SALAH satu Program IOW yang pernah dilaksanakan di sebuah pasar raya di Samarahan sebelum ini.
KUCHING: Pelbagai program disusun atur Jabatan Penerangan Malaysia, Sarawak (JAPEN) sempena Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini dan Hari Malaysia, 16 September nanti.
Ia bertujuan menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam kalangan Keluarga Malaysia sempena menyambut dua tarikh bersejarah itu.
Ikuti perkongsian bersama Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Sarawak, Jaafar Jantan, dalam temu bual khas bersama Utusan Sarawak baru-baru ini.
Utusan Sarawak: Boleh tuan jelaskan mengenai Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sarawak yang bakal diadakan untuk 2022?
Jaafar Jantan: Untuk makluman, bermula Julai dan Ogos adalah bulan sambutan Hari Kebangsaan, manakala pada September pula sambutan Hari Malaysia. Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) sebagai agensi yang mempromosi sambutan Bulan Kebangsaan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) bertanggungjawab untuk menjayakan acara yang diadakan pada setiap tahun bagi menyambut sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di seluruh negara.
Dalam konteks ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah melancarkan Bulan Kebangsaan peringkat kebangsaan pada 30 Julai 2022 di Dataran Putrajaya termasuk pelancaran kempen Kibar Jalur Gemilang.
Utusan Sarawak: Peringkat negeri Sarawak?
Jaafar Jantan: JAPEN Sarawak akan meneruskan kesinambungan Sambutan Program Hari Kebangsaan menerusi Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sarawak pada 13 Ogos 2022 (Sabtu).
Allhamdullilah…kita amat berbesar hati kerana YAB Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Premier Sarawak akan bersama untuk melancarkan program ini yang bakal berlangsung di Tebingan Kuching serta di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Baharu. Program ini melibatkan pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta serta komuniti masyarakat iaitu Komuniti Keluarga Malaysia.
Utusan Sarawak: Apa mesej di sebalik tema perayaan?
Jaafar Jantan: Selaras dengan tema Hari Kebangsaan iaitu ‘Teguh Bersama Keluarga Malaysia’ kita ingin meletakkan kebersamaan sebagai sebuah keluarga dalam masyarakat majmuk di negara kita yang tercinta ini. Maknanya, sambutan Bulan Kebangsaan ini bukan hanya tertumpu kepada satu sektor sahaja tetapi kita mahu sama ada di sektor kerajaan, swasta, NGO dan juga masyarakat khususnya komuniti dapat bersama-sama meraikan bulan kebangsaan yang cukup bermakna kepada kita sebagai rakyat Malaysia untuk meraikan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia ini.
Utusan Sarawak: Apa antara aktiviti utama?
Jaafar Jantan: Dalam pelancaran Kibar Jalur Gemilang pada 13 Ogos nanti, ada dua aktiviti utama, iaitu “Zumba Keluarga Malaysia” yang diadakan di Tebingan Kuching dan keduanya program “Berjalan Teguh Bersama Keluarga Malaysia” dari Tebingan Kuching merentasi ikon negeri Sarawak iaitu Jambatan Darul Hana menuju ke Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu yang akan diketuai Premier Sarawak serta 500 orang peserta yang terdiri dari pelbagai peringkat anggota pentadbiran kerajaan / penjawat awam, pihak NGO, pihak swasta dan Komuniti Keluarga Malaysia.
Program ini melibatkan pelbagai sektor, jadi kita amat mengharapkan ia akan menjadi pencetus kepada program-program yang lain, sekali gus dapat menyemarakkan lagi semangat Kibar Jalur Gemilang dalam kalangan semua komuniti di seluruh negeri Sarawak.
Bagi acara di kawasan Bangunan DUN pula, Premier Sarawak akan menyerahkan Jalur Gemilang kepada Setiausaha Persekutuan Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak, wakil Sektor Korporat, tiga wakil Komuniti Keluarga Malaysia dan juga kepada Ketua Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM2022). Selepas selesai penyerahan Jalur Gemilang, ada satu lagi aktiviti iaitu Flag Off Kembara Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM2022) oleh Premier Sarawak, membabitkan kira-kira 30 kenderaan dalam konvoi yang akan mengelilingi seluruh negeri Sarawak.
Untuk 2022, JAPEN Sarawak merangka beberapa program kenegaraan yang akan dilaksanakan secara fizikal, bersemuka mahupun digital untuk menerapkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat secara berterusan.
