KESAL… Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah meluahkan rasa kecewa apabila acara terjun wanita
digugurkan dari Sukan SUKMA 2022.
INSTITUT Sukan Negara (ISN) patut bertanggungjawab atas kegagalan menghasilkan atlet mencukupi untuk menyertai acara terjun wanita bagi Sukan Malaysia (SUKMA) 2022.
Menteri Belia dan Sukan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, di manakah pegawai yang dipertanggungjawab ini? Kadang-kadang makan gaji buta sahaja!.
“Kegagalan itu merugikan usaha pembangunan sukan negara, lebih-lebih lagi dalam acara boleh menang pingat di peringkat antarabangsa.
“Pegawai-pegawai ISN yang diamanahkan itu patut letak jawatan. Kita tak dapat menyalahkan menteri 100 peratus. Sebab itu saya percaya apa yang dikatakan oleh Pandelela itu juga berasas,” katanya merujuk kenyataan ratu terjun negara, Pandelela Rinong, yang sebelum ini yang mendakwa sukan itu dibatalkan angkara ‘politiking’ pihak penganjur.
Tegas Karim, mereka ditugaskan untuk memastikan setiap negeri dapat menghasilkan atlet dalam semua acara di peringkat nasional.
“Jika ada negeri yang tidak dapat atau tidak mampu keluarkan atlet mereka maka ISN telah gagal dan pegawai yang bertanggungjawab itu patut berhenti!.”
Baru-baru ini, Abdul Karim turut meluahkan kekecewaan beliau setelah acara ini dibatalkan.
Katanya, Sarawak merupakan satu-satunya negeri yang boleh dilihat berprestasi dalam acara terjun baik kategori lelaki mahupun wanita.
“Saya tidak bercakap perkara ini atas kerana kita memang berprestasi mendapat pingat, namun lihat kepada mereka yang telah menjalani latihan selama bertahun-tahun mungkin bermula pada 2018 sehingga kini, tapi akhirnya keputusan untuk acara ini telah dibatalkan,” ujarnya.
Terdahulu acara terjun wanita digugurkan dari SUKMA 2022 susulan tidak mencukupi syarat penyertaan minimum enam kontinjen.
Sukan terjun merupakan antara lubuk pingat bagi Sarawak, sekali gus menjadikannya kuasa sukan acara itu termasuk melahirkan Pandelela.
Oleh AZREEN KERIA