DATUK Sri Abdul Karim Rahman Hamzah hadir pada Program Tayangan Perdana Telefilem Misi di GSC pusat
beli-belah Kuching, malam kelmarin. • Foto HERRIEY NAHA
KUCHING: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menggesa Menteri Belia dan Sukan patut menggunakan ‘kuasa veto’ demi sukan terjun di negara ini.
“Acara ini telah memberi nama kepada Malaysia, dalam Olimpik dan sukan SEA.Kalau tidak dipertandingkan bagaimana kita nak membangunkan sukan? ,” katanya ketika ditanya sama ada Menteri Belia dan Sukan perlu menggunakan ‘kuasa veto’.
Tambahnya, beliau melihat ramai atlet muda sudah berlatih selama dua tahun untuk menyertai acara tersebut.
“Selama dua tahun mereka berlatih dan di hujung acara dibatalkan, apa rasa mereka? Apa rasa ibu bapa mereka? Begitu banyak dana telah dilaburkan… sebab inilah secara peribadi saya rasa, sudah ada tiga atau empat negeri yang terlibat, jadi secara dasarnya masukkan saja.
“Apabila saya pergi ke Sukan SEA lepas, acara dimenangi Pandelela Rinong, 10 meter platform seirama yang mana dalam acara ini hanya dua negara yang terlibat iaitu Malaysia dan Singapura.
“Minimum penyertaan acara tersebut adalah tiga kalau tidak acara ini dibatalkan. Sebagai tuan rumah, Vietnam memastikan atlet yang bertanding tidak kecewa, mereka juga telah menghantar wakil. Itulah caranya kita mengatasi masalah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Tayangan Perdana Telefilem Misi di GSC The Spring, malam kelmarin.
Sebelum ini, dalam satu laporan media, 12 acara digugurkan daripada SUKMA kerana penyertaan negeri tidak menggalakkan, sukan terjun dilaporkan antara paling terjejas.
Dalam ciapan di Twitter baru-baru ini, ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong Pamg berkata, beliau kecewa apabila mendapat tahu tiada acara terjun dalam acara wanita dipertandingkan pada SUKMA tahun ini kerana alasan politik tetapi selepas itu memberitahu sudah mendapatkan penjelasan daripada Menteri Belia dan Sukan dan juga Persatuan Renang Malaysia (MS).
“Saya sudah bercakap dengan Menteri Sukan dan Persatuan Renang Malaysia, dan mereka sedar dengan kekurangan penyertaan pada SUKMA akan datang sejak sebulan yang lalu.
“Jadi mereka sudah mencari jalan penyelesaian terbaik. Mari berusaha dan saling menyokong antara satu sama lain untuk masa depan sukan terjun Malaysia,” katanya dalam satu ciapannya baru-baru ini.
Oleh SHAHRUL QAIZAT