Bagaimanapun, program yang kita laksanakan tetap mematuhi standard prosedur operasi (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa dalam fasa endemik ini. Oleh itu, kita harus terus berwaspada walaupun negara sudah menghala ke fasa endemik dan aspek keselamatan kesihatan wajar diberikan perhatian.
Utusan Sarawak: Berapakah Program Info On Wheel (IoW) Hari Kebangsaan yang akan diadakan atau dirancang oleh JAPEN Sarawak bersempena dengan Hari Kebangsaan 2022?
Jaafar Jantan: IOW ini merupakan satu program janatan di mana kita memberi penerangan secara bersasar kepada masyarakat umum mengenai maklumat terkini untuk makluman mereka. Sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia ini, kita memfokuskan sebanyak 462 program IOW, merentasi 33 Pejabat Penerangan Daerah (PPD) bermula 14 Julai hingga 16 September 2022 (Hari Malaysia).
Walaupun Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia disambut pada 16 September, kita memberi tumpuan khusus sepanjang tempoh tiga bulan ini iaitu Julai, Ogos dan September untuk memasarkan informasi berkaitan aspek kenegaraan dan aspek patriotik termasuk juga dasar-dasar semasa kerajaan di peringkat nasional dan negeri untuk makluman khalayak umum.
Utusan Sarawak: Apakah objektif program IOW ini dibuat?
Jaafar Jantan: IOW bertujuan untuk menyampaikan maklumat mengenai dasar, inisiatif, program kerajaan dan info terkini kepada masyarakat, dalam bentuk pengumuman menggunakan unit kenderaan bergerak. Bagaimanapun, kita tidak melupakan aspek teknologi dan pendigitalan semasa. Maka, kita juga menggunakan platform lain menerusi media sosial, media elektronik dan media massa untuk terus menyebar luas maklumat kepada masyarakat.
Utusan Sarawak: Apakah program yang akan dianjurkan dan di manakah program tersebut dianjurkan? Adakah ia tertumpu kepada kawasan bandar atau ia juga turut tertumpu kepada kawasan pedalaman, luar bandar dan bandar?
Jaafar Jantan: Untuk program IOW, kita sebenarnya tidak hanya tertumpu kepada kawasan bandar sahaja seperti di Kuching, Bintulu, Sibu dan Miri, tetapi kita merentasi ke seluruh bahagian dan daerah di negeri Sarawak ini melalui 33 Pejabat Penerangan Daerah (PPD) di seluruh negeri.
Contohnya, selain IOW, JAPEN juga menjalankan Program Taklimat Isu-Isu Semasa dan juga Program Komunikasi Tindakan Setempat (KOMTIS). Dalam program ini, kita menjemput rakan strategik sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan untuk memberi taklimat dan penerangan mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh pihak mereka.
Pemilihan topik taklimat yang dilaksanakan adalah berdasarkan kepada isu yang dimaklumkan oleh pihak komuniti itu sendiri untuk diketengahkan. Secara langsung, sesi penerangan tersebut dapat memberi impak dan kesan positif terhadap perkongsian maklumat yang disampaikan kepada komuniti tersebut.
JAPEN merupakan salah satu platform medium komunikasi yang kita bina untuk bersama-sama dengan masyarakat melalui kerjasama dengan rakan strategik bagi meningkatkan kefahaman rakyat mengenai dasar-dasar kerajaan. JAPEN yang memang sinonim dengan aktiviti dan informasi kenegaraan, namun kita kena memberi nilai tambah dalam bidang lain supaya masyarakat kita sentiasa dipenuhi dengan maklumat terkini.
Jadi inilah peranan JAPEN sebagai jentera komunikasi kerajaan yang diwujudkan untuk menyebarluaskan bahan-bahan informasi yang bermaklumat kepada rakyat agar dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.
Utusan Sarawak: Boleh tuan terangkan apa itu Komuniti Keluarga Malaysia ?
Jaafar Jantan: Komuniti Keluarga Malaysia merupakan sebuah badan sukarelawan komuniti sebagai rakan strategik JaPen untuk memasarkan maklumat kenegaraan dan perpaduan serta dasar kerajaan kepada komuniti. Selain itu, Komuniti Keluarga Malaysia juga membantu dan memperkasakan usaha pemasaran maklumat daripada kerajaan supaya penyampaian mesej, dasar dan maklumat terkini inisiatif kerajaan dapat disampaikan sehingga ke peringkat akar umbi. Sehubungan itu, keahlian Komuniti Keluarga Malaysia terdiri daripada pelbagai latar belakang, agama dan bangsa dan paling penting ia bersesuaian dengan budaya, resam dan kepelbagaian bahasa di sesuatu lokaliti Komuniti Keluarga Malaysia itu ditubuhkan.
