KEJOHANAN Tinju Terbuka Sarawak dan Terbuka Peringkat Umur/Tertutup Peringkat Umur Negeri Sarawak 2022.
BANDAR Simanggang bakal menjadi tumpuan apabila Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak dan Terbuka Peringkat Umur/Tertutup Peringkat Umur Negeri Sarawak 2022 yang dijadualkan berlangsung pada 15 hingga 21 Ogos di Kompleks Sukan Tertutup, Sri Aman.
Presiden Persatuan Tinju Sarawak (SABA), Dato Rahman Lariwoo berharap semua peninju mengambil peluang dalam kejohanan anjuran Persekutuan Tinju Malaysia (PTM) dengan kerjasama Persatuan Tinju Negeri Sarawak ini bagi mengetengahkan bakat mereka.
“Diharap petinju muda kita dari semua pusat pembangunan tinju di negeri ini tidak melepaskan peluang ini kerana objektif penganjuran adalah bagi mencungkil bakat-bakat baharu yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.
“Sama ada ke peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa, selain medan utama untuk peninju-peninju yang telah dipilih mewakili Sarawak ke Sukan SUKMA memperbaiki prestasi masing-masing” katanya.
Beliau berkata, sejak kebelakangan ini sukan tinju semakin mendapat sambutan di Sarawak khususnya dalam kalangan petinju muda yang menunjukkan kesungguhan dalam latihan di pusat-pusat pembangunan.
“Menurutnya lagi, penyertaan kejohanan kali ini akan membabitkan penyertaan peninju dari seluruh Malaysia, Brunei dan Kalimantan,” ujarnya.
Rahman menjelaskan, beberapa kategori yang akan dipertandingkan termasuk kategori terbuka untuk petinju yang berumur 23 hingga 40 tahun dengan berat badan 48 sehingga 86 kg. Manakala, petinju yang berumur antara 18 hingga 22 tahun pula akan bertanding dalam kategori peringkat umur Sukma dan mempunyai berat badan 48 hingga 80 kg.
Oleh ADI SAFARMAN