MOHD Firdaus mencari rezeki dengan menjadi pembancuh air di sebuah kedai makan.
Dalam hidup ini, ada ketikanya kita tersalah arah. Ada masanya kita tersesat jalan. Pada saat lain, mungkin juga kita tersilap langkah. Namun jika tersalah arah, tersesat jalan atau tersilap langkah, bukan maknanya sudah berakhir sebuah kehidupan. Bak kata orang tua-tua, kalau sesat di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan.
Dalam hidup ini juga, hampir semua orang pernah diberi peluang kedua, dalam pelbagai bentuk sesuai dengan kehidupan yang dijalani. Ada yang diberi peluang sihat selepas sakit teruk, ada yang bahagia selepas menderita dalam perkahwinan pertama, ada yang jadi jutawan selepas muflis dan sebagainya. Pendek kata, peluang kedua itu hadir dan apa yang penting adalah memanfaatkan sebaik-baiknya peluang itu untuk mengubah takdir.
Jika sebelum ini kita pernah menjalani kehidupan di landasan yang salah, kemudian diberi berpeluang untuk menginsafi kesilapan itu dan mengubah hala tuju hidup, itulah peluang kedua yang tidak harus disia-siakan.
Itulah salah satu prinsip hidup yang dipegang oleh AD Leong, 57, bekas banduan yang kini menjadi usahawan, penceramah motivasi serta Ikon Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang cukup cemerlang di dalam bidang-bidang beliau.
Menyingkap sejarah lampaunya, tiada siapa yang menyangka bekas penagih dan penyeludup dadah yang dihukum gantung hingga mati ini ini akan kembali semula ke dalam masyarakat dan kini rakyat yang berbakti kepada masyarakat dan negara.
Berkongsi kisahnya, Leong mula terjebak dengan bahan-bahan terlarang seperti ubat batuk, pil dan ganja sejak sekolah rendah, hasil pengaruh rakan-rakan sehingga beliau kandas persekolahan setakat Tingkatan 3.
“Menginjak usia dewasa, saya terpengaruh pula oleh orang-orang yang saya anggap idola kerana mereka banyak wang (hasil mengedar dadah), jadi saya pun nak jadi seperti mereka. Masa itu saya fikir saya lebih bijak, yakin bahawa tak akan ditangkap,” kata beliau memulakan cerita.
Bak kata orang tua, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Leong ditangkap pada usia 23 tahun di Limbang, dalam percubaan beliau untuk menyeludup satu kilogram dadah dari Labuan ke Miri.
“Masa mula ditangkap, saya masih rasa yakin boleh lepas sebab boleh cari kawan, boleh beri rasuah tapi hakikatnya tidak sedemikian. Saya didapati bersalah di bawah Seksyen 39 (b) (1) (a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman gantung hingga mati,” kata Leong.
HUKUMAN DIPINDA
Namun nasib menyebelahi Leong kerana berjaya di dalam rayuan selepas terdapat sedikit kesilapan teknikal di dalam kertas pertuduhan. Mahkamah kemudian meminda hukuman beliau kepada penjara seumur hidup dengan 10 sebatan.
Hukuman penjara seumur hidup sebenarnya takrif untuk penjara selama 20 tahun. Disebabkan Leong berkelakuan baik di penjara, hukuman beliau dikurangkan kepada 15 tahun dengan 10 sebatan dan beliau menjalani hukuman ini di penjara Limbang, Miri dan Kuching.
Kata Leong, beliau buta huruf semasa masuk penjara sehingga tidak tahu mengeja dan menulis nama sendiri. Bagaimanapun, apabila keluar penjara, beliau celik huruf, tahu selok-belok pertanian, perniagaan dan banyak kemahiran lain melalui pelbagai latihan yang disediakan di penjara.
“Saya aktif di dalam penjara. Saya belajar banyak perkara. Awal pagi saya ke bengkel jahitan, tengah hari saya membantu di kantin penjara, hari Sabtu saya berkebun, belajar tentang katering, pengurusan, pertanian dan jahitan,” kata beliau.
Ditanya apa yang mendorong beliau untuk berubah, kata Leong fasa ini berlaku selepas beliau merasa amat perit selepas kehilangan ibu bapa.
“Ibu bapa saya meninggal ketika saya di dalam penjara. Sebelum itu, walaupun saya jadi banduan, mereka tetap datang melawat saya sehinggalah lawatan itu terhenti kerana mereka meninggal dunia. Ketika itu baharulah saya sedar saya sudah kehilangan orang yang amat ambil berat tentang saya dan ia amat perit untuk diterima,”.
“Ketika itu saya berjanji, kalau saya diberi peluang lagi, saya akan laksanakan apa yang ibu bapa saya nak iaitu menjadi anak yang baik,” ujar beliau.
‘AFTER DEATH’
Di penjara, Leong bersama rakan lain kerap menerima lawatan daripada Ahli Lembaga Pelawat Penjara dan salah seorang daripada mereka, tidak jemu mendorong Leong untuk membina kembali kehidupan beliau di landasan yang betul jika keluar penjara.
“Beliau salah seorang Ahli Lembaga Pelawat Penjara yang juga mantan Pengarah Pendidikan Sarawak, Hajah Serina Sauni. Malah nama AD di hadapan nama saya itu dicadangkan oleh Hajah Serina. AD membawa maksud After Death yang menggambarkan saya bangkit dari ‘mati’,” kata Leong.
Bebas dari penjara, Leong membuka sebuah kedai jahitan di Bintulu tetapi ‘berada di bawah radar’ kerana bimbang dengan penerimaan masyarakat. Ketika itulah Hajah Serina datang dan membawa beliau ke sekolah-sekolah untuk memberi ceramah motivasi.
“Beliau mengajar saya teknik percakapan awam dan meminta saya membantu orang lain melalui ceramah motivasi, kebanyakannya berkisar tentang pengalaman hidup saya. Sedikit demi sedikit saya mula positif menghadapi hidup,” kata beliau.
Dari situlah juga bakat Leong dilihat oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah yang kemudian membuka banyak ruang kepada Leong untuk meneruskan aktiviti ceramah motivasi beliau.
Kini, selain sibuk sebagai Ikon AADK, Leong terlibat di dalam dalam bidang pertanian dan penternakan, terutamanya penternakan Lalat Askar Hitam untuk menghasilkan baja organik, menguruskan asrama pekerja untuk majikan di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) serta mengusahakan kantin di Samalaju.
Ditanya bagaimana penerimaan masyarakat semasa beliau mula keluar penjara dahulu, Leong mengakui pada awalnya sambutan masyarakat agak ‘dingin’ kerana stigma terhadap banduan masih kukuh, dan banduan dipandang serong apatah lagi bekas penagih dan pengedar dadah.
“Tetapi kita sendiri perlu buktikan kepada masyarakat bahawa kita boleh berubah. Tak perlu risau pandangan orang lain. Setiap orang yang keluar penjara sebenarnya ada azam mahu berubah tapi apa yang ada di depan, menyukarkan mereka. Bagi bekas banduan yang tak nampak masa depan, dia boleh ‘hilang’ lagi,” kata Leong.
Menurut Leong, memang tidak mudah untuk mengubah stigma masyarakat tetapi beliau tetap berharap masyarakat akan memberi sokongan dan dorongan kepada bekas banduan serta memberi peluang kepada mereka untuk berubah.
Oleh HAINI DARANI