OPERASI… Pasukan penyelamat cuba memberi bantuan kepada 20 migran yang menggunakan bot ketika dalam perjalanan ke Perancis melalui Selat Inggeris. • Foto AFP
LONDON: Hampir 700 migran dan pencari suaka menyeberangi Selat ke Britain dalam sehari pada minggu ini sekali gus satu rekod baharu untuk tahun ini, kata kerajaan United Kingdom UK pada Selasa lalu.
Ketibaan terbaharu mencadangkan dasar kontroversi kerajaan untuk menghantar pulang migran ke Rwanda setakat ini gagal menghalang pendatang asing.
Kementerian Pertahanan berkata, seramai 696 migran tiba dengan 14 bot kecil pada Isnin lalu, jumlah harian tertinggi pada 2022 dan kali kedua tahun ini ia melebihi 600.
Kumpulan migran itu, termasuk kanak-kanak kecil dilaporkan dibawa ke darat di Ramsgate di Pantai Kent di tenggara England sebelum dibawa dengan bas ke pusat pemprosesan.
Menurut angka kerajaan, lebih 17,000 orang tiba di UK selepas menyeberangi Selat, salah satu lorong perkapalan paling sibuk di dunia dengan bot kecil setakat ini.
Lebih 28,500 orang kebanyakannya lelaki muda tiba di pantai British tahun lepas dan rekod harian tertinggi ialah seramai 853 orang pada November 2021.
Bilangan lintasan turun naik sepanjang tahun, bergantung pada keadaan cuaca dan tindakan penguatkuasaan di sepanjang garis pantai utara Perancis.
Dalam usaha untuk menghalang ketibaan, Britain pada awal tahun ini melancarkan dasar baharu untuk menghantar migran yang melintas untuk pemprosesan dan penempatan semula tetap di Rwanda.
Bagaimanapun, penerbangan pertama yang akan berlepas pada pertengahan Jun lalu telah dibatalkan kerana cabaran undang-undang dan dasar itu masih terhenti.
Britain menghantar Perancis berpuluh juta Euro setiap tahun untuk membantu menghentikan penyeberangan bot, termasuk untuk rondaan pantai tambahan dan peralatan seperti cermin mata malam.
The Times melaporkan minggu ini bahawa Menteri Dalam Negeri, Priti Patel bersedia mengumumkan perjanjian kewangan terbaharu dengan Paris, walaupun terdapat persoalan mengenai nilai perjanjian itu.
Ia telah mendapat kritikan yang konsisten daripada beberapa Ahli Parlimen Konservatif yang memerintah dengan seorang Ahli Parlimen kanan memberitahu akhbar itu bahawa Patel membuang lebih banyak wang yang baik demi yang buruk.
Rishi Sunak dan Liz Truss, dua pesaing Konservatif yang membida untuk menggantikan Perdana Menteri Boris Johnson, kedua-duanya berikrar untuk mengekalkan Dasar Rwanda. -AFP