Visi Komuniti Keluarga Malaysia adalah “Komuniti Terhubung dan Berinformasi” dan misi Komuniti Keluarga Malaysia adalah untuk “Melahirkan komuniti bermaklumat, komunikasi dan membina jaringan komunkasi sebagai ejen perubahan”.
Sejajar dengan slogannya “Penggerak Komuniti Berinformasi”, Komuniti Keluarga Malaysia juga berperanan membantu pihak kerajaan menyebarluaskan serta menerapkan nilai-nilai Keluarga Malaysia, Semangat Patriotik dan Cintakan Negara dalam kalangan komuniti setempat.
JaPen Sarawak sentiasa bekerja rapat dengan Komuniti Keluarga Malaysia untuk memastikan penyampaian maklumat dapat dikongsikan dengan pantas, tepat dan mudah difahami rakyat. Jabatan juga menggunakan platform teknologi semasa bagi mempercepatkan proses hebahan menerusi media sosial dan Grup Whatapps yang ditaddir oleh Pegawai Penerangan Daerah di setiap daerah masing-masing.
Utusan Sarawak: Apakah peranan yang dimainkan oleh Komuniti Keluarga Malaysia dan bagaimana ia boleh menjadi impak kepada rakyat yang berbilang kaum yang ada di negara ini.
Jaafar Jantan: Peranan Komuniti Keluarga Malaysia ini bertujuan untuk memperkasa komuniti setempat melalui;
i. Menerapkan nilai-nilai Keluarga Malaysia dalam kalangan masyarakat;
ii. Memupuk semangat patriotik dan cintakan negara dalam kalangan komuniti setempat;
iii. Memperkasa usaha pemasaran maklumat daripada kerajaan kepada rakyat dengan kerjasama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di peringkat akar umbi dalam merealisasikan aspirasi Keluarga Malaysia;
iv. Membantu meningkatkan kefahaman rakyat dan sekaligus menangani berita palsu dan maklumat tidak benar dalam kalangan masyarakat;
v. Memantau dan mengumpul isu-isu serta menyelami denyut nadi rakyat mengenai dasar, inisiatif dan kenegaraan bagi mewujudkan masyarakat yang bermaklumat dan harmoni; dan
vi. Membantu memaju dan memperkasakan keupayaan dan daya saing komuniti setempat dalam bidang sosio-ekonomi sejajar dengan perkembangan ekonomi digital.
Kita sesungguhnya memerlukan semangat jati diri yang kuat, penerapan nilai murni dan semangat patriotik yang tinggi untuk memastikan kesepaduan dan kebersamaan masyarakat kita terus subur dan aman sebagai rakyat Malaysia.
Oleh itu, disinilah Komuniti Keluarga Malaysia ini akan memainkan peranannya membantu pihak JAPEN merangka program untuk menyantuni masyarakat setempat mereka. Menerusi Komuniti Keluarga Malaysia ini kita dapat membina jaringan komunikasi yang baik dan menjadi medan penyebar maklumat yang bagus kepada rakyat.
Utusan Sarawak: Di Sarawak ini berapa banyak Komuniti Keluarga Malaysia yang sudah diwujudkan dan di mana?
Jaafar Jantan: Kita ada 246 Komuniti Keluarga Malaysia yang ditubuhkan di 82 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak. Setiap DUN ada tiga Komuniti Keluarga Malaysia dan dalam satu Komuniti Keluarga Malaysia ada 10 orang ahli. Komuniti Keluarga Malaysia dilantik di bawah K-KKOM dan keahliannya dianggotai komuniti di peringkat daerah.
Ahli Komuniti Keluarga Malaysia terdiri daripada pihak komuniti tempatan. Justeru, mereka yang dipilih itu seeloknya dari kalangan ahli yang dipersetujui pemimpin masyarakat dan juga ahli-ahli komuniti setempat itu sendiri untuk mengurus dan mentadbir aktiviti Komuniti Keluarga Malaysia. Pihak jabatan sentiasa bekerjasama rapat dengan mereka bagi memastikan objektif dan aktiviti yang telah dirancang dapat dilaksana dengan jayanya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO/RYNNA SHA’ERRA