MIDPINES: Anggota bomba berhempas-pulas dalam memerangi kebakaran hutan terbesar di California pada musim panaas berhampiran Taman Negara Yosemite selain memaksa ribuan penduduk berpindah, kata pegawai.
Kebakaran Oak di tengah California meletus sejak Jumaat minggu lalu dan sedang marak, manakala sebahagian Amerika Syarikat (AS) berdepan gelombang panas, termasuk Barat Laut Pasifik yang biasanya sejuk.
Menurut Jabatan Bomba Negeri, Cal Fire, kebakaran di Daerah Mariposa menyambar 17,241 ekar dan 16 peratus berjaya dikawal,
“Kru bomba bekerja secara agresif menggunakan jentolak, kru dan pesawat dengan hanya pertumbuhan minimum pada kebakaran dilihat pada Isnin lalu,” kata jabatan itu.
Ia adalah kebakaran yang paling dahsyat setakat musim kebakaran ini, menurut Cal Fire setelah ia memusnahkan lebih daripada tiga kali ganda keluasan Kebakaran Washburn berdekatan dengan hampir 90 peratus berjaya dikawal.
Tetapi, ia kekal lebih kecil daripada Dixie Fire tahun lepas yang membakar hampir satu juta ekar.
Ketua Batalion Cal Fire, Jon Heggie memberitahu CNN kebakaran hutan terbaharu adalah “lebis ganas” daripada kebakaran lain yang dilihat di rantau ini sejak dua tahun lepas.
“Kebakaran ini merebak dengan kelajuan dan lebih besar menjadikannya sangat mencabar dan sangat berbahaya untuk orang awam dan anggota bomba.
“Ia bergerak begitu pantas ia tidak memberi banyak masa kepada orang ramai dan kadangkala mereka hanya perlu berpindah dengan hanya memakai baju,” kata Heggie.
Cal Fire berkata 55 bangunan kediaman, komersial dan lain-lain telah musnah.
‘Hasil langsung’ perubahan iklim
Jurucakap bomba, Jonathan Pierce berkata, kelembapan rendah dan suhu tinggi mencetuskan kebakaran, diburukkan lagi dengan jumlah pokok mati dan cerun curam di kawasan itu.
Kebakaran Oak memaksa pemindahan sekitar 3,000 orang setakat ini, kata pegawai.
Hampir 3,000 anggota bomba yang disokong oleh 24 helikopter dikerahkan berhampiran pinggir barat daya Taman Negara Yosemite.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, California dan bahagian lain di barat AS dimusnahkan oleh kebakaran hutan yang besar dan bergerak pantas, didorong oleh kemarau bertahun-tahun dan iklim yang semakin panas.
“Apa yang saya boleh beritahu anda ialah ini adalah hasil langsung daripada perubahan iklim. Anda tidak boleh mengalami kemarau selama 10 tahun di California dan mengharapkan perkara yang sama. Kemarau itu yang mendorong apa yang kita panggil kebakaran mega,” kata Heggie.
Suhu melampau boleh dilihat di tempat lain di negara itu, kerana 60 juta rakyat AS berada di bawah keadaan berjaga-jaga ekoran haba pada Isnin lalu.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) berkata, amaran haba disediakan di Dataran Selatan dan Lembah Mississippi Bawah, manakala suhu panas akan menurun di Timur Laut dan pertengahan Atlantik sejak semalam.
Pasifik Barat Laut yang biasanya sejuk akan menyaksikan suhu melepasi 37 darjah celsius di Columbia River Gorge dan Basin.
NWS berkata, rekod tertinggi harian mungkin akan dipecahkan dari utara California ke kawasan Portland, Oregon dan Seattle, Washington.
Bandar terlibat membuka stesen penyejukan dan meningkatkan jangkauan kepada komuniti berisiko seperti gelandangan dan mereka yang tidak mempunyai penghawa dingin.
Dunia dilanda gelombang panas yang melampau sejak beberapa bulan kebelakangan ini, termasuk Eropah Barat pada Julai ini dan India pada Mac dan April tahun depan, insiden yang dikatakan saintis sebagai tanda jelas iklim pemanasan.
Cuaca ekstrem mendorong bekas naib presiden AS Al Gore, penyokong iklim lama, mengeluarkan amaran keras pada Ahad lalu mengenai “tiada tindakan” oleh penggubal undang-undang AS.
Ditanya sama ada beliau percaya Presiden AS Joe Biden harus mengisytiharkan darurat iklim, yang akan memberinya kuasa dasar tambahan, Gore berkata, “Bumi sendiri mengisytiharkannya sebagai kecemasan global”. -AFP