SESUAI… Botol minuman kosong juga boleh digunakan bagi tujuan penanaman sayur-sayuran sama ada di rumah atau di kebun.
Pada 13 Julai lepas, Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) telah memaklumkan bahawa pihaknya akan mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak untuk mewujudkan pusat kitar semula di kawasan ini.
Perkara ini diumum oleh Setiausaha MDSA, Tay Guan Huat ketika beliau mengiringi lawatan Walikota MDSA, Kaunselor (Cr) Anthony Abell Chendan ke tapak kemudahan tong sampah Roll-on/roll-off atau RORO di Bandar Simanggang pada waktu itu.
Tujuan pembukaan pusat kitar semula di Bandar Simanggang katanya adalah amat penting bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan penduduk mengenai pentingnya isu penjagaan menjaga alam sekitar dan kebersihan di Sri Aman.
Selain itu, penduduk Sri Aman katanya boleh menyimpan bahan buangan yang boleh dikitar semula di pusat itu jika ia sudah dibuka kelak berbanding dengan terus membuangnya tanpa menyedari potensi bahan itu.
Malah pembukaan pusat kitar semula berkenaan kata Tay juga secara tidak langsung akan dapat membantu MDSA mengurangkan lagi jumlah sampah di kawasan ini jika ia sudah beroperasi kelak.
Apabila berbicara mengenai perkara ini sudah pastinya bahan buangan yang terlintas di fikiran kita yang boleh dikitar semula seperti surat khabar, majalah, bekas makanan, kotak kadbod, botol kaca, pakaian lama, besi buruk dan banyak lagi.
Bagaimana pula dengan sampah biasa seperti botol plastik atau botol air minuman? Kebanyakan daripada kita akan memandangkan mudah sampah seperti ini kerana kebiasaannya botol air minuman akan dibuang merata-rata sesudah airnya diminum.
Jika begitu kesudahan sampah tersebut maka amatlah sayang sekali. Ini kerana botol-botol plastik merupakan bahan kitar semula dan boleh digubah menjadi sesuatu benda yang lebih menarik menurut kreativiti diri masing-masing.
Hasil carian di laman media sosial sebelum ini mendapati individu di seluruh dunia bijak serta kreatif mengubah botol air minuman kepada sesuatu benda yang digunakan dalam kehidupan seharian masing-masing.
Bagi sesetengah pencinta acara sukan meluncur ombak, mereka akan menjadikan botol air minuman yang kosong untuk diadikan sebagai papan luncur disebabkan oleh faktornya yang ringan dan mudah terapung.
Mereka yang gemar menjadikan aktiviti bercucuk tanam pula pada waktu lapang akan mengubah botol minuman kosong berkenaan kepada bekas untuk menanam sayur atau bunga masing-masing.
Selain itu botol minuman kosong juga boleh digubah menjadi bekas simpanan alat tulis, bekas simpanan baja untuk burung peliharaan, bunga plastik bagi tujuan hiasan kawasan dalam dan luar rumah serta banyak.
Kini anda sudah pun sedar bagaimana kreativiti itu boleh membantu kita menyelamatkan alam semulajadi dengan menjadikan botol minuman kosong kepada sesuatu benda yang boleh memberi manfaat kepada manusia.
Kreativiti ini juga amat penting dalam mengurangkan pengeluaran sumber alam yang membawa kepada kemusnahan alam semulajadi di samping mengurangkan kadar bilangan botol plastik yang dibuang begitu sahaja dan mencemar alam sekitar dan kehidupan kita.
Namun begitu tidak mengapa jika anda cuba mencipta baharu berasaskan bahan itu. Sebaliknya anda mungkin boleh mencipta tabiat baharu dengan mengumpul semua jenis botol-botol plastik yang tidak berguna dan dijual di pusat kitar semula.
Selain menyumbang kepada pengurangan kemusnahan dan pencemaran, anda juga akan mendapat pulangan wang.
Kecualilah jika anda yang tidak mahu menjual botol-botol plastik itu maka barulah anda boleh cuba idea kreativiti kitar semula untuk mengubah kegunaan botol-botol plastik kosong ini kepada sesuatu benda lain yang berguna dan bernilai.
Oleh VALENTINE NGUMBANG