BARU-baru ini diumumkan oleh Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bahawa Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin telah diterima sebagai ahli PBB dengan penegasan bahawa tanpa sebarang syarat disertakan.
Sudah pasti keputusan ini mengejutkan pelbagai pihak di dalam dan luar parti. Hal ini kerana terdapat banyak tafsiran politik dan implikasi politik terhadap PBB, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan politik ‘keperintahan’ dan politik ‘kepembangkangan’ di Sarawak.
Penegasan tanpa syarat boleh bermaksud Willie Mongin tidak mengenakan apa-apa syarat untuk menyertai PBB. Dengan kata lain, terpulanglah kepada pucuk pimpinan PBB menentukan apa-apa sahaja terhadap ‘pejuang politik’ yang menyerah diri kepada ‘panglima politik’ dan ‘ketumbukan politik’ yang lebih besar sebagai syarat.
Ia juga boleh bermaksud bahawa Willie sekadar diterima sebagai ahli biasa untuk masa kini. Dengan kata lain, selepas beberapa ketika isu ini tidak lagi bergelegak suhu politik maka terdapat peluang untuk Willie memanjat tangga politik dalam PBB. Ia mungkin mengambil masa beberapa tahun atau penggal Parlimen.
Kalau berdasarkan kedudukan Ahli Parlimen dalam parti PBB, isu memegang jawatan dalam parti bukanlah suatu hambatan untuk pemegang jawatan Timbalan Menteri atau Menteri. Terdapat ahli politik seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang); Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sarawak dan Sabah) tidak memegang jawatan utama dalam parti, namun sudah beberapa penggal memegang jawatan penting negara.
Sudah pasti duluan ini menyebabkan Willie tidak berasa terlalu risau mengenai masa depan politiknya di Sarawak, asalkan beliau bernaung dalam politik PBB.
Selagi beliau tidak mendatangkan masalah kepada PBB, selagi itulah beliau akan terselamat daripada malapetaka politik berbanding nasib politik sebelum ini terutamanya selepas beliau melompat parti setelah menang pertandingan atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Kuota Bersatu duluan politik
Namun dalam konteks ini, sudah tentu yang berlaku terhadap Willie ini mendatangkan rasa kurang selesa dalam kalangan ahli-ahli akar umbi PBB di Puncak Borneo khususnya yang berjuang bersungguh-sungguh memenangkan calon PBB pada pilihan raya umum ke-14 pada 2018 lalu.
Dalam PRU 2018, terdapat 20,146 penyokong PBB menghabiskan segala seluruh tenaga dan perjuangan mereka menentang Willie. Willie pula menggunakan pelbagai strategi untuk melemah dan menewaskan calon pilihan PBB yang disokong penuh oleh Presidem PBB.
Sudah pasti, apabila dikalahkan oleh Willie, terdapat persediaan untuk menebus maruah kekalahan PBB di Puncak Borneo telah dibuat.
Persediaan akar umbi PBB Puncak Borneo menguatkan lagi kedudukan mereka untuk berdepan Willie yang menewaskan PBB dijangka gagal ditebus semula apabila Willie diterima sebagai ahli PBB dan tidak mustahil dicalonkan sebagai calon PBB di Puncak Borneo.
Jika ini berlaku, ia menjadi atau menjadi pembawa duluan politik PBB pada masa depan. Justeru, jika duluan politik ini dijadikan asas maka mana-mana calon yang menentang PBB pada mana-mana pilihan raya umum atau negeri tidak risau akan masa depan politik mereka. Hal ini kerana potensi mereka diambil sebagai ahli parti PBB boleh sahaja berlaku sepertimana berlaku terhadap Willie.
Sentimen ini mendorong mana-mana pihak tidak berpuas hati bertanding atas tiket parti pembangkang kemudian akan boleh menyertai PBB. Dalam keadaan ini, sudah tentu rakyat berterima kasih kepada undang-undang anti lompat parti yang baru diluluskan dan bakal diwartakan dalam masa terdekat. Apabila diwartakan, maka ia bakal menyelamatkan daripada berlakunya politik ‘katak’ dalam landskap politik nasional.
Sudah tentu moral politik dapat ditegakkan dan rasa meluat rakyat terhadap pengkhianatan amanat rakyat yang cuba dihalalkan atas nama ‘demi kepentingan rakyat’.
