SETELAH sekian lama memperjuangkan isu lompat parti, akhirnya Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Terdapat 209 Ahli Parlimen menyokong RUU itu, manakala 11 tidak hadir.
Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik berada di Dublin, Ireland, kerana lawatan kerja; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan (Tapah) di Indonesia; Wong Tack (Bentong) dan Teh Kok Lim (Taiping) yang menjalani kuarantin akibat Covid-19; Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Menteri Belia dan Sukan berada di Birmingham, United Kingdom bagi menghadiri Sukan Komenwel 2022 manakala Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Tumpat) di Makkah, Arab Saudi.
Ahli Parlimen Bukit Gantang dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula tidak hadir kerana memprotes dengan undang-undang itu, manakala Ahli Parlimen Marang Abdul Hadi Awang; Ahli Parlimen Lahad Datu Mohamaddin Ketapi dan Ahli Parlimen Mas Gading Mordi Bimol, tidak hadir tanpa alasan yang dapat disahkan.
Yang pasti kesemua Ahli Parlimrn Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyokong penuh RUU tersebut. Malah, sudah tentu rakyat Sarawak lebih berbangga dan bergembira kerana usul itu dibentangkan oleh Ahli Parlimen dari Sarawak yang menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Prestasi dan pencapaian ini mendapat maklum balas yang baik dalam kalangan rakyat Malaysia dan ia mencipta sejarah negara setelah diluluskan.
Fenomena lompat parti di negara ini amat membimbangkan dan tidak sihat apabila tidak kurang 39 Ahli Parlimen melompat parti selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU-14). Ia isyarat jelas bahawa amalan demokrasi negara kita tidak sihat dan membimbangkan.
Definisi dan amalan
Definisi melompat parti adalah berdasarkan tiga kriteria, iaitu wakil rakyat keluar parti untuk menyertai parti lain, keluar parti bagi menjadi Ahli Parlimen bebas serta bertindak menyokong pihak lawan sebelum dipecat parti sendiri.
Berdasarkan perbandingan dengan negara jiran di rantau Asia Tenggara, Malaysia boleh dianggap sebagai negara berdepan masalah paling ramai Ahli Parlimen lompat parti dan ini menunjukkan amalan demokrasi negara berada di landasan terburuk dengan Malaysia kini terletak pada titik terendah dalam aspek menyuburkan sistem demokrasi berparlimen.
Tidak pernah pula laporan Ahli Parlimen Indonesia lompat parti. Kalau di Singapura, hampir tiada isu wakil rakyat lompat parti.
Hal ini bermakna undang-undang Malaysia tidak tegas dengan amalan wakil rakyat keluar parti dianggap sebagai satu kebebasan berpersatuan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pelaksanaan Akta Anti Lompat Parti perlu dipandang serius semua pihak kerana secara praktikalnya, di negara ini pengundi lebih cenderung memilih parti yang bertanding dalam sesebuah pilihan raya berbanding calon diketengahkan.
Bagaimanapun di India, Romania, Brazil, Ukraine, Filipina dan New Zealand amalan ini wujud hingga menyebabkan kebimbangan dan sekurang-kurangnya tidak kurang 40 negara dunia telah mewujudkan Akta Anti Lompat Parti bagi membendung gejala buruk ini.
Daripada persepektif sejarah negara, ada negeri yang pernah tumbang akibat lompat parti. Ini pernah berlaku lompat parti di Terengganu (1962), Sarawak (1966), Kelantan (1977), Sabah (1994, 2018, 2020), Perak, (2009, 2020), Kedah (2020), Melaka (2021).
Ini menyebabkan politik tidak stabil, mengikiskan kepercayaan rakyat, legitimasi kerajaan yang memerintah diragui, amalan tawar-menawar jawatan, kedudukan dan sebagainya yang merupakan amalan tidak sihat dalam demokrasi.
Kestabilan politik
RUU berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti bagaimanapun tetap mempunyai beberapa kebebasan dalam tindak tanduk politik. Misalnya, Ahli Parlimen masih bebas untuk menyokong parti lain ketika mengundi di Dewan Rakyat.
Tindakan ini tidak dianggap melompat parti asalkan masih kekal dalam parti asal mereka.
Akan tetapi, jika terdapat dalam perlembagaan parti melarang perbuatan menyokong parti lain itu, maka ini boleh megakibatkan Ahli Parlimrn terbabit ‘gugur secara automatik’ kerana telah melanggar peraturn parti.
Dengan kata lain, parti politik perlu tegas dan memastikan terdapat peraturan bagi mencegah ahli parti mereka menyokong mana-mana parti lain yang pada hemat parti bertentangan dengan prinsip parti yang diwakili Ahli Parlimen berkenaan.
Senario politik
Krisis yang paling besar lazimnya ialah penentuan undi di Dewan Rakyat melibatkan undi percaya untuk memberi undi menyokong atau sebaliknya terhadap Perdana Menteri. Jika berlakunya senario ini, parti amat dituntut kesetiaan mereka lebih-lebih lagi ini menentukan masa depan parti politik sendiri.
Sudah pasti ini memerlukan parti politik mengadakan undang-undang ketat dan jelas mengenainya untuk mengenakan tindakan terhadap mana-mana ahli yang engkar terhadap perlembagaan parti.
Bermakna undang-undang lompat parti di peringkat persekutuan tidak memadai. Sebaliknya perlembagaan parti perlu jelas khususnya dalam menegaskan bahawa mana-mana Ahli Parlimen mereka yang membuat keputusan bertentangan dengan prinsip parti, maka akan dianggap bertukar parti dan perlu mengosongkan kerusinya.
Bagi penggunaan logo gabungan, atau logo parti lain untuk tujuan pilihan raya, ia tidak dianggap sebagai lompat parti asalnya dan masih kekal bersama parti asal.
Bagi Ahli Parlimen yang menang sebagai calon Bebas, beliau perlu kekal sebagai ahli Bebas di Dewan Rakyat dan tidak dibenarkan menyertai mana-mana parti politik. Sekiranya, yang menang sebagai wakil rakyat Bebas tetapi tiba-tiba menyertai parti, maka ini akan dianggap sebagai bertukar parti. Jika ini berlaku, maka kedudukannya sebagai Ahli Dewan Rakyat akan bubar dan pilihan raya kecil akan diadakan bagi mengisi kekosongan itu.
Keistimewaan
Terdapat situasi istimewa apabila berlakunya Parlimen tergantung, tidak ada mana-mana parti yang dapat membentuk kerajaan. Situasi ini dikenali sebagai ‘hung parliament’. Apabila berlaku situasi ini selepas pilihan raya, maka dibenarkan perjanjian gabungan pasca pilihan raya (post-election coalition agreement) oleh mana-mana parti politik dan gabungan bagi membolehkan gabungan parti politik membentuk kerajaan.
Hal ini bermakna kes khas dan tidak akan menyebabkan mana-mana anggota parti politik atau parti gabungan sebagai bertukar parti. Situasi ini perlu diselesaikan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pemakluman oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat.
RUU ini bukanlah yang paling sempurna atau terbaik. Namun untuk mencegah atau fasa awal RUU ini penting bagi mengelak lompat politik yang menunjukkan tidak hormat kepada mandat rakyat. Sudah tiba masanya, Ahli Parlimen perlu didisiplinkan dan bertanggungjawab dengan tindakan yang berasaskan kepentingan diri bukannya berdasarkan kepentingan rakyat. Marilah sama-sama menolak politik lompat!
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)