DEKAN Fakulti Perniagaan, Profesor Andreas Zins (dua kiri) melihat produk-produk yang dipamerkan.
Bagi usahawan tempatan, peluang untuk mempromosikan produk di luar negara adalah satu kesempatan yang boleh membuka pasaran lebih besar untuk perniagaan masing-masing.
Sasaran inilah yang cuba dicapai oleh Jawatankuasa Penyelidikan dan Pembangunann (R&D) Fakulti Perniagaan Universiti Curtin Malaysia apabila membawa 17 usahawan kecil dan sederhana (SME) tempatan untuk mempromosikan produk mereka di United Kingdom melalui program ‘Sarawak In London’ baru-baru ini.
Empat daripada pempamer ini menghantar produk-produk mereka ke London untuk dipamerkan kepada para pengunjung di sana. Mereka terdiri daripada Tea Three gy Green Leafs (minuman teh tiga lapis), Kun Products (makanan diproses), Starz Team Arts & Crafts (sabun buatan tangan) dan Look At Me (barangan perhiasan mutiara).
Sementara itu, usahawan lain yang terlibat di dalam acara ini ialah Miri Artisan Market, Pakat, Sarawak Fruit Enterprise, Rania, Pie House, Sarawak Batik Linut Textiles, Olizania Borneo, Penan Womens’ Projects, ACHIM, Ineuako Enterprise, Artsy Tailor Craft, WAT Academy dan Route 66.
Sementara itu ahli-ahli Persatuan Pergerakan Inovasi Sosial turut hadir untuk memberi nasihat tentang impak pengurusan, manakala Brunei University London menjalankan sesi transformasi kolaboratif.
Turut serta untuk mewujudkan nilai perniagaan antarabangsa adalah wakil Makan Bites, sebuah platform digiral aktif di United Kingdom dan Borneo Street UK, penyelaras acara di London.
Program ini dianjurkan secara platform digital serentak di Miri dan London, turut diisi dengan dialog secara atas talian selama tiga jam serta lawatan virtual ke tapak pameran.
Ia dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Curtin Malaysia, Dato Sri Lee Kim Shin dan beliau turut disertai oleh Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang dan Pro Naib Canselor, Presiden dan Ketua Eksekutif Curtin Malaysia, Simon Leunig.
Bercakap pada majlis ini, Lee berkata Sarawak mempunyai banyak produk unik dan beliau optimis acara ini akan membantu usahawan tempatan untuk mempromosikan produk kepada orang luar.
Beliau memuji Fakulti Perniagaan di atas idea ‘Sarawak In London’ ini kerana ia seiring dengan inisiatif Kerajaan Sarawak untuk memupuk digitalisasi dan memperkasakan SME serta perniagaan yang mula bertapak di Sarawak.
Sementara itu Datuk Bandar Miri, Adam Yii berkata platform digital ini akan membantu mewujudkan peluang yang berpanjangan kepada usahawan tempatan untuk memasarkan produk-produk mereka di luar negara, seterusnya memperolehi pasaran yang lebih besar.
Rakan-rakan kongsi di Miri yang turut menyokong acara ini ialah Miri TEGAS Digital Innovation Hub yang berfungsi menghubungkan Curtin Malaysia dengan para pemegang taruh menerusi ekosistem pemula, manakala Horizn Digital Sdn Bhd. Miri pula memainkan peranan penting di dalam mempromosikan acara ini.