BERI KATA SEMANGAT… Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua, kanan) memberi kata-kata semangat
kepada atlet para negara dalam acara Bola Keranjang, Freday Tan dan Roozaimi Johari selepas majlis penyerahan
Jalur Gemilang kepada Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 di sebuah hotel
semalam. • Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Seramai 10,000 sehingga 15,000 peserta dijangka berjalan bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam program ‘Berjalan Teguh Bersama’ sempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 pada 30 Julai ini di Dataran Putrajaya.
Timbalan Ketua Pengarah Penerangan (Kandungan Digital) Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Hashim Bedu berkata program berjalan kaki sejauh 2.7 kilometer (km) sekitar Putrajaya itu akan sempurnakan dan disertai sendiri oleh Perdana Menteri.
“Program Berjalan Teguh Bersama sejauh 2.7 km itu akan bermula di Dataran Putrajaya menuju ke check point (tempat pemeriksaan) pertama iaitu Pejabat Kementerian Wilayah Persekutuan, kemudian ke Monumen Alaf Baru seterusnya ke Jabatan Pendaftaran Negara dan berakhir di Istana Kehakiman Putrajaya,” katanya dalam program ‘Malaysia Petang Ini’ terbitan BernamaTV semalam.
Tambahnya, pelbagai aktiviti menarik akan disediakan di setiap tempat pemeriksaan program berkenaan.
“Di setiap check point akan ada aktiviti menarik seperti persembahan muzik, persembahan irama Borneo dan persembahan pancaragam sekolah. Begitu juga akan ada maskot Upin dan Ipin serta Boboiboy selain disediakan kaunter minuman dan sebagainya,” katanya.
Hashim berkata program ‘Berjalan Teguh Bersama’ tersebut berkonsepkan aktiviti berjalan secara santai bersama keluarga yang membawa mesej semangat perpaduan dan juga kebersamaan rakyat Malaysia sebagai ‘Keluarga Malaysia’,” katanya.
“Perdana Menteri sendiri turut menyertai program berjalan kaki berkenaan dan secara tidak langsung membuktikan semangat perpaduan kerajaan bersama rakyat meraikan sambutan Bulan Kebangsaan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata 5,000 peserta terawal akan menerima kemeja-T dan berpeluang menerima hadiah cabutan bertuah.
“Bagi yang terlepas peluang (sebagai peserta terawal) saya harap kita dapat menyertai program ini dengan memakai kemeja-T berwarna merah supaya kita senada dan seiring bersama-sama berwarna merah bersama keluarga masing-masing. Jadi ayuh datang awal,” katanya.
Selain itu, beliau berkata pada sambutan tahun ini, pihaknya juga menganjurkan program Kembara Jalur Gemilang Keluarga Malaysia 2022 melibatkan sebanyak 412 pacuan empat roda disertai seramai 600 peserta.
Katanya kembara berkenaan berkonsepkan ‘pass baton’ yang membawa baton Jalur Gemilang ke seluruh negara hingga Sabah dan Sarawak.
“Baton tersebut akan diserahkan di setiap sempadan negeri yang akan bermula pada 30 Julai (Istana Kehakiman Putrajaya) dan berakhir pada 31 Ogos di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur,” katanya. – Bernama