PASUKAN Saratok FA mengadakan beberapa aksi persahabatan di Padang Kompleks Sukan Saratok.
DUA bekas pemain Kuching City FC (KCFC) bakal memperkuatkan barisan pemain pasukan Saratok FA dalam kancah Liga Betong 2022 dan Piala Datuk Amar Douglas Uggah Embas 2022.
Pengurus pasukan Saratok FA, Mohd Faiz Wahi berkata dua pemain terbabit iaitu Mohd Hairol Mokhtar (pertahanan) dan Ismail Bujang (penyerang).
“Saya berharap dengan kehadiran dua pemain bintang itu, dapat memperkuatkan jentera barisan pertahanan dan serangan, sekaligus merealisasikan hasrat pengurusan pasukan menempatkan diri sehingga perlawanan akhir saingan liga yang menyingkap tirainya 23 Julai ini,” katanya kepada Utusan Sarawak semalam.
Mohd Faiz berkata beliau menaruh keyakinan yang tinggi akan kewibawaan pemain yang diberi kepercayaan bersaing dalam kempen Liga Betong 2022 yang akan bermula Sabtu depan, sekaligus merealisasikan misi awal pihak pengurusan yang meletak sasaran sekurang-kurangnya melangkah ke separuh akhir pada pertadingan itu.
“Dengan persediaan dilakukan ini akan menyandarkan harapan dan kudrat pemain yang telah terpilih sebelum ini,” ujarnya sambil menambah pasukannya pada aksi pertama akan menentang Jang BS pada 31 Julai ini.
Beliau turut mengingatkan kepada semua pemain yang terpilih itu agar sentiasa bersemangat selain memberi fokus sepenuhnya pada setiap perlawanan dilalui dalam saingan sebenar kelak.
“Kerjasama berpasukan adalah penting malah mampu membentuk kekuatan yang boleh membawa kejayaan kepada pasukan dan kita tahu cabaran getir bakal menanti para pemain menjelang cabaran kempen Liga Betong 2022, dan saya yakin dan pastikan kesemua pemain yang berjaya dipilih itu sudah bersedia sepenuhnya.
“Apa yang penting sekali, saya akan pastikan para pemain melaburkan sepenuh komitmen mereka pada setiap perlawanan dan tidak mengambil mudah keupayaan lawan masing-masing,” tegas Mohd Faiz mendedahkan Saratok FA dibarisi 10 pemain dibawah umur 25 tahun.
Dalam pada itu, Saratok FA yang dibimbing oleh Abdul Rahman Sapaiee muncul sebagai juara Piala Datuk Amar Douglas Uggah Embas edisi 2019 lalu selepas menumpaskan Jang BS 2-1 dalam aksi perlawanan akhir.
Oleh ADI SAFARMAN