TAHNIAH… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyampaikan anugerah kepada salah seorang pemenang semasa Majlis Makan Malam Tahunan dan Anugerah Kecemerlangan SHEDA 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam semalam. • Foto ANDRE OLIVEIRO
KUCHING: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Sarawak (SHEDA) yakin dapat membina 2,500 unit rumah mampu milik (RMM) tahun ini menerusi mekanisme dan insentif yang betul.
Presiden SHEDA, Augustine C.H. Wong berkata, ia selaras dengan peruntukan Kerajaan Sarawak melalui Skim Bantuan Deposit Perumahan (HDAS).
“ Dengan naungan, sokongan dan penglibatan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kami yakin industri perumahan dan hartanah di Sarawak akan mempunyai masa depan yang cerah.
“ Kerajaan Sarawak yang bermurah hati melanjutkan faedah HDAS kepada Rumah Mampu Milik Sri Pertiwi telah menggalakkan pemaju untuk mengambil bahagian secara sukarela dalam skim tersebut. Kami percaya bahawa kami akan melihat peningkatan dalam penyertaan oleh ahli SHEDA hasil daripada dasar yang adil dan berpandangan ke hadapan, atau langkah lain yang dikemukakan oleh Kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Tahunan SHEDA dan Anugerah Kecemerlangan 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam kelmarin.
Majlis itu telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Mengulas lanjut, tambahnya, kini ramai pemaju menghadapi cabaran berikutan kos pembinaan yang semakin meningkat.
“ Sejak 2016, kos bahan mentah seperti aluminium dan tembaga telah meningkat dua kali ganda dan banyak komponen penting lain seperti bata, besi, kekuda bumbung dan UPVC juga telah meningkat dalam kos lebih 50 peratus,” ujarnya.
Dalam pada itu, pemaju dan industri pembinaan secara amnya juga menghadapi kekurangan buruh migran.
“ Ketidakpastian dalam pasaran mewujudkan gangguan dalam aliran kerja, mengurangkan produktiviti dan meningkatkan kos keseluruhan menjalankan perniagaan. Jika keadaan ini berterusan, pemaju tidak akan dapat memenuhi sasaran dalam Perumahan Mampu Milik malah deposit HDAS tidak akan mencukupi,” katanya.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia sedang memantau semua projek Perumahan Mampu Milik dan SHEDA ingin membentangkan angka yang menggalakkan bagi pihak Sarawak namun realitinya ialah langkah drastik untuk menangani kebimbangan ini diperlukan sekarang.
“ SHEDA berasa bangga kerana di bawah kepimpinan Dato Sri Profesor Dr Sim, Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Jabatan Tanah dan Ukur Sarawak telah bersetuju untuk bersama-sama menganjurkan beberapa siri seminar dengan SHEDA mengenai Pengurusan dan Penyelenggaraan Strata di Sarawak,” jelasnya.
Seminar yang akan diadakan oleh Cawangan SHEDA di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri, bertujuan untuk menerangkan perkara penting dan membimbing pihak berkepentingan melalui Ordinan dan Peraturan berkaitan yang berkuat kuasa tahun ini.
Oleh NUR AIN OTSMAN