IRAMA GUNUNG… Tiupan seruling yang menjadi irama masyarakat kaum Orang Ulu yang wajar diturunkan kepada generasi pewaris yang muda.
Memelihara budaya sesuatu bangsa atau kaum memerlukan penglibatan semua pihak khususnya ibu bapa dan dibantu oleh berbagai pihak berkaitan dengan pembangunan seni budaya.
Masyarakat suku kaum Lun Bawang yang terkenal wujud di daerah Lawas berasal dan tinggal di kawasan pedalaman tanah tinggi Borneo iaitu Kalimantan Utara, Brunei, Sabah dan Sarawak. Di Sarawak, mereka digolongkan dalam kelompok masyarakat Orang Ulu.
Suku kaum Lun Bawang bermaksud orang tempatan atau orang peribumi. Suku kaum Lun Bawang yang dahulu dikenali sebagai Murut juga terdapat di sepanjang pesisiran Sungai Lawas, Trusan dan Limbang.
Sejarah mengatakan orang Lun Bawang ini berasal dari Tanah Tinggi Kelabit, Tanah Tinggi Krayan dan Gunung Murud di Lawas. Pada ketika dahulu, Lun Bawang dan Tagal juga dikenali sebagai Murut sempena nama Gunung Murud yang tertinggi di Sarawak yang terletak di Utara Sarawak.
Cara hidup dan bahasa suku kaum Lun Bawang dan Kelabit banyak persamaan, termasuk cara mereka semasa menanam padi bukit (tana luun) dan padi sawah(Lati ba’).
Nasi yang menjadi makanan mereka dibungkus dengan daun pisang atau Itip dipanggil Nuba’ Laya.
Daging atau ikan yang telah diperam dengan garam serta disimpan di dalam buluh selama lebih sebulan dipanggil Telu serta rasanya akan menjadi masam-masam masin yang sangat digemari suku kaum Lun Bawang. Begitu juga dengan salai (narar).
Mereka juga mendapat sumber garam dari telaga air masin yang lebih dikenali sebagai Lubang Mein. Di kawasan pedalaman, penternakan kerbau menjadi sumber ekonomi sampingan serta menjadi hantaran mas perkahwinan pihak pengantin lelaki kepada keluarga pihak pengantin perempuan yang dipanggil purut.
Suku kaum Lun Bawang kaya dengan kraf tangannya. Dahulu kala, pakaian kaum lelaki diperbuat daripada kulit kayu yang dipanggil ‘kuyu talun’.
Kain yang dililit di kepala pula dipanggil Sigar sementara cawat yang dipakai dipanggil Abpar.
Parang panjang yang diikat di pinggang dibawa untuk pergi berperang dipanggil Pelepet.
Bagi kaum wanita pula, mereka mengenakan Pata di kepala, Beret di pinggang, Bane di leher dan Gileng atau Pakel di tangan serta lengan. Suku kaum Lun Bawang juga sangat terkenal dengan alat muzik yang diperbuat daripada buluh.
Mereka memainkan ini dalam kumpulan. Perempuan meniup suling dan lelaki meniup bass.
Pada bulan Jun setiap tahun diadakan satu pesta yang dinamakan Irau Aco Lun Bawang dirayakan di bandar Lawas sempena perayaan hari Gawai Dayak dan di Sabah. Lun Bawang di Sabah pula menonjolkan tradisi mereka dalam acara GATA (Gasing dan Tamu Besar) dua tahun sekali sempena hari Tadau Kaamatan di Daerah Sipitang.
Semasa perayaan ini berlangsung, pelbagai pertunjukan kebudayaan daripada suku kaum Lun Bawang dapat disaksikan.
Sejajar dengan pengiktirafan kerajaan Sarawak terhadap Pesta Lun Bawang atau Irau Aco Lun Bawang ini, pihak Persatuan Lun Bawang Sarawak(PLBS) telah diberi amanah untuk menjadi penganjur acara yang sinonim dengan masyarakat kaum Lun Bawang.
Seterusnya Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong mahu agar PLBS memainkan peranan lebih aktif untuk memelihara dan mengekalkan seni budaya masyarakat berkenaan melalui pendidikan budaya Lun Bawang kepada generasi muda.
Ini penting kerana didapati seni budaya masyarakat ini semakin banyak yang hilang seiring dengan perubahan zaman dan peningkatan taraf pendidikan.
Irau Aco Lun Bawang telah mengalami banyak perubahan dengan tumpuan lebih kepada acara sukan moden, nyanyian dan tarian moden.
Oleh itu PLBS perlu tampil dengan lebih serius untuk membawa kembali seni budaya tarian lama, gurindam mahupun puisi Lun Bawang yang kini semakin terpinggir.
Usaha mengembalikan seni budaya ini memerlukan usaha bersama berbagai badan bukan kerajaan yang melibatkan masyarakat kaum Lun Bawang itu sendiri.
Henry Sum mahu PLBS melihat usaha Persatuan Bisaya Sarawak, Persatuan Kedayan dan lain-lain persatuan ethnik yang sentiasa memelihara budaya melalui pesta yang diadakan.
Seni muzik tradisional, seni pakaian tradisi, seni perhiasan manik menggunakan tanah liat terpilih dan banyak lagi budaya lama perlu ditonjol kepada generasi muda melalui pendidikan yang lebih praktikal.
Banyak lagi seni budaya masyarakat Lun Bawang yang boleh diketengahkan melalui usaha bersama PLBS dan badan bukan kerajaan (NGO) belia Lun Bawang di Lawas.
Oleh ADENG EDRUS