HATI-HATI… Kelihatan tiga anggota bomba cuba mengeluarkan serpihan objek yang dipercayai ekzos roket dengan hati-hati di Lot 65, Goodwill Garden, Pekan Sepupok di Batu Niah.
BATU NIAH: Dari pandangan mata kasar, serpihan yang tertanam dalam tanah dan berjaya dikeluarkan merupakan seunit ekzos roket, kata Pegawai Penyelidik Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Malaysia, Sholehah Ismail di sini, semalam.
Sholehah berkata demikian ketika ditemui di lokasi kejadian di Lot 65, Goodwill Garden, Pekan Sepupok Niah di sini, semalam.
Katanya, ekzos roket tersebut masih belum dapat disahkan pemiliknya dan akan dibawa ke kementerian untuk dikaji dengan teliti semula.
“Ekzos roket yang seberat 27 kilogram itu seakan pasu bunga dengan ketinggian 40 sentimeter (cm), lilitan atas 120 cm dan lilitan bawah 80 cm.
“Ketika pihak kami (MOSTI) membuat pemeriksaan ke atas objek tersebut sebelum ia dikeluarkan, ia sudah tiada mempunyai radiasi,” jelasnya sambil memberitahu usaha mengeluarkan objek itu dilakukan lima anggota bomba dan dua anggota Cawangan Khas dan mengambil masa hampir sejam yang bermula sekitar 1.30 petang.
Objek yang merupai ekzos roket tersebut dibawa ke Miri menggunakan kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut MOSTI.
Turut hadir, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah, anggota Cawangan Khas (SB) Daerah Subis, Ketua Polis Daerah Miri (KPD) Asisten Komisioner Polis (ACP) Alexson Naga Chabu dan Ketua Balai BBP Batu Niah, PBT II Rary Binjie serta individu yang pertama menemui serpihan itu, Ho Chaeng Seng.
Oleh ADUM LIU