PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Pengerusi Perodua Tan Sri Asmat Kamaludin ketika Majlis Pelancaran Perodua Alza Serba Baharu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam. Turut sama Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad dan Presiden Daihatsu Motor Co Soichiro Okudaira.
• Foto BERNAMA
KUALA LUMPURL: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam menyarankan syarikat utiliti negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menjalin kerjasama dalam memperkenalkan kadar caj untuk Kenderaan Elektrik (EV) yang mampu dilanggani oleh rakyat.
Perdana Menteri berkata, TNB ketika ini sedang berusaha untuk meningkatkan pengeluaran elektrik menggunakan sumber tenaga yang bersih serta penyediaan stesen pengecas kenderaan elektronik secukupnya.
“Pada masa sama, Perodua boleh mengambil peluang ini dengan meneroka peluang baharu seperti menghasilkan kenderaan elektrik berkualiti tinggi yang mampu dimiliki oleh Keluarga Malaysia.
“Malah, syarikat telekomunikasi negara seperti Telekom Malaysia juga dapat membuka kerjasama dengan kedua-dua pihak ini untuk menyediakan pakej data yang mampu memudahkan para pengguna untuk membuat tempahan caj kenderaan secara dalam talian,” katanya semasa berucap melancarkan Perodua Alza Serba Baharu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) semalam.
Ismail Sabri berkata, kerjasama pintar seumpamanya perlu dilaksanakan segera bagi mengatasi kesan perubahan iklim yang melanda dunia selain dapat menjamin kelestarian dan pembangunan negara yang mampan.
Katanya, kerjasama itu juga dapat membantu mencapai matlamat karbon neutral di Malaysia pada tahun 2050, seperti yang dipersetujui di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Selain itu, Perdana Menteri berkata kerajaan bersedia berbincang dengan pihak swasta untuk memastikan dasar atau inisiatif yang diperkenalkan bersesuaian dengan hala tuju negara.
Ismail Sabri berkata baru-baru ini, beliau telah meminta Universiti Pendidikan Sultan Idris yang terletak dalam wilayah High-tech Valley untuk membangunkan sebuah pusat latihan dan penyelidikan iaitu Centre of Advanced Automative Research and Training (CAART).
Mengenai model Perodua Alza Serba Baharu, Ismail Sabri percaya model baharu itu akan diterima baik oleh seluruh Keluarga Malaysia kerana harganya yang kompetitif dan aspek keselamatannya dipertingkatkan sesuai dengan aspek pemanduan di Malaysia.
“Berdasarkan daripada laporan media massa mengenai model Perodua Alza Serba Baharu ini, saya amat tertarik dengan ciri-ciri canggih yang ada padanya dengan penambahbaikan ketara dari segi keselesaan pemanduan dan lebih versatil,” katanya. — Bernama