GAMBAR udara menunjukkan jalan kosong selepas kawasan itu ditutup dan dihadkan kerana wabak
Covid-19 di Hainan di Wilayah Hainan, selatan China. • Foto AFP
BEIJING: Lebih 80,000 pelancong terkandas di bandar peranginan yang terkenal sebagai “China Hawaii” selepas wabak Covid-19 menyebabkan pihak berkuasa mengenakan sekatan perjalanan yang ketat.
Tempat tumpuan pelancongan Sanya ialah bandar berpenduduk lebih sejuta penduduk di pulau selatan Hainan yang mana 483 kes Covid-19 dilaporkan pada Ahad lalu.
Semua penerbangan ke luar bandar dibatalkan pada hujung minggu lalu dengan pihak berkuasa turut menghentikan penjualan tiket kereta api.
“Pelancong yang ingin keluar mesti diuji negatif dalam lima ujian PCR selama tujuh hari,” kata pihak berkuasa kesihatan.
Hotel di bandar itu diminta untuk menawarkan diskaun 50 peratus kepada tetamu sehingga sekatan perjalanan dilonggarkan, kata seorang pegawai semasa taklimat berita pada Sabtu lalu.
China adalah satu-satunya ekonomi utama yang masih berpegang teguh pada strategi ‘Sifar-Covid’ dengan penutupan segera dan kuarantin yang lama sekali gus menjejaskan pelancongan tempatan.
Sempadan negara juga sebahagian besarnya ditutup sejak awal 2020, menghentikan pelancongan antarabangsa.
Wabak Covid-19 terbaharu berlaku semasa musim puncak pelancongan di Sanya, tempat meluncur yang popular.
Semua tempat hiburan termasuk spa, bar karaoke dan pub ditutup sejak minggu lalu, tetapi perkhidmatan penting seperti pasar raya dan farmasi tetap dibuka. -AFP