KUCHING: Golongan muda tidak perlu terburu-buru menyertai politik serta meletakkan diri sebagai calon dalam pilihan raya, kata Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau berkata, walaupun Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 menurunkan had umur mengundi, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan umur calon bertanding di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) ia tidak bermakna mereka perlu meletakkan diri sebagai calon.
“Jika kita melihat kehidupan dalam perspektif yang berbeza, jika semua orang mahu menjadi calon dan bertanding, anda tidak akan menikmati hidup. Anda hanya pergi (politik) setelah anda melalui berpasangan (courtship), berkahwin, membina keluarga, kerjaya dan biasanya ia mengambil sedikit masa.
“Berdasarkan pemerhatian peribadi saya, masa yang sesuai untuk mereka meletakkan diri sebagai calon, pada usia lewat 30-an dan 40-an tidak terlalu lambat dan tidak terlalu awal. Jika terlalu awal anda akan menghilangkan diri anda daripada keseronokan dalam hidup.
“Tetapi itu tidak bermakna saya tidak bersetuju, tetapi semuanya bergantung kepada individu,” katanya kepada media, baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan bekas ahli Majlis Tertinggi Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar) Jocky Jim Ungka bahawa Sarawak perlu mempunyai parti baharu yang mewakili suara anak muda pada pilihan raya umum akan datang.
Abdul Karim berkata, mereka yang hendak terlibat dalam politik dan menjadi calon dalam pilihan raya perlu menimba pengalaman sebelum menceburinya.
“Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan saya, tetapi secara peribadi saya lihat jangan tergesa-gesa berpolitik, nikmati kehidupan jika anda masih muda jatuh cinta dulu, pergi meminang, bina kerjaya anda. Selepas anda mencapai itu, bina keluarga, barulah anda boleh masuk ke dalam politik,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa seseorang tidak boleh melihat politik semata-mata sebagai kerjaya.
“Sebagai contoh, dengan hormatnya Syed Saddiq Abdul Rahman telah menubuhkan Malaysian Perikatan Demokratik Bersatu (MUDA). Saya harap dia dapat menahan kesukaran kerana dalam politik ia bukan mudah.
“Kita telah melihatnya di sini juga, seseorang yang menyertai politik bersama saya pada 2001, pada usia 21 tahun ialah (Ahli Parlimen Julau) Larry Sng, dia menyertai politik dan bertanding pada usia 21 tahun. Ia tidak akan mudah.
“Ada yang mampu bertahan seperti Datuk Seri Najib Razak (bekas perdana menteri) yang menceburi bidang politik pada usia 24 atau 25 tahun yang mana beliau dilahirkan dalam keluarga ahli politik. Jika daripada keluarga itu sendiri, mereka boleh belajar,” ujarnya.
Katanya lagi, bagi seseorang yang baharu menyertai politik dan cuba membina kerjaya mereka dalam politik, ia akan menjadi sukar bagi mereka.
“Akan ada banyak perkara yang anda akan terlepas dalam hidup dan salah satunya adalah pacaran, tidak dapat menjadi seperti orang lain keluar, berpegangan tangan, menonton wayang.
“Ahli politik tidak dapat melakukan perkara seperti itu. Tidak ramai yang mampu melakukannya. Mereka merindui kehidupan sebegitu. Malah diri saya sendiri, saya terlepas banyak perkara ketika saya terjun ke politik,” katanya.