KETUA Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali menyampaikan surat tawaran kepada salah seorang penduduk pada Pelancaran Skim Sewa untuk Dimiliki Program Perumahan Rakyat (PPR) Tehel dan PPR Krubong semalam. Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. • Foto BERNAMA
MELAKA: Program Perumahan Rakyat (PPR) adalah komitmen berterusan kerajaan Persekutuan dalam menyediakan program perumahan yang diberi nafas dan hala tuju baharu seiring dengan keadaan semasa sejak diperkenalkan empat dekad lepas.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, program itu adalah satu obligasi moral dan sosial kerajaan di setiap peringkat bagi memastikan rakyat yang memerlukan dibantu dengan penyediaan perumahan mampu milik untuk golongan B40.
“PPR ini dimulakan sejak 1982 iaitu ketika Rancangan Malaysia Ke-4 (RMK-4) yang dikenali sebagai Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR). Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memastikan agenda perumahan untuk rakyat ini sentiasa diperkukuh serta ditambah baik.
“Sebagai contoh, inisiatif kerajaan negeri Melaka yang menawarkan Skim Sewa untuk Dimiliki kepada Keluarga Malaysia di PPR Tehel dan PPR Krubong ini merupakan langkah tepat dalam membantu rakyat memiliki kediaman sendiri berbanding secara penyewaan sebelum ini,” katanya di Tehel di sini semalam.
Terdahulu beliau berucap ketika menghadiri Majlis Pelancaran Skim Sewa untuk Dimiliki PPR Tehel dan PPR Krubong yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Mengulas lanjut Reezal berkata, harga lantai pemilikan dan peluang untuk memohon PPR juga diperluaskan lagi sesuai dengan garis pendapatan isi rumah terkini serta keadaan ekonomi semasa yang semakin mencabar.
Menurutnya, ini bagi memastikan penyediaan PPR dengan subsidi yang cukup tinggi itu benar-benar dapat memanfaatkan rakyat yang memerlukan, selain mengambil kira mobiliti sosial yang akan berlaku dalam jangka masa panjang.
“Untuk negeri Melaka kita telah dapat menyediakan enam projek PPR iaitu tiga projek dengan 1,436 unit telah siap dan diduduki iaitu PPR Sungai Putat, PPR Tehel dan PPR Krubong.
“Dua projek dengan 375 unit dalam pembinaan iaitu PPR Tangga Batu dan PPR Pulau Gadong yang masing-masing dijangka siap pada Januari dan Disember tahun depan, manakala satu projek dengan 300 unit dalam peringkat perancangan iaitu PPR Jasin,” katanya.
Menurut Reezal secara keseluruhan, kerajaan Persekutuan telah membelanjakan dan meletakkan komitmen perbelanjaan sekitar RM354 juta bagi pembinaan kesemua enam projek PPR di Melaka. – Bernama