Pun begitu, sudah pasti PBB Puncak Borneo mempunyai barisan pelapis yang boleh diketengahkan pada pilihan raya umum. Mereka sudah lama bergelumang dengan politik PBB setempat, setia dengan parti, tidak menentang parti khususnya ketika dalam keadaan parti getir pada pilihan raya, tidak memburukkkan PBB selama ini.
Golongan ini sudah pasti mahukan keadilan dalam politik dan tidak mahu yang menentang parti diangkat sebagai hero politik baru dalam politik setempat mereka. Sentimen ini perlu diberi perhatian oleh kepemimpinan tertinggi parti.
Pendirian sayap
Dari satu segi pula, dalam konteks parti PBB, perlu difahami bahawa terdapat sayap Pesaka dan Bumiputera. Sayap Pesaka terdiri daripada etnik Iban, Bidayuh, Orang Ulu, manakala sayap Bumiputera pula terdiri daripada etnik Bumiputera Islam.
Dengan kata lain, penentuan penerimaan Willie lebih dilihat sebagai keputusan daripada sayap Pesaka. Sudah pasti sokongan ini daripada keputusan kepemimpinan Bidayuh (Pesaka) yang melibatkan kawasan khusus kerusi Bidayuh.
Setiap sayap bertanggungjawab terhadap keputusan mereka, manakala sayap Bumiputera pula menghormati keputusan tersebut dan jarang pula campur tangan kerana melibatkan kawasan pilihan raya mereka.
Situasi politik ini membawa beberapa persoalan. Misalnya, persoalan adakah tidak ada calon jati setempat yang layak dalam kalangan ahli PBB (sayap Pesaka) sendiri untuk bertanding dan melawan mana-mana musuh politik PBB di Puncak Borneo pada pilihan raya umum akan datang?
Adakah jentera parti PBB terlalu lemah di Puncak Borneo hingga memerlukan musuh politik mereka untuk menjadi ahli dan dijangka akan bertanding semula di Puncak Borneo? Adakah Willie boleh menarik 18,865 penyokong PKR yang mengundi beliau dahulu untuk menyokongnya jika bertanding atas tiket PBB?
Sudah pasti sayap Pesaka perlu memberi pencerahan seumpama ini kepada pelbagai lapisan kepemimpinan PBB (Pesaka) di Puncak Borneo khususnya akar umbi parti setempat dan di tempat-tempat lain agar semangat ahli mereka tidak luntur dengan keputusan sayap mereka sendiri.
Memang tidak ada jaminan kukuh untuk Willie dipilih sebagai calon PRU ke-15 meskipun sudah diterima masuk menyertai PBB. Tetapi ini bergantung kepada tahap dan reaksi penerimaan akar umbi PBB sayap Pesaka di Puncak Borneo dan reaksi keseluruhan akar umbi PBB.
Jika tidak ada protes dalam kalangan ahli parti, bermakna mereka menyokong penuh keputusan kepemimpinan tertinggi PBB dan Willie akan bertanding semula atas tiket PBB/GPS.
Kuota Bersatu
Tindak tanduk Willie yang melompat parti ini sudah pasti membawa kepada implikasi terhadap kedudukan jawatan politik yang dipegang. Jawatan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang dipegang oleh Willie adalah berdasarkan kuota jawatan milik parti Bersatu.
Sudah pasti, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahu kuota itu dipulangkan kepada wakil rakyat dalam parti Bersatu. Isu ini menambahkan hubungan dingin di antara parti yang membentuk blok Perikatan Nasional untuk memerintah negara selepas Langkah Sheraton.
Ketika ini juga, parti Bersatu juga menuntut jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dipulangkan kepada kuota milik Bersatu. Jawatan itu dipegang oleh Zuraida Kamaruddin yang kini melompat ke Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Apabila berlakunya tuntutan meminta memulang balik jawatan kuota parti ini, ia mengakibatkan politik tidak stabil dan mencetuskan krisis kepercayaan bukan sahaja di antara parti, malah terhadap pengundi yang melihat wakil rakyat mereka bebas melompat untuk kepentingan hayat politik mereka sendiri.
Situasi ini juga boleh menyebabkan Perdana Menteri terpaksa membuat pilihan raya lebih awal agar kekeruhan politik dapat diselesaikan!
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)