dan etnosentrisme!
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)