MALAYSIA siap siaga.
Jangkitan cacar monyet atau lebih dikenali sebagai monkeypox yang berlaku pada masa ini adalah sebagai Kejadian Kecemasan Kesihatan Awam Yang Menjadi Kebimbangan Antarabangsa (Public Health Emergency Of International Concern (PHEIC)).
Pada 17 Jun 2022, sebanyak 2,103 kes monkeypox dilaporkan berlaku di 42 buah negara dengan satu kematian.
Dalam tempoh kurang daripada dua bulan, bilangan kes telah meningkat kepada 16,836 kes dengan lima kematian dan melibatkan 74 buah negara pada 22 Julai 2022.
Kadar fataliti kes monkeypox adalah 0.03 peratus. Kes monkeypox pertama kali dilaporkan oleh WHO pada 15 Mei 2022 dan berlaku di beberapa buah negara yang bukan endemik penyakit ini.
Berdasarkan laporan Second Meeting of the International Health Regulation (2005) (IHR) Emergency Committee Regarding the Multi- Country Outbreak of Monkeypox yang diterbitkan oleh WHO pada 23 Julai 2022, penularan virus monkeypox pada ketika ini dilaporkan berlaku dalam kalangan gay, biseksual dan lelaki lain yang melakukan hubungan seks dengan lelaki (MSM) atau individu dengan risiko tinggi jangkitan seperti pekerja seks dan transgender.
Namun demikian, penyakit ini bukanlah penyakit bagi kumpulan ini secara ekslusif kerana ia boleh juga menjangkiti ahli keluarga melalui sentuhan.
Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin, berikutan laporan WHO mengenai kejadian kes monkeypox di negara yang bukan endemik penyakit ini pada awal bulan Mei 2022, KKM sehingga kini telah mempertingkatkan survelan dan advokasi mengenai monkeypox.
TINDAKAN KKM
Antara tindakan yang diambil oleh KKM untuk mempertingkatkan survelan dan advokasi mengenai monkeypox ialah memaklumkan kepada fasiliti kesihatan Kerajaan dan swasta keperluan menotifikasi kes disyaki dan disahkan monkeypox dengan segera bagi memastikan langkah kawalan dan pencegahan dapat diambil, termasuk mengenalpasti kontak rapat kes.
Kata Khairy, KKM turut mewujudkan survelan sentinel di beberapa buah klinik swasta dan kerajaan bagi memantau kejadian penyakit ruam atau lesi kulit.
“Selain itu, mempertingkatkan kapasiti makmal yang boleh menjalankan ujian pengesanan virus monkeypox, iaitu dua makmal ditambah menjadi 12 makmal (lapan makmal Kerajaan dan empat makmal swasta),” ujarnya.
Dalam pada itu, KKM juga mempertingkatkan survelan di pintu masuk antarabangsa negara (PMA) dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), syarikat-syarikat penerbangan dan agensi berkaitan termasuk pihak Malaysian Airlines Holding Berhad (MAHB).
“KKM turut berkerjasama dengan kementerian-kementerian dan agensi-agensi lain seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Luar Negeri, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pelancungan (MOTAC), Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pengajian Tinggi, pihak badan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain yang berkaitan,” katanya lagi.
Berikutan pengumuman PHEIC yang dibuat oleh WHO, KKM mengingatkan kepada semua fasiliti kesihatan agar peka dengan situasi semasa monkeypox serta meningkatkan pengesanan kes dalam kalangan pesakit yang berisiko.
Sehingga 23 Julai 2022, sebanyak sembilan kes disyaki monkeypox telah dinotifikasi kepada KKM dan semua kes telah disahkan negatif monkeypox.
PENGEMBARA
Sejak 1 Mei 2022 sehingga 23 Julai 2022, seramai 531,630 pengembara yang direkodkan tiba dari negara yang melaporkan kes monkeypox dan aplikasi MySejahtera telah mengeluarkan Health Alert Monkeypox kepada pengembara-pengembara ini.
“KKM menyeru individu yang mempunyai gejala monkeypox untuk segera ke fasiliti kesihatan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut. Elakkan dari kontak dengan orang lain bagi mengelakkan penularan jangkitan,” kata Khairy.
PENGENDALI PREMIS
Bagi pengendali premis-premis yang menyediakan perkhidmatan yang melibatkan kontak kulit dengan pelanggan seperti spa, urutan dan lain-lain aktiviti berisiko dimohon untuk sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran, serta memastikan pelanggan sihat, tidak mengalami gejala monkeypox dan tiada ruam makulapapular.
“Sekiranya terdapat pelanggan yang mempunyai gejala tersebut, nasihatkannya untuk segera mendapatkan rawatan. Manakala pekerja yang bergejala dinasihatkan untuk tidak hadir bertugas dan segera mendapatkan pemeriksaan kesihatan.
“KKM sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan termasuk hospital dan klinik swasta dalam pemantauan serta pengesanan kes monkeypox; di samping meneruskan aktiviti-aktiviti advokasi kepada orang ramai,” jelasnya.
Oleh NUR AIN OTSMAN