YEREVAN: Angka kematian akibat letupan di pasar beli-belah yang sibuk di ibu kota Armenia, Yerevan meningkat kepada lima orang semalam.
Empat wanita dan seorang lelaki maut, lebih 60 cedera dan 19 hilang selepas letupan pada Ahad lalu di pasar borong Surmalu, kata Kementerian Situasi Kecemasan.
Katanya, Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dijalankan dengan 10 mangsa terselamat dan satu mayat ditemui dari runtuhan.
Letupan itu menyebabkan kebakaran dan menyebabkan sebuah bangunan runtuh.
Puncanya masih belum dapat dipastikan, tetapi laporan berita tempatan memetik saksi berkata, letupan itu berlaku di tempat yang menyimpan bunga api.
Foto dan video yang disiarkan di media sosial menunjukkan kepulan asap hitam yang tebal di atas pasar dan apa yang kelihatan seperti satu siri letupan boleh didengari.
Sementara itu, pendakwa raya melancarkan siasatan ke atas pelanggaran mengenai stok barang mudah terbakar, pelanggaran piawaian keselamatan kebakaran dan kematian orang kerana kecuaian.
Secara keseluruhan, 200 anggota bomba dan pekerja perubatan dihantar ke tempat kejadian, serta jentera bomba dan peralatan tapak pembinaan.
Pekerja penyelamat menggunakan penggali untuk membersihkan runtuhan.
Bencana itu berlaku ketika negara dengan tiga juta penduduk itu masih pulih daripada Perang 2020 dengan Azerbaijan, yang berakhir dengan kekalahan teruk dan mencetuskan krisis politik. -